Bilionaire Ananda Krishnan pergi, takkan kembali lagi
Dalam suasana sugul, media melaporkan hartawan dan tokoh perniagaan terkemuka Malaysia, Tan Sri T Ananda Krishnan meninggal dunia hari ini pada usia 86 tahun.
Berita Harian memetik Usaha Tegas Sdn Bhd, firma pegangan pelaburan yang diketuai oleh Ananda, mengesahkan pemergiannya hari ini.
"Dengan rasa sedih kami mengumumkan pemergian Pengerusi kami, T Ananda Krishnan, yang meninggal dunia secara tenang pada 28 November 2024.
"Mendiang telah membuat sumbangan besar kepada pembinaan negara dan dunia korporat dan inisiatif dermawannya telah menyentuh banyak kehidupan.
"Kami dengan rendah hati meminta agar hasrat keluarga untuk berkabung secara tertutup dihormati," kata Usaha Tegas dalam satu kenyataan.
Ananda yang sering dirujuk sebagai 'AK' adalah antara individu terkaya di Malaysia, dengan nilai bersih dianggarkan lebih AS$5 bilion.
Terkenal dengan sikap rendah dirinya, mendiang membina empayar yang pelbagai merangkumi telekomunikasi, media dan tenaga melalui syarikatnya, Usaha Tegas.
Dilahirkan pada 1938 di Brickfields, Kuala Lumpur, Ananda memperoleh ijazah dalam sains politik dari University of Melbourne dan kemudiannya menamatkan Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Harvard Business School.
Perjalanannya dalam perniagaan bermula dengan usaha dalam perdagangan minyak, yang akhirnya berkembang menjadi pelaburan dalam teknologi dan media.
Antara pegangan kepentingannya termasuk dalam syarikat telekomunikasi Maxis, Astro Malaysia Holdings Bhd dan Bumi Armada Bhd.
Mendiang juga melancarkan MEASAT, perintis industri satelit Malaysia.
Ananda juga komited dalam membantu kebajikan kemasyarakatan dengan melalui Yayasan Ananda Krishnan, mendiang memberi sumbangan besar kepada pendidikan, seni, sukan dan inisiatif kemanusiaan.
Aktiviti amalnya telah memberikan biasiswa dan sokongan kepada individu yang tidak terkira banyaknya, mencerminkan dedikasinya untuk membantu meningkatkan taraf hidup masyarakat.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut.
Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment