Hanya Mahathir dan Hassan Karim yang berani bersuara ke tahap ini
Sebuah karya Hassan Abdul Karim, Ahli Parlimen (PKR-PH) Pasir Gudang, Johor |
Satu kesilapan besar yang dilakukan oleh pentadbiran kerajaan Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad dari tahun 1982 hingga 2004 dari aspek pembangunan ekonomi nasional ialah PM Dr Mahathir Mohamad terjebak dalam ketaasuban membina golongan kapitalis kroni.
Rangkaian kedua 5G dan munculnya lagi kapitalis kroni
Nampaknya pentadbiran kerajaan PM kesepuluh Anwar Ibrahim yang baru berumur 2 tahun sejak 24 November 2022 mulai terjebak juga dengan kesilapan membina kapitalis kroni.
Bezanya Dr Mahathir Mohamad membina kapitalis-kapitalis kroni dari kalangan kaum Melayu, Cina dan India dari kalangan rakyat biasa yang merupakan usahawan-usahawan baru muncul yang berpotensi dan rapat dengannya.
Manakala di bawah PM Anwar Ibrahim mulai wujud sistem hibrid dalam pembinaan kapitalis-kapitalis kroni. Di bawah Perdana Menteri kesepuluh terdapat tiga jenis kapitalis kroni.
Golongan pertama ialah kapitalis-kapitalis kroni yang terbina sejak zaman pentadbiran Dr Mahathir Mohamad yang semakin matang dan berpengalaman kini terus wujud mengelilingi dan menumpahkan kesetiaan dan sokongan kepada Perdana Menteri yang baru.
Mereka ini pemain-pemain besar dalam industri tenaga elektrik, industri digital dan industri pengangkutan seperti pelabuhan dan penerbangan.
Golongan kedua kapitalis kroni di zaman Kerajaan Madani ini belum begitu meluas, belum begitu berani kerana gerak tindaknya sering diperhati.
Kapitalis kroni jenis kedua ini yang rapat dengan perdana menteri adalah pemain kecil, masih amature, yang baru muncul dan tidak ada track record sebagai usahawan berjaya tetapi mendapat peluang dan ehsan daripada kapitalis kroni golongan pertama yang sedang membina jambatan hubungan rapat dengan perdana menteri kesepuluh.
Tetapi golongan ketiga kapitalis kroni di zaman PM Anwar Ibrahim agak luar biasa. Golongan ini tidak ramai tetapi amat menonjol. Golongan ini agak kebal dan tidak mudah disentuh kerana dilindungi oleh momokan undang-undang yang bernama 3R.
Wujudnya golongan kayangan ini yang melakukan fungsi perniagaan yang dilarang oleh undang-undang telah terdedah sekarang ini apabila Kerajaan Persekutuan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia telah memberikan lesen mengendalikan rangkaian kedua 5G kepada sebuah syarikat telsco yang relatifnya pendatang baru tetapi 22.31 peratus saham equiti syarikat tersebut dikuasai oleh institusi yang dilarang oleh Perkara 34(3) Perlembagaan Persekutuan untuk melibatkan diri secara aktif dalam apa-apa perusahaan komersial.
Imej kerajaan Madani pimpinan PM Anwar Ibrahim yang menjadikan perjuangan menegakkan tatakelola, urustadbir kerajaan yang baik, telus dan amanah mulai tercalar dan dipersoalkan angkara munculnya kembali amalan membina kapitalis kroni tetapi kali ini datangnya dari golongan mahakaya.
Dimuatnaik dan diadaptasi dari tulisan Hassan Abdul Karim yang dipetik dari siaran Malaysiakini bertarikh 5 November 2024.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan dan pendirian Permadu Malaysia.
End©Permadu
Dimuatnaik dan adaptasi oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2024 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment