Kenyataan Mahathir datang dari ketajaman fikiran, bukan nyanyuk
Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengenai perpaduan Melayu, dalam tempoh beberapa hari selepas kembali dari cuti sakit, sekali lagi mengangkat naratif lama.
Pada bacaan kali pertama, saya jadi waswas. Adakah Mahathir sudah nyanyuk? Hati tak sedap, maka saya mengulang baca kenyataan beliau ini lebih dari 12 kali.
Selepas itu baru saya dapat melihat nuansa kenyataan beliau. Ya, hal lama yang dia bangkitkan, tetapi kali ini dengan nafas baharu: kekuatan politik bukan terletak pada parti, tetapi pada kesatuan.
Dalam kenyataan tersebut, beliau menegaskan bahawa kejayaan orang Melayu pada masa lalu bukan kerana UMNO sebagai entiti, tetapi kerana perpaduan yang terbina melalui parti tersebut. Ini hujah klasik Mahathir iaitu “Perpecahan = Kekalahan”.
Namun, beliau memberi amaran bahawa kefahaman yang silap — menganggap parti sebagai sumber kemenangan — telah membawa kepada penubuhan pelbagai parti Melayu hari ini, sekali gus memecahbelahkan kekuatan politik mereka.
Di sinilah nuansa kenyataan beliau.
Beliau menyusun kritikan sebegitu halus, hingga jika seseorang sekadar membaca teks, maka akan menganggap Mahathir sudah nyanyuk.
Amaran halus beliau terhadap landskap politik semasa yang menyaksikan menjurus kepada kedalaman maksud mengenai perpecahan ketara dalam kalangan parti berasaskan Melayu, termasuk UMNO, Bersatu dan PAS.
Dalam kerangka pemikiran Mahathir, pertambahan parti bukan memperkukuh demokrasi, sebaliknya melemahkan keupayaan kolektif untuk bersaing dan menang.
Lebih tajam, beliau mengaitkan perpecahan ini dengan risiko kehilangan kuasa politik, malah menggunakan frasa seperti “negara tergadai” dan “Tanah Melayu sudah jadi tanah orang lain” — satu bentuk retorik yang menekankan rasa ancaman ‘real politik’ dan keperluan mendesak untuk perubahan
Perubahan yang beliau maksudkan - jangan terperangkap dengan politik ‘kepartian’. Inilah ‘jus’ yang tidak dapat dihadam oleh semua pimpinan politik Melayu.
Ramai menempelak pandangan Mahathir dengan membawa hujah “beliaulah yang mengajar Melayu berpecah dengan tubuh macam-macam parti politik”.
Hujah pelecehan ini nampak senang dijual, tetapi jika kita perhalusi, usaha-usaha Mahathir sebelum ini berpunca daripada hakisan integriti parti itu sendiri. Sebagai contoh, apabila UMNO terus menyokong kleptokrasi, maka beliau terpaksa meninggalkan UMNO. Begitu juga dengan Bersatu, apabila pimpinan bertindak agresif hingga menjejaskan kerajaan Pakatan Harapan (PH), beliau dipecat.
Mengenai parti Pejuang, penubuhannya perlu dibuat atas sebab mahu menyertai pilihan raya sebagai sebuah entiti yang sah.
Justeru, hujah-hujah menyatakan Mahathir penyebab perpecahan itu sebenarnya tidak masak. Ia sekadar menyalahkan Mahathir kerana enggan bersekongkol dengan mereka.
Hari ini, Mahathir memilih untuk meletakkan tanggungjawab kembali tanggungjawab itu kepada orang Melayu sendiri, bukan parti politik.
Pendekatan ini mencerminkan konsistensinya dalam menekankan disiplin dalaman, integriti dan kesedaran kolektif sebagai kunci kelangsungan politik. Mahathir tidak mahu orang Melayu terjerat dengan politik kepartian.
Mahathir pernah mengkritik DAP, namun kritikan beliau terarah kepada dasar politik parti itu, bukan kerana DAP Cina. Begitu juga dengan PAS, Mahathir juga pernah mengkritik PAS, bukan kerana Islam PAS, tetapi kerana kurangnya kefahaman tentang keperluan orang Melayu.
Saya anggap, Mahathir telah merumuskan dengan amat jelas dan halus bahawa Melayu kuat bukan kerana parti, tetapi sesebuah parti atau gabungan kuat kerana Melayu yang bersatu padu.
Inilah nuansa yang sering gagal dihadap oleh kita.
Dalam konteks semasa, mesej Mahathir boleh dibaca sebagai seruan untuk mengalihkan tumpuan daripada persaingan kepartian kepada pembentukan blok yang lebih besar dan tersusun. Namun, persoalan utama kekal: adakah dinamik yang kompleks ketika ini, boleh difahami oleh pemimpin dan rakyat?
Apa yang pasti, kenyataan ini bukan datang dari orang yang nyanyuk, tetapi dari ketajaman pemikiran.
End©Permadu
| Adaptasi oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.







Comments
Post a Comment