Poster berunsur munafik Jabatan Imigresen dikecam
Antara Palestin dan Rohingya
Poster yang dimuat naik di akaun Twitter Jabatan Imigresen mengenai pelarian Rohingya. |
Kumpulan hak asasi Amnesty International Malaysia semalam mengecam Jabatan Imigresen berhubung sebuah poster memberi amaran kepada pelarian Rohingya yang datang ke Malaysia, mengatakan ia bertentangan dengan kenyataan kerajaan baru-baru ini berhubung sokongan terhadap warga Palestin, lapor MalaysiaNow.
Dalam sebuah kenyataan, ia berkata “komunikasi strategik” dan polisi yang ditunjukkan daripada poster tersebut hanya akan “mencetuskan suasana kebencian, keganasan dan xenofobia”.
“Ia boleh menjejaskan nyawa, ia juga menghukum orang yang sedang berusaha untuk meneruskan kehidupan, ia juga menghalalkan diskriminasi,” tambahnya.
Poster yang dimuat naik akaun Twitter Jabatan Imigresen memaparkan beberapa orang lelaki beruniform memegang senjata dengan beberapa pesawat tentera berterbangan di latar poster tersebut selain beberapa buah bot dipenuhi pendatang asing.
(Kemaskini: Poster itu sudah dikeluarkan daripada laman Twitter Jabatan Imigresen)
Kapsyen poster itu berbunyi: “Migran etnik Rohingya, kedatangan anda tidak diundangi”.
Amnesty menyifatkan poster tersebut sebagai “memualkan” kerana ia seakan memberitahu komuniti yang melalui kekejaman pembersihan etnik dan berdepan “keganasan yang tak dapat dibayangkan sejak beberapa generasi” bahawa “mereka bukan sahaja tidak diingini di negara kita, bahkan kita akan gunakan kekerasan terhadap mereka”.
“Perkara ini adalah sangat aneh apabila ia datang daripada pemimpin-pemimpin yang berkokok kepada masyarakat antarabangsa tentang keprihatinan mereka mengenai rakyat Palestin pada satu minggu, kemudian tak lama kemudian mengancam secara ganas terhadap orang lain yang sedang trauma dan kehilangan tempat tinggal.
“Bagaimana kerajaan Malaysia boleh membenarkan kemunafikan sedemikian rupa?”
Amnesty turut menambah pelarian dan pendatang asing berhak untuk dilayan dengan peri kemanusiaan, sambil menambah “orang akan datang ke negara kita kerana mereka ingin terus hidup”.
“Kita boleh pilih untuk habiskan duit dan sumber untuk tindakan keras dan kebencian, atau kita boleh respons hal ini dengan layanan baik dan berikan perlindungan.
“Kerajaan Malaysia mesti jelaskan mengapa hal ini boleh terjadi, terutama ketika dunia berdepan pandemik, mereka pilih untuk serang orang yang memerlukan bantuan,” katanya.
Comments
Post a Comment