Artis-artis super-veteran menangis depan kamera, mengenang arwah Ahmad Nawab
Di zaman susah, Ahmad Nawab pernah seminggu tak makan nasi
Apabila seseorang yang terkenal diberitakan meninggal dunia, sudah menjadi perkara lumrah ramai orang akan meratapi penergian itu.
Jadi, jika terdapat satu atau lebih individu menangis, lebih-lebih lagi di hadapan kamera, ia sesuatu yang dijangka dan tidaklah mengejutkan sangat.
Antara artis yang kelihatan menangis itu ialah bintang nostalgikal Seniwati Rosnani Jamil dan bintang ala Hindustan Datuk DJ Dave.
Dalam era 80an, sebuah akhbar berbahasa Inggeris menyifatkan Ahmad Nawab sebagai StarMaker atau pembikin bintang. Ketika itu, Allahyarham telah mencipta lagu untuk 49 orang penyanyi. Dan penyanyi yang ke-50 adalah dirinya sendiri!
"Sedih rasanya hati ini apabila penyanyi yang sudah popular melupakan diri ini.."
Tiada muzik selembut muzik Ahmad Nawab. Sungguh istimewa!
Kelmarin, media tempatan melaporkan legenda muzik, Tan Sri Datuk Seri Dr Ahmad Nawab, 92, meninggal dunia di kediamannya di Taman Melewar, Batu Caves di Selangor, pada jam 3.15 petang kelmarin, Ahad 24 November 2024.
Berita sedih pemergian Allahyarham Ahmad Nawab atau nama penuhnya, Ahmad Khan Nawab Khan itu disahkan cucunya, Encik Khairul Hafis Khan.
Khairul Hafis berkata, datuknya tidak mempunyai penyakit kronik, namun, keadaannya lemah selepas dibenarkan pulang daripada rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), bulan lalu.
"Bulan lalu, kami bawa datuk ke IJN sebab beliau sesak nafas. Selepas dibenarkan pulang, keadaan datuk okay, tetapi, agak lemah.
"Tadi, selepas datuk ke tandas, beliau lemah dan tidak sedar. Emak telefon saya suruh datang. Setibanya saya, datuk sudah tiada. Kalau hendak kata datuk sakit kronik... Tiada penyakit kronik," katanya ketika dihubungi akhbar Dan portal berita popular BH Online pada 24 November.
Hafis berkata, pengebumian arwah datuk mungkin disempurnakan, pagi 25 November (semalam).
"...Kemungkinan di Tanah perkuburan di Taman Samudera," katanya.
Allahyarham Ahmad Nawab dianggap maestro muzik yang mencipta legasi dalam industri rakaman negara dengan lebih 2,000 lagu digubah sejak era 1950-an.
Pada 5 Jun 2023, Allahyarham Ahmad Nawab dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Memulakan karier muzik sejak berusia 16 tahun, Allahyarham Ahmad Nawab dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ke-7 oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006, iaitu penganugerahan tertinggi negara kepada seniman terutama dalam bidang muzik.
Sepanjang kariernya, Allahyarham Ahmad Nawab menghasilkan lebih 200 album yang didendangkan artis tempatan seperti Allahyarham Sharifah Aini, Datuk Jamal Abdillah dan Datuk Khadijah Ibrahim. Allahyarham Ahmad Nawab juga mencipta lagu untuk bintang Indonesia seperti Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.
Sepanjang kariernya, Allahyarham Ahmad Nawab yang pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun, memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) bagi lagu ciptaan pertamanya Bintang Malam pada 1980.
Atas kepakaran dan pencapaiannya, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengurniakan anugerah Doktor Falsafah dalam bidang penulisan kehormat pada 2000.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2024 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment