Pencerahan dari Malaysiakini apa itu MAFIA KORPORAT
Isu 'mafia korporat' mula meletup apabila media antarabangsa, Bloomberg, membuat dakwaan tersebut pada 12 Februari lalu dengan pantas menarik perhatian masyarakat termasuk ahli politik.
Panduan ini membantu anda untuk memahami isu yang kini hangat diperkatakan kerana ia memberi implikasi serius kepada aspek tadbir urus.
• Apakah ‘mafia korporat’ itu?
Bloomberg mengaitkan isu 'mafia korporat' dengan pembabitan pegawai kanan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dipimpin ketua pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.
'Mafia korporat' merujuk kepada dakwaan bahawa SPRM bersubahat dengan individu tertentu untuk memeras atau menekan sesebuah entiti yang pesaing perniagaan lain.
Laporan yang memetik kenyataan orang dalam SPRM itu mendakwa ‘mafia korporat’ membabitkan sekumpulan kecil ahli perniagaan mengadukan sesebuah syarikat sasaran kepada agensi antirasuah negara agar mereka menjalankan siasatan terhadap entiti berkenaan.
Menariknya, siasatan SPRM itu akan membuka jalan kepada pihak pengadu mendapat akses ke atas syarikat sasaran.
• Apakah contoh isu yang dikaitkan dengan mafia korporat
Laporan Bloomberg itu memetik usaha MMAG Holdings Bhd (MMAG Holdings) untuk mengambil alih kawalan syarikat MJet Sdn Bhd daripada Encik Gunasekar Mariappan dan Encik Philip Phang.
• Apa reaksi SPRM terhadap dakwaan mafia korporat?
SPRM menepis dakwaan bahawa pegawai agensi penguat kuasa itu terlibat dalam kegiatan ‘mafia korporat’ malah menyifatkan dakwaan media antarabangsa berkenaan sebagai tidak berasas.
"SPRM berpandangan bahawa tuduhan ini merupakan satu cubaan untuk mencemarkan kredibiliti siasatan dan tindakan penguatkuasaan suruhanjaya dalam sektor korporat, khususnya terhadap pihak-pihak yang mungkin terjejas oleh tindakan undang-undang yang sedang dijalankan," kata suruhajaya itu.
SPRM juga menyifatkan isu berkenaan sebagai isu lama yang dikitar semula bagi mencemarkan imej serta reputasi mereka.
• Bagaimana reaksi pemimpin politik?
Pendedahan Bloomberg mendapat perhatian ramai, termasuk Ahli Parlimen Pandan, Kuala Lumpur, Datuk Seri Rafizi Ramli, yang menjadi antara politikus terawal mempersoalkan bagaimanapun kumpulan itu boleh menembusi SPRM.
Rafizi yang diketahui umum merupakan seteru kepada Azam membangkitkan bagaimana mungkin individu dikaitkan dengan jenayah boleh bekerjasama dengan pegawai SPRM seperti didakwa Bloomberg.
Selain Rafizi pemimpin politik dari DAP, MCA, dan UMNO turut mendesak supaya Suruhajaya Siasatan Diraja (RCI) dibentuk bagi menyiasat dakwaan serius berkenaan.
Malah, DAP turut membawa isu penubuhan RCI dalam mesyuarat kabinet.
• Apa respon SC mengenai mafia korporat?
Media melaporkan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Mohammad Faiz Azmi enggan mengulas soalan wartawan mengenai kesediaan mereka menyiasat dakwaan wujudnya ‘mafia korporat’ dalam dunia perniagaan.
Menurut laporan The Edge, apabila ditanya wartawan berkaitan perkara itu, dia menegaskan terdapat undang-undang yang melarang mereka daripada mendedahkan sesuatu maklumat.
“Kamu tahu tentang Seksyen 148 (Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993)? Seksyen 148 kata kamu akan dipenjara jika membincangkan sebarang siasatan yang masih berjalan.
“Jadi, kamu betul-betul nak saya masuk penjara?” dia dipetik sebagai berkata kepada pemberita ketika ditemui dalam satu acara di Kuala Lumpur.
• Bagaimana pula reaksi kabinet Madani
Pendedahan Bloomberg mendapat perhatian kerajaan yang kemudiannya mendorong kabinet membuat keputusan untuk menyiasat dakwaan berkenaan.
Menurut jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, kabinet mengarahkan polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri, SC dan SPRM sendiri – antara lain – untuk menyiasat dakwaan ‘mafia korporat’ serta meneliti kelemahan sehingga membolehkan berlakunya "manipulasi korporat".
