M DAUD KILAU BELAJAR CARA GUNA KERUSI RODA ELEKTRIK
Raja Gelek Malaysia terharu
PENYANYI veteran M Daud Kilau berkata beliau tidak sabar untuk beraksi semula di pentas jika diberi kesembuhan dengan izin Yang Maha Esa.
Beberapa hari kebelakangan ini rumah M Daud Kilau di Bagan Datok sentiasa sibuk melayani kunjungan pelbagai pihak yang datang menghulurkan bantuan.
Ini berikutan tersebarnya berita M Daud Kilau kini menderita sakit sejak empat tahun lalu menyebabkan beliau hilang punca pendapatan.
M Daud Kilau, 82, baharu sahaja menerima bantuan sebuah kerusi roda elektrik dari pejabat Menteri Besar Perak. Menurut Raja Gelek Malaysia itu, beliau masih belum pandai cara-cara menggunakan kerusi roda jenis automatik itu kerana terlalu sibuk melayan tetamu dan tidak sempat belajar kaedah penggunaannya.
Bagaimanapun, M Daud Kilau akan meluangkan masa hari ini untuk mempelajarinya.
Dengan nada sebak bercampur riang, M Daud Kilau berkata kehadiran para tetamu silih berganti sejak beberapa hari ini membuatkan beliau merasa seolah-olah separuh dari penyakitnya sudah pulih.
M Daud Kilau juga berkata kerusi roda elektrik akan mempermudahkannya berulang-alik ke surau berdekatan untuk solat berjemaah serta mencari saham akhirat.
Antara tetamu yang telah mengunjungi M Daud Kilau setakat ini termasuk pegawai Jabatan Masyarakat Perak, pegawai Pejabat Menteri Besar Perak, pegawai Baitulmal Perak, wakil Pertubuhan Seniman, pengerusi Finas, pendakwah sensasi Ustaz Ebit Liew, ahli parlimen Bagan Datok yang juga presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ramai lagi.
Comments
Post a Comment