Benci Tapi Rindu, perasaan Ibrahim Ali terhadap Anwar Ibrahim

Gambar Anwar Ibrahim lebih 40 tahun lalu

SEJARAH TIDAK BOLEH DIREKAKATA IBRAHIM ALI

Artikel ini adalah adaptasi dari hasil tulisan Nur Hasliza Mohd Salleh untuk MalaysiaNow, disiarkan portal berkenaan pada 3 Jun 2023.

Ahli politik dan aktivis, Datuk Ibrahim Ali tidak pernah menyangka ucapannya pada suatu ketika dulu di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur menjadi tular di media sosial pada minggu yang sama filem mengangkat bekas sekutunya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditayangkan di seluruh negara bermula 18 Mei lalu.

Ibrahim Ali

Dalam satu wawancara bersama portal berkenaan, Ibrahim berkata beliau sendiri tidak pernah mengetahui bahawa ucapan yang sudah menjangkau usia lebih sedekad itu pernah dirakam oleh individu yang hadir.

Video yang tersebar di platform WhatsApp dan TikTok itu menunjukkan Ibrahim mengimbau kembali kejadian di belakang tabir yang berlaku sebelum pemecatan Anwar pada 2 September 1998.

Dipercayai, video itu dirakam ketika Ibrahim hadir dalam program Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menolak perjuangan politik Anwar.

Kini, selepas lebih dua dekad berlalu, Ibrahim memberitahu pendirian dan kenyataan yang dibuatnya dalam rakaman tersebut masih sama dan beliau konsisten dengan apa yang disebutnya terhadap Anwar yang kini merupakan perdana menteri.

Ibrahim yang mempunyai karier politik yang berwarna-warni itu yakin dan percaya, semua yang dilontarkan dalam video itu bukanlah bentuk tuduhan, fitnah, propaganda politik, iri hati mahupun untuk mempersendakan mana-mana pihak.

Sebaliknya, bersungguh-sungguh menceritakan apa yang benar-benar berlaku pada malam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang menjadi kemuncak kemelut politik antara Anwar dan perdana menteri keempat, Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad.

“Saya ucapkan selamat berjaya, semoga cita-cita dia dah tercapai.

“Tapi saya tak tahu macam mana dia nak ‘erase’ (padam) benda-benda yang dia dah terlibat.

“Dah buat filem, kononnya dia kena konspirasi, dizalimi dan sebagainya.

“Sekarang dah jadi PM, buatlah sesuatu,” katanya dalam wawancara tersebut di Ibu Pejabat Parti Putra di Kuala Lumpur.

Menurut Ibrahim, beliau sendiri tidak pernah bercadang atau niat untuk menonton filem “Anwar: The Untold Story” itu di pawagam kerana ianya tidak menggambarkan sejarah dan fakta sebenar yang berlaku di sebalik perjalanan politik Anwar ketika beliau menjadi timbalan perdana menteri dan menteri kewangan sebelum dipecat oleh mentornya, Mahathir.

Ibrahim turut mengkritik sikap pembikin filem tersebut yang dilihat sengaja mengetepikan pandangan dan versi pihak lain dalam filem tersebut, satu keadaan yang berbeza dengan cara pembikinan filem tokoh-tokoh oleh negara Barat khususnya di Hollywood yang meletakkan jalan penceritaan sangat teliti dan tidak berat sebelah.

Katanya, sekurang-kurangnya pihak pembikin filem itu bertemu dan mendapatkan pandangan Mahathir tentang apa yang berlaku ketika itu sekali gus memberikan perspektif yang lebih luas dan berbeza.

“Inilah sejarah, tak boleh ditokok tambah sendiri. Memang boleh reka tapi ianya tak jadi fakta. Bila dikorek, orang akan tahu juga.”

Atas sebab itu katanya, tidak menghairankan filem itu kini dilanda kontroversi dan “memakan diri” perdana menteri sendiri.

