Filem Malaysia menang anugerah di Singapura dan Rusia

 Ray Lee
Penerbit dan sutradara

Belapan Hidup : Infeksi Zombie

MEMBANGGAKAN negara, apatah lagi belanjawan menghasilkan karya ini diperoleh daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), filem Belaban Hidup : Infeksi Zombie mencapai kejayaan membanggakan di festival filem 'indie' di Singapura dan Russia, lapor Berita Harian.

Bukan sekadar mengungguli kategori Seram dan Sains Fiksyen bagi genre filem cereka di World Film Carnival (WFC) Singapore 2021, filem Belaban Hidup : Infeksi Zombie meraih trofi Filem Cereka Terbaik dan Filem Seram Terbaik di International Symbolic Art Film Festival 2021 di Russia.

Kemenangan itu membuktikan filem terbitan Hornbill Films Sdn Bhd dan Harry Aziz Entertainment Sdn Bhd itu memiliki keunikan tersendiri dengan mengetengahkan budaya Dayak di Sarawak.

Penerbit dan pengarahnya, Ray Lee, 45, berkata, pada awalnya mereka hanya mencuba nasib dengan menghantar karya berkenaan ke beberapa festival filem luar negara, namun, tidak disangka beroleh kejayaan.

"Kami hanya mahu mencuba nasib mempersembahkan filem kami di festival luar negara, tidak sangka ia membuahkan hasil.

"Sudah pasti kami sangat terharu apatah lagi apabila mendapat tahu orang luar teruja selepas menonton. Ada yang terkejut filem ini dihasilkan oleh rakyat Malaysia.

"Menyaksikan budaya Dayak yang diketengahkan dalam filem ini membuat mereka tertanya-tanya, apakah benar Dayak adalah budaya di Sarawak.

"Mungkin disebabkan keunikan budaya Dayak itu yang membuatkan kami berjaya meraih kemenangan ini.

"Atas kejayaan ini, kami fikir industri perfileman dunia dahagakan filem yang mengetengahkan budaya unik seperti ini," kata Ray Lee.

Lee ketika melakukan kerja penggambaran filem Belaban Hidup : Infeksi Zombie yang meraih trofi dalam festival filem di Singapura dan Russia, baru-baru ini. Foto Ihsan Hornbill Films Sdn Bhd
Lee ketika melakukan kerja penggambaran filem Belaban Hidup : Infeksi Zombie yang meraih trofi dalam festival filem di Singapura dan Russia, baru-baru ini. Foto Ihsan Hornbill Films Sdn Bhd

Berkongsi lanjut, Lee berkata, idea untuk menghasilkan filem berkenaan bermula sejak 2016 melalui kolaborasi dengan penulis skrip Misha Minut yang juga penerbit bersama yang berasal dari Limbang, Sarawak.

"Pada mulanya, ia cerita pendek tetapi diubah menjadi sebuah filem.

"Kita tahu, tidak banyak cerita kaum Dayak yang ditayangkan di pawagam. Lantas, terniat di hati saya menerbitkan sebuah filem yang mengetengahkan kisah pahlawan Dayak Sarawak," katanya.

Lee mengaku sejak kecil suka menonton filem dari Borneo.

"Saya membesar dengan menonton filem seram dari serata dunia. Namun, di sebalik elemen seram, saya menyelitkan mesej berguna buat penonton. Saya tidak mahu filem dihasilkan menjadi hiburan semata-mata.

"Syukur, saya berbangga apabila filem Belaban Hidup : Infeksi Zombie menjadi filem Malaysia pertama yang mengetengahkan kisah zombie yang serius," katanya.

Lee berharap filemnya mendapat sambutan peminat filem tempatan apabila ditayangkan di pawagam kelak.

"Kalau mengikut perancangan filem ini akan ditayangkan pada Ogos depan. Namun, atas kejayaan ini, mungkin kami mahu menyegerakan tayangan bagi merancakkan sambutan.

"Saya berharap filem ini mendapat sambutan positif. Kalau penonton Malaysia boleh melihat filem seram dan ganas di Netflix, mengapa mereka tidak boleh menonton filem ini," katanya.

Tambah Lee, filem berkisar budaya di Sarawak itu tidaklah 100 peratus berlatar belakangkan kehidupan masyarakat perkampungan, sebaliknya, turut digabungkan elemen moden.

Malah, pelakon utamanya, Pablo Amirul bukanlah berasal dari Sarawak.

