BANJIR DI PAHANG DAN KELANTAN DIBURUKKAN KERJA PEMBALAKAN?

 Kerakusan membawa kemusnahan

Sungai Pahang di Temerloh, gambar diambil pada 10 Januari 2021

Gambar dari Malaysiakini

SAMPAI bila faktor cuaca akan terus menjadi ‘mangsa’ tudingan setiap kali berlaku bencana alam seperti banjir yang sedang dialami beberapa negeri ketika ini.

Walaupun sudah menjadi kelaziman setiap tahun namun arah aliran banjir yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini jauh berbeza

Paras air yang naik mendadak dengan bawaan air bersama lumpur menunjukkan faktor manusia turut menjadi penyumbang kepada penambahan intensiti dan kesan risiko banjir.

Malah di media sosial, ada netizen membuat kesimpulan banjir terutama di Pahang adalah ‘banjir buatan’ kesan daripada tangan manusia yang memusnahkan alam demi pembangunan dan mengaut keuntungan.

Isu penerokaan dan penebangan hutan yang tidak terkawal khususnya di Pahang dan Kelantan pula seperti tiada kesudahan.

Tiada yang dapat menafikan peranan hutan sebagai benteng kepada bencana alam seperti banjir, kemarau, tanah runtuh, pencemaran, ribut dan gangguan fizikal lain. Penebangan hutan tidak terkawal di negara ini ternyata memberi impak besar bukan sahaja kepada manusia tetapi juga alam sekitar.

Pensyarah Kanan Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata aktiviti pembalakan dan perubahan guna tanah hutan mendatangkan kesan buruk yang boleh mengundang kepada peningkatan kejadian bencana alam.

Hutan, katanya, memainkan peranan yang sangat efektif dalam mengawal masalah banjir dengan menutup permukaan tanah daripada hakisan hujan, menadah serta menyimpan limpahan air hujan.

“Hutan menjadi span semula jadi dalam menyerap air hujan. Ini kerana struktur hutan yang berakar menjalar dan tunjang dengan pelbagai saiz bertindak sebagai jaringan konkrit semula jadi untuk memegang struktur tanah.

“Apabila peranan ini dilenyapkan tidak hairanlah ketika berlaku hujan lebat, banjir mudah terjadi,” Bernama memetik Haliza sebagai berkata.

Menurut Haliza lagi, antara fungsi hutan adalah menahan atau mengurangkan had laju air hujan ke sungai dan seterusnya mengawal pergerakan air hujan ke laut.

Harta musnah, korban nyawa

Justeru, katanya, proses pembangunan tidak terkawal meliputi penyahhutanan akan menyebabkan larian air hujan menjadi lebih cepat, sekali gus mengacau proses semula jadi aliran air dan menyebabkan sesuatu lokasi di hilir akan mendapat air yang banyak secara tidak terkawal hingga menyebabkan banjir.

“Penyahhutanan hutan tanah tinggi yang berleluasa sekarang bukan sahaja membinasakan alam semula jadi tetapi turut memusnahkan ‘hutan awan’ yang boleh mengakibatkan kehilangan sumber air kerana tanpa pokok sebahagian besar lembapan di udara akan kekal di tempatnya sehingga proses hujan berlaku,” katanya.

Isu penerokaan hutan bagi tujuan pembangunan bukan baru berlaku mengambil contoh di Pahang apabila Pusat Pencerapan Bumi mendapati sejak 1989, lebih 20 peratus kawasan hutan di Pahang telah diterokai untuk pembangunan.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini menyatakan 2,531 hektar hutan simpanan kekal di Pahang diteroka secara haram membabitkan keluasan 0.165 peratus daripada 43 peratus keseluruhan hutan simpan kekal.

Setakat Jun 2019, terdapat 2.5 juta hektar hutan di Pahang dengan 1.56 juta hektar daripadanya kawasan hutan rizab simpanan kekal.

Sementara itu, Presiden Pelindung Khazanah Alam (Peka) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil (gambar, bawah)  meminta pihak berkenaan berhenti menyalahkan fenomena alam termasuk hujan lebat sebagai punca berlakunya banjir besar sehingga mengakibatkan kemusnahan harta benda dan mengorbankan nyawa.

“Ini bukan disebabkan faktor hujan atau cuaca. Selama ini kita memang tahu negara kita mengalami monsun timur laut menjelang hujung tahun… kadangkala dengan taburan hujan yang tinggi, kadangkala sedikit.

“Banjir besar tidak akan berlaku sekiranya kita mempunyai hutan mencukupi untuk bertindak sebagai span yang akan mengawal aliran air, namun yang berlaku kini hutan-hutan digondolkan menyebabkan air hujan terus mengalir bersama selut dan kayu sisa pembalakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa setiap kerajaan negeri supaya berhenti menjadikan hutan yang ada di negeri masing-masing sebagai mesin pengeluaran wang automatik (ATM) atau jalan pintas untuk mendapatkan wang.

Beliau juga menyarankan supaya pindaan undang-undang dilakukan di Parlimen dengan meletakkan kuasa pentadbiran tanah khususnya di kawasan Banjaran Titiwangsa yang juga sendi kepada Semenanjung Malaysia diletakkan di bawah kerajaan Persekutuan bagi mengelakkan penerokaan hutan keterlaluan.

“Jika kita tidak mahu kemusnahan lebih teruk pada masa akan datang, kita perlu memastikan 50 peratus kawasan di negara ini diliputi hutan, hentikan penerokaan dengan menggunakan alasan penanaman durian musang king, kelapa sawit atau getah kerana ia bukan hutan.

“Selagi pihak berkenaan rakus melakukan penerokaan, selagi itu rakyat akan terus berhadapan risiko bencana seperti banjir ini yang akhirnya mengorbankan nyawa, memusnahkan harta benda dan menimbulkan ancaman penyakit,” katanya.


Sebuah rencana terbitan Bernama Tulisan Kurniawati Kamarudin


Dibawa kepada anda
oleh Fauzi Kadir 
untuk Permadu Malaysia

● 2020 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
Hubungi kami +6011 1185 9874
atau permadu@gmail.com

Penasihat dan Perunding Sidang Pengarang
Dr Zafiyah Hussain


Kumpulan Permadu Media
Blog Permadu Malaysia
Facebook Permadu Harmony
Page Permadu Station
Audio Visual PermaduTV
Music PermaduMusic

Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Beer, khalwat and a hundred other non-halal things

Mengapa tidak Sultan Pahang sendiri mengklarifikasi baginda ada bertitah addendum atau pun tidak

Satu demi satu agamawan problematik muncul, terkini Dr Mashitah Ibrahim

Representing 22,000 lawyers, Malaysian Bar to challenge Pardons Board's reduced Najib's jail sentence and fine

Boss Wanita Kastam bercuti ke Bangkok pakai duit sendiri

Laporan polis Perkasa berunsur sindiran kepada Raja-Raja Melayu?

Sultan Ibrahim tidak akan melayan sama sekali mereka yang melobi untuk mendapat gelaran Tan Sri, Datuk

Profesor Universiti Malaya didakwa hantar gambarnya sendiri berbogel kepada pelajar perempuan

Imam, son and religious officer arrested — Alleged RM1.2m corruption involving marriage registration in Perlis

Dipaksa kahwin atas arahan Nabi Muhammad SAW dan Abuya? Mengarut!