• Apa pula reaksi polis?
Pendedahan ahli perniagaan tertentu yang didakwa memperalatkan pihak berkuasa negara membawa kepada dua kertas siasatan dibuka oleh Bukit Aman selepas terdapat laporan polis dibuat berhubung perkara itu.
Bukit Aman menyiasat kes berkenaan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Amla).
Penyiasatan kes itu juga mendorong pihak berkuasa menyerbu premis seorang ahli perniagaan. Tindakan tersebut dilaksanakan oleh Pasukan Petugas Khas Amla Bukit Aman.
Antara barangan yang dirampas termasuk dua kereta, jam tangan mewah, barang kemas, wang tunai dalam ringgit serta beberapa mata wang asing, selain dokumen yang dipercayai berkaitan siasatan.
• Siapa ahli perniagaan yang terkait dengan isu mafia korporat
Laporan Bloomberg itu mengaitkan Encik Victor Chin Boon Long sebagai ahli mafia korporat yang dikaitkan dengan SPRM.
Artikel Bloomberg yang bertajuk Rahsia mafia korporat Malaysia Victor Chin Boon Long yang didakwa memperalatkan penguat kuasa tempatan membawa kepada dua kertas siasatan dibuka oleh Bukit Aman selepas terdapat laporan polis dibuat.
Chin kemudian mempersoal tindakan pihak berkuasa menyerbu kediamannya.
Pada pandangan ahli perniagaan terbabit sebarang siasatan terhadap dakwaan intimidasi korporat harus merangkumi "peranan dan kelakuan" SPRM serta polis.
Chin dalam kenyataan kemudian mempersoalkan mengapa pihak berkuasa menyerbu rumahnya sedangkan dia memberi kerjasama kepada polis sejak Disember lalu.
Malah, dia pernah ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mafia korporat dan pengubahan wang haram.
• Ada lagi tokoh korporat yang terkait?
Nama bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak turut dikaitkan dengan agenda mafia korporat.
Channel News Asia (CNA) melaporkan Farhash – yang kini menjadi ahli perniagaan – merancang untuk "mengambil alih" syarikat NexG Bhd (NexG) yang memegang kontrak kerajaan bernilai berbilion-bilion ringgit.
Laporan itu juga mendakwa Anwar "memerintahkan" Farhash untuk menghentikan percubaan mengambil alih syarikat penyelesaian teknologi dan keselamatan yang dianugerahkan kontrak kerajaan untuk membekalkan MyKad dan pasport Malaysia itu.
Farhash pada masa sama menafikan tuduhan dibuat pihak media berkenaan dan mengeluarkan surat tuntutan terhadap CNA. Dia juga menafikan ada menerima "arahan secara langsung daripada Anwar".
• Apa kaitan Chin dengan NexG?
Chin mendakwa dalam isu NexG, dia telah dijadikan kambing hitam.
Dia mendakwa dia pada asalnya ditugaskan untuk merangka strategi hala tuju syarikat terbabit dan meletakkannya untuk perancangan pertumbuhan jangka panjang.
“Pada pandangan saya, terdapat percubaan untuk merampas syarikat dan hala tuju strategiknya, yang mewujudkan ketegangan korporat yang ketara dan muslihat di sekitar syarikat.
“Selepas perkembangan ini, beberapa siri dakwaan, siasatan dan tindakan penguatkuasaan mula muncul, memberi tekanan yang besar bukan sahaja kepada saya dan keluarga saya, tetapi juga kepada pemegang saham dan pihak lain yang berkaitan dengan syarikat.
“Daripada mengiktiraf kerja yang dilakukan untuk menstabilkan dan mengubah syarikat, saya mendapati diri saya tertakluk kepada tekanan dan penelitian yang tidak henti-henti, secara efektifnya diseksa dengan tuduhan dan tindakan berterusan yang disasarkan terhadap saya,” katanya.
Malangnya, kata Chin, naratif awam yang menyelubungi syarikat itu tertumpu pada penglibatan dia dengan ‘mafia korporat’ dan bukannya isu umum NexG.
Dalam hal terkait MMAG Holdings, Chin menegaskan bahawa SPRM telah mendakwa bekas pengarah syarikat terbabit.
• Siapa lagi yang terlibat?
