A Kadir Jasin Melihat Syed Saddiq Membalas Sindiran Kayangan Johor
![]() |
| Gambar ini A Kadir Jasin ambil sendiri di Batu Pahat. Katanya, ia catatan kamera telefon pintar pada 16 Mei 2016. |
SIFAT TERPUJI DALAM POLITIK
1. Saya jarang puji ahli politik. Bukan kerana tidak ada ahli politik yang layak dipuji. Ada.
2. Saya tidak puji sebab dasar saya tentang ahli politik dan kepimpinan. Bagi saya, ahli politik mesti bersifat terpuji dan membuat kerja-kerja terpuji.
3. Bagi yang menjadikan politik sebagai perjuangan, balasannya ada keredhaan Allah dunia dan akhirat.
4. Yang menjadikan politik sebagai kerjaya, mereka dibayar gaji, elaun, pencen dan pelbagai keistimewaan dunia.
5. Mereka tidak perlu dipuji apatah lagi dipuja. Memadai dengan kita memberi penghargaan kepada mereka melalui peti undi.
6. Tetapi, kalau mereka mungkir janji, cabul, culas, rasuah dan jahat, kita wajib kutuk dan tolak mereka.
7. Namun tidak salah mengagumi ahli politik yang bersifat terpuji, berjasa dan dedikasi.
8. Sejak saya menjadi wartawan, bermula 16 Jun 1969, saya bernasib baik menemui, mengenali dan membuat laporan banyak ahli politik yang bersifat terpuji. Ada yang tua daripada saya, ada yang sebaya dan ada yang lebih muda.
9. Saya terus bernasib baik apabila, seingat saya, sekitar Mei 2016, saya bertemu secara formal dengan pemuda bernama Tuan Syed Saddiq bin Syed Abdul Rahman.
10. Peristiwa itu berlaku di suatu dialog umum di Bandar Batu Pahat di mana beliau, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yasin dan saya menjadi ahli penal. Moderator adalah bekas rakan sekerja saya di New Straits Times Press Berhad, Encik Solihan Haji Badri.
11. Ia dianjurkan oleh satu kumpulan yang menggelar diri mereka Gabungan Ketua Cawangan (UMNO) Malaysia. Tajuk forum itu adalah skandal 1MDB.
12. Waktu itu, Muhyiddin sudah dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana, dan selepas dialog tersebut dipecat pula daripada jawatan Timbalan Presiden serta ahli UMNO.
13. Dalam dialog itu, saya mula sedar potensi Syed Saddiq sebagai calon pemimpin pelapis. Mulai saat itu, sedikit sebanyak, setakat yang termampu, saya sokong perjuangan beliau.
14. Beliau mempamerkan sifat terpuji di bawah tekanan dengan tidak merengek, merajuk dan menyerah kalah. Beliau mengubah kesukaran (adversity) menjadi cabaran untuk mencari penyelesaian.
15. Yang terbaru, beliau mensyukuri kemenangan di Mahkamah Agung dan membalas sindiran kayangan Johor dengan berlari sambil memungut derma untuk penduduk kawasan Parlimennya, Muar.
16. Beliau berlari sejauh kira-kira 170 kilometer (105.63 batu) dari Istana Kehakiman, Putrajaya, ke Muar, mulai 16 Julai, selama empat hari.
17. Sepanjang laluan, orang ramai menyambut dan memberi semangat kepadanya. Dua hari dalam larian itu, beliau sudah berjaya memungut lebih RM360,000 untuk kawasannya.
18. Itupun, ada orang yang sedang berusaha membantut dan, kalau boleh, mematikan perjuangan politik beliau. Allah menguji orang yang terpuji dan menutup pintu hati orang yang dengki.
19. Wallahuaklam. Kita doakan Syed Saddiq dan semua orang yang terpuji, khususnya pemimpin generasi muda, agar terus memperoleh petunjuk.
Terima kasih.
Dipetik dan adaptasi dari sebuah hasil tulisan tokoh wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin, seperti hantaran di Facebook beliau hari ini, Ahad 19 Julai 2026.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.






Comments
Post a Comment