Hubungan ‘love-hate’ dengan Anwar

Ibrahim yang juga bekas orang kuat UMNO Kelantan pernah menarik perhatian umum kerana rapat dengan Anwar sewaktu mereka bersama-sama terlibat dalam demonstrasi pelajar pada 1970-an, yang menyaksikan kedua-duanya ditahan selama dua tahun mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Tahanan Kamunting.

Ketika ditanya mengenai status hubungannya dengan Anwar, Ibrahim hanya ketawa panjang.

Kemudian, beliau memulakan ceritanya.

Perkenalan mereka bermula sejak tahun 1971 ketika itu Ibrahim masih di tingkatan enam di Kelantan sementara Anwar sudah menuntut di universiti dan mengetuai Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Ibrahim berkata selepas beliau berjaya memasuki universiti, dirinya boleh merasakan Anwar sudah mula “rimas” dengan dirinya.

Beliau menyifatkan, Anwar merasakan Ibrahim seakan mahu menyaingi kedudukan dan reputasinya sedangkan beliau ketika itu sangat menyanjung tinggi pemimpin tersebut khususnya kemahiran beliau dalam berpidato dan pengucapan awam.

Masa berlalu, Ibrahim berkata tidak sedikit jasanya dicurahkan kepada Anwar, begitu juga sebaliknya.

Rakannya itu juga banyak membantu apabila diminta.

Bagaimanapun, beliau menegaskan disebabkan perangai dan prinsip hidupnya membuatkan dirinya makin jauh dengan Anwar.

Beliau memberitahu bahawa dirinya tidak pandai bersembunyi dan memendam rasa dan lebih terbuka serta lantang dalam memberikan pandangan terutamanya dalam perkara-perkara yang dirasakan wajib ditegur.

Keadaan itu berbeza dengan situasi politik di Malaysia di mana kata Ibrahim, seseorang itu perlulah berdiam diri, akur, mengangguk dan mencium tangan pemimpin yang berada di kedudukan yang lebih tinggi.

Dengan cara itu, mereka boleh jadi semakin rapat dengan pangkat dan kedudukan yang diinginkan.

“Tetapi saya tidak dilahirkan begitu.

“Saya percaya, dia tidak akan tersinggung kerana dia sudah berada di atas. Kalau ada pandangan-pandangan yang tak senangkan hati, pemimpin mesti mampu dan bersedia untuk terima apa jua pandangan.

“Kata-kata Anwar sendiri pun selalu cakap, kita kena berterus terang.”

Tetapi menurut Ibrahim, sepanjang mengenali Anwar, perdana menteri sebenarnya tidak suka menerima kritikan.

“Dia lantang boleh, orang lantang (tegur) dia, tak boleh. Kena ‘say yes’ (cakap ya).”

Sehingga kini, beliau masih menganggap Anwar sebagai seorang rakan meskipun beliau merasakan perdana menteri tidak menganggap dirinya sebagai sahabat.

“Hubungan saya dengan Anwar ni, ‘hate’ dan ‘love’. Macam mana tu? Benci-benci tapi sayang.”


End©Permadu


Adaptasi oleh Fauzi Kadir

Konsep/Teknik Persembahan/Teks
dibantu oleh Rahayu Mansor


Suntingan terakhir dan dibawa kepada anda oleh
Fauzi Kadir KETUA PENGARANG

© 2023 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
E-mel: permadu@gmail.com

DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH JEMAAH SIDANG PENGARANG 

Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Beer, khalwat and a hundred other non-halal things

Handsome anak lelaki tunggal Anwar Ibrahim dan Wan Azizah

Penjelasan Tengku Zafrul umpama Hail Amir tanya Uji Rashid

Singapura Tanam Padi

Kuasa didahulukan, reformasi dikemudiankan – realiti yang akan dilakukan semua perdana menteri

GEMPAR: MUFTI PERLIS TERLIBAT BUNUH AMRI CHE MAT?

Gaji CEO TNB khabarnya berjuta, tapi prestasi GLC itu macam tak sepadan

Kes-kes bunuh diri terjun jambatan di Kelantan membimbangkan

Jabatan Penjara Malaysia jawab "Abang Mat" mengenai layanan kepada Anwar sebagai banduan

Sekolah Kebangsaan – High Budget But Low Quality?