Pada 24 Mac, Chin menuduh seorang ahli parlimen PKR mengambil RM9.5 juta daripadanya untuk membantu menyelesaikan skandal ‘mafia korporat’ dan menuntut agar wang berkenaan dikembalikan selewat-lewatnya 30 Mac.
Kegagalan berbuat demikian, kata Chin, akan mendorong dia mendedahkan identiti ahli parlimen tersebut.
Dalam satu dokumen setebal 40 halaman yang memperincikan kronologi kejadian, Chin menyatakan bahawa ahli parlimen yang tidak dinamakan itu memintanya untuk menyediakan wang tunai RM10 juta bagi menyelesaikan masalahnya melalui perundingan dengan "kumpulan mafia korporat".
"Saya berjaya menyediakan RM9.5 juta pada mulanya, tetapi baki RM500,000 lagi tidak pernah diserahkan kepadanya kerana ahli parlimen berkenaan gagal menyelesaikan isu tersebut.
“Tiada ada satu sen pun daripada wang itu diserahkan kepada kumpulan mafia korporat," katanya.
Susulan dakwaan Chin, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, mengadakan sidang media untuk menafikan penglibatannya dalam isu tersebut. Ramanan juga menegaskan bahawa dia tidak mengenali dan tidak pernah bertemu dengan Chin.
Sehingga 31 Mac lalu – lebih 15 jam selepas tamat tempoh akhir yang diberikan Chin untuk wangnya dipulangkan – ahli perniagaan terbabit masih tidak mendedahkan identiti wakil rakyat berkenaan.
Ia mencetuskan spekulasi bahawa isu tersebut mungkin telah diselesaikan, mungkin melalui pemulangan penuh wang RM9.5 juta itu kepada Chin.
Kronologi Chin turut menyentuh tentang seorang individu yang digelar "Mr R" sebagai perantara yang didakwa bekerjasama rapat dengan ‘mafia korporat’.
Chin mendakwa ketika berdepan tekanan untuk "menyerahkan saham" seperti dikehendaki Mr R dan ‘mafia korporat’ itu, dia kerap berhubung dengan Mr R dan pada masa sama kumpulan terbabit mengenakan tekanan ke atas NexG.
Rafizi kemudian mendedahkan identiti Mr R dengan mendakwa bahawa lelaki terbabit memberikan laporan kegiatannya kepada seorang bekas pembantu Anwar.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu juga mendakwa pada suatu ketika, Mr R mempunyai kaitan serentak dengan NexG dan HeiTech Padu Bhd (HeiTech Padu), sebuah syarikat yang mengendalikan pembangunan dan pelaksanaan Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISe).
• Apakah impak daripada aktiviti ‘mafia korporat’ tersebut?
Kontroversi itu muncul di tengah-tengah tumpuan yang semakin meningkat terhadap Azam – yang tempoh perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dilanjutkan sebanyak tiga kali oleh Anwar.
Sebelum skandal itu berlaku, Bloomberg dan Malaysiakini secara berasingan melaporkan bahawa Azam memiliki pegangan saham yang signifikan dalam dua buah syarikat.
Pegangan saham Azam itu dikatakan melebihi had yang dibenarkan bagi kakitangan perkhidmatan awam.
Susulan dakwaan tersebut, sumber-sumber peringkat tinggi yang enggan dikenali memberitahu Straits Times bahawa kontrak Azam tidak akan dilanjutkan lagi apabila ia tamat pada 12 Mei ini.
Selain isu berkaitan Azam, kebimbangan serius turut dibangkitkan pelbagai pihak terhadap integriti SPRM dalam memerangi rasuah memandangkan dakwaan tersebut melibatkan aspek kebebasan dan ketelusan badan berkenaan.
Pengkritik menyifatkan dakwaan tersebut sebagai bukti wujudnya konspirasi terancang untuk merampas kawalan syarikat-syarikat yang sangat menguntungkan, selain berpotensi mendatangkan risiko kepada keselamatan negara.
Ia mendorong Rafizi mendesak agar NexG diletakkan di bawah kawalan kerajaan memandangkan syarikat tersebut menguruskan aset keselamatan negara yang sensitif.
Kata bekas menteri ekonomi itu lagi, tanggungjawab yang diamanahkan kepada syarikat terbabit adalah terlalu kritikal untuk dibiarkan berada pada tangan pihak swasta yang terdedah kepada manipulasi.
Adaptasi dari petikan siaran portal berita Malaysiakini hari ini, Khamis 2 April 2026.
End©Permadu
| Adaptasi oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.













Comments
Post a Comment