Lee memuji keupayaan Pablo dalam menghidupkan wataknya sebagai Gadang biarpun perlu menguasai bahasa Iban dalam tempoh singkat.

"Pablo mempelajari bahasa Iban setiap kali sebelum menjalankan penggambaran.

"Saya memuji semangat dan kecekalan Pablo dalam memastikan wataknya disampaikan dengan baik," kata pengarah dan penerbit yang berasal dari Kuala Kubu Bharu, Selangor itu.

Mendapatkan reaksi aktor itu, Pablo mengaku cabaran terbesar baginya adalah dalam menguasai bahasa Iban.

"Ini adalah antara filem yang sukar dilakonkan sepanjang kerjaya lakonan saya. Saya kena berbahasa Iban sebanyak 80 peratus.

"Bayangkan bahasa yang kita tidak pernah belajar, tapi kita kena kuasai dalam masa yang singkat.

"Apatah lagi, saya diminta menggantikan pelakon asalnya sehari sebelum penggambaran dijalankan.

"Jika diikutkan, saya tidak mahu buat sebab tiada pelakon yang mahu menghancurkan karier lakonan dengan menerima tawaran yang difikir tidak mampu dilakukan.

"Pada suatu tahap, saya mengaku berputus asa. Saya sanggup memulangkan bayaran.

"Kalau penerbit hendak saman pun saya tidak kisah berjumpa di mahkamah. Namun, atas nasihat dan dorongan kawan saya yang juga penolong pengarah, Dharma Aizat, saya habiskan filem ini," katanya.

Namun, Pablo berkata, kejayaan filem Belaban Hidup : Infeksi Zombie adalah milik semua pelakon dan kru.

"Ini bukan kejayaan saya seorang, sebaliknya keseluruhan pasukan yang menjayakan filem ini.

"Saya tabik kepada mereka kerana siang dan malam membantu saya menghayati watak secara maksimum," katanya meluangkan masa empat jam sehari di lokasi penggambaran bagi menguasai bahasa Iban.

Pablo mengaku gementar menunggu maklum balas penonton tempatan, terutamanya masyarakat Iban.

"Iyalah pertuturan saya kedengaran baik bagi orang luar tapi bagaimana dengan orang Borneo sendiri.

"Tapi saya tahu orang Borneo akan menyokong setiap karya yang berkisarkan mengenai budaya mereka," katanya.

Sama seperti Lee, Pablo berharap filem ini mendapat sambutan baik dari peminat filem tempatan, apatah lagi selepas kejayaan dicapai di festival luar negara.

"Sekiranya sambutan bagus, bagi saya itulah adalah pengiktirafan tertinggi daripada memenangi anugerah sebagai pelakon terbaik.

"Insya-Allah saya mengharapkan yang terbaik. Saya ingin menyatakan watak Gadang boleh mengetengahkan keupayaan saya sebagai pelakon.

"Melalui filem ini, orang tidak lagi hanya melihat saya sebagai pelakon antagonis, sebaliknya saya boleh menjayakan watak seperti Gadang," katanya.

Selain Pablo, filem ini dibintangi Pekin Ibrahim, Altimet, Anna Melissa, Cassidy Panggau dan penyanyi Indonesia, Tegar serta pelakon kelahiran Slovakia, Katrina Grey.

Filem ini berkisar sekumpulan anak yatim dikurung untuk menjadi bahan uji kaji oleh seorang saintis gila.


Dibawa kepada anda
oleh Fauzi Kadir 
untuk Permadu Malaysia

● 2021 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
Hubungi kami +6011 1185 9874
atau permadu@gmail.com

Blog Permadu Malaysia
Facebook Permadu Harmony
Page Permadu Station
Audio Visual PermaduTV
Music PermaduMusic

Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Beer, khalwat and a hundred other non-halal things

Handsome anak lelaki tunggal Anwar Ibrahim dan Wan Azizah

Penjelasan Tengku Zafrul umpama Hail Amir tanya Uji Rashid

Singapura Tanam Padi

Kuasa didahulukan, reformasi dikemudiankan – realiti yang akan dilakukan semua perdana menteri

GEMPAR: MUFTI PERLIS TERLIBAT BUNUH AMRI CHE MAT?

Gaji CEO TNB khabarnya berjuta, tapi prestasi GLC itu macam tak sepadan

Kes-kes bunuh diri terjun jambatan di Kelantan membimbangkan

Jabatan Penjara Malaysia jawab "Abang Mat" mengenai layanan kepada Anwar sebagai banduan

Sekolah Kebangsaan – High Budget But Low Quality?