Desakan tarik balik kerakyatan 7 pemain warisan
Kementerian Dalam Negeri dibidas kerana kelihatan cuba lepas tangan
Akhbar bertaraf veteran Bahasa Melayu Berita Harian melaporkan hari ini kumpulan penyokong skuad Harimau Malaya, Ultras Malaya (UM) menegaskan isu membabitkan tujuh kerakyatan pemain negara yang didapati terbabit dengan pemalsuan dokumen tidak seharusnya terus 'diputar' sehingga menyebabkan pihak bertanggungjawab tampak cuba lepas tangan.
Menerusi satu kenyataan yang dipetik, UM melihat kenyataan dilontarkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) seolah-olah seperti menganggap masyarakat tidak memahami perbezaan antara 'pemberian kewarganegaraan' dan 'kelayakan bermain'.
Malah, UM terus mendesak pihak bertanggungjawab supaya dapat mencabar keputusan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan juga Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) sekiranya proses kerakyatan dilakukan mengikut perlembagaan.
"Jangan cuba asingkan peranan kerajaan dalam rantaian dokumen yang digunakan untuk proses kelayakan bermain di peringkat FIFA.
"Menteri kata proses kewarganegaraan ikut Perlembagaan. Baik. Kita mudahkan cerita. Jika FIFA salah dalam pendedahan mereka, cabar FIFA. Jika CAS salah dalam keputusan mereka, cabar CAS. Jika dapatan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) salah, jawab dapatan IIC secara rasmi.
"Jika semua pembongkaran itu fitnah, pertahankan nama Malaysia. Sekarang, apabila Menteri menyatakan kerajaan tidak terbabit dalam proses kelayakan kerana tertakluk kepada statut FIFA, persoalannya mudah.
"Kenyataan saksi daripada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menerangkan proses semakan, dokumen tujuh pemohon, dan asas pemberian kewarganegaraan itu datang daripada kerajaan negara mana?
"Dalam keadaan wujud percanggahan, beban untuk menjelaskan terletak pada pihak yang mengeluarkan dan mengesahkan dokumen, bukan pada rakyat untuk meneka.
"Lebih penting, apabila kandungan dan asas dokumen itu kemudian bercanggah dengan dapatan FIFA, kenapa masih mahu buat seolah-olah kerajaan langsung tidak ada kena-mengena?," soal mereka.
Dalam masa sama, UM turut melihat naratif sama terus diulang tanpa tindakan tegas meskipun selepas pembongkaran itu berlaku selama berbulan-bulan dan keputusan pengadilan sudah dikeluarkan oleh FIFA mahupun CAS.
"Ikut Perlembagaan. Ikut undang-undang. Ikut budi bicara Menteri. Itu sahaja yang diulang. Sedangkan isu ini sudah berkembang menjadi isu integriti dan kedaulatan negara.
"Untuk apa dipertahankan 7 orang pemain 'warisan' yang terbabit dalam pemalsuan dokumen itu lagi? Proses itu menimbulkan persoalan serius terhadap integritinya. Tarik balik kewarganegaraan tujuh pemain yang terbabit," katanya.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.





Comments
Post a Comment