Kasih Ku Pendam Di Dalam Diam
Ini adalah cerita yang bernilai bagi setiap detik masa andaSeekor kuda, dipatuk ular, rebah di kandang penginapannya, kesakitan, lumpuh, terkulai layu dan lemah. Seekor ayam betina menjumpainya di situ, matanya membulat ke belakang, badannya menggeletar.
Dia tidak teragak-agak. Dia berlari ke hutan, mengumpulkan herba ubatan, dan membancuh tonik penyembuhan. Walaupun dia kecil, dia bergelut untuk mengheret semangkuk ubat itu ke kuda, tercungap-cungap, bulunya basah oleh peluh dan kerja kuat.
Apabila kuda itu tersedar, dia memandang ayam betina itu dengan jelingan mata tidak berminat lagi dingin dan pahit.
"Keluar dari sini dengan amal jariah kamu!" dia menjerit bernada sindiran. "Tinggalkan saya! Saya tahu menjaga diri saya!"
Dengan tendangan yang ganas, dia menterbalikkan mangkuk itu. Cecair panas itu terpercik ke muka ayam itu.
Dia tidak berkata apa-apa. Dia berlalu pergi dengan senyuman yang dipaksa, tetapi apabila ayam jelita itu bersendirian di dalam reban, dia rebah dengan air mata. Malam itu, dalam tangisannya, dia mendengar kuda itu mengerang kesakitan akibat menderita demam yang penuh dengan kecelaruan. Tidak sampai hati, dia mengheret sarangnya ke dalam kandang dan tidur di sisi kuda, mengawasinya sepanjang malam.
Pada waktu subuh, kuda yang tak sedar diri itu bangun, masih menunjukkan kemarahan.
"Apa yang awak buat di sini? Saya tak minta awak menemani saya! Saya tak perlukan apa-apa daripada awak! Saya benci awak! Awak faham tak?"
Dan kemudian, kuda perasan itu memukulnya.
Ayam itu tercampak ke seberang bilik kandang, lebam dan berdarah. Sekali lagi, dia tidak berkata apa-apa. Dia dengan rasa menyakitkan menyeret sarangnya kembali ke reban, terpincang-pincang dan patah. Di sana, dia tenggelam di lautan sepi yang amat menyedihkan.
Keesokan harinya, dengan semangat yang suram, dan hati yang retak, ayam jelita dan seksi itu mendaki gunung untuk mencari Mahaguru Tua dalam pertapaan.
"Tuan Guru," bisiknya, suaranya yang sebak hampir tidak kedengaran. "Adakah kuda itu akan memahami betapa saya menyayanginya? Atau adakah saya akan mati tanpa dia benar-benar melihat saya di hujung nyawa?"
Mahaguru Tua yang bijaksana memandangnya dengan jelingan tajam untuk masa yang lama, lalu menjawab:
"Dia akan faham... tetapi hanya apabila penguat kuasa pencabutan nyawa berkata: 'Lima minit sebelum kita menutup keranda.'"
Kata-kata itu menusuk hati ayam itu. Dia kembali ke reban, tetapi dia tidak sama. Penghinaan, jeritan, merendah-rendahkannya—sesuatu dalam dirinya akhirnya tersentak. Dia berhenti menyanyi. Dia berhenti makan. Dia perlahan-lahan pudar, tidak pernah kembali ke kandang.
Beberapa hari kemudian, kuda itu menyedari kesunyian tanpa kehadiran kekasih. Dia merindui kunjungannya. Penjagaannya. Belaian dan kemesraan jiwa. Bayangan sepi kehadirannya. Satu soalan mula menghantuinya: "Adakah kerana saya?"
Ketika penyesalan mula memakannya hidup-hidup, seekor burung kolibri hinggap di pagar dan menyampaikan berita yang menghancurkan:
"Ayam itu sudah meninggal dunia. Mereka membawanya ke tanah perkuburan sekarang. Adakah awak tidak mahu mengucapkan selamat tinggal?"
Kuda itu membeku kaku tidak keruan. Sakit yang meremuk redam menusuk tajam merobek dadanya. Setiap langkah ke arah tanah perkuburan ditandai dengan air mata, tetapi yang paling membakar adalah air mata penyesalan.
Itu dia. Dia yang sentiasa ada. Yang dia tidak pernah tahu bagaimana untuk melihat. Tetapi kali ini, sayapnya bersilang di dadanya, matanya tertutup, tidak bergerak di dalam keranda.
Penguat kuasa urusan jenazah mengumumkan: "Lima minit sebelum kita menutup keranda ini!"
Kata-kata itu memukul naluri kuda umpama tukul besi. Lima minit... dan ia akan menjadi perpisahan terakhir untuk kebaikannya. Ucapan selamat tinggal terakhir kepada sahabatnya yang paling setia. Kuda menghempaskan dirinya ke atas keranda jenazah, sambil menangis teresak-esak.
"Dia sangat baik," kuda menjerit dengan ratapan tangisan sedih. "Dia pemurah. Dia satu-satunya kawan sejati saya. Dia sentiasa ada untuk saya... dan saya... saya sayang dan cinta dia! Saya akan sangat merinduinya!"
Ucapan selama lima minit yang tidak pernah didengari ayam itu semasa dia hayatnya.
Apabila detik terakhir tiba, pengurus jenazah tidak menutup kerandanya. Kuda itu terkelip-kelip mata kebingungan, serta terkejut. Tiba-tiba, ayam itu bangun dan duduk, senyuman lembut di wajahnya, bulunya berdebu tetapi cerah.
"Saya sayang dan cinta awak juga, kuda," katanya lembut selain jelingan menggoda. "Dan awak adalah segala-galanya yang awak katakan tadi."
Kuda itu merenungnya, terbeliak, terperangkap antara kemarahan dan kelegaan.
"Apa?! Awak tak mati?!"
"Sudah tentu tidak," jawabnya. "Saya hanya mahu lima minit pengiktirafan," kata ayam berwajah ayu dan seksi itu.
Kuda itu mengeluarkan dengusan yang kuat, menghentak-hentakkan kukunya, dan meraung:
"Ini sebenarnya sebab saya benci awak!"
Tetapi semasa mulutnya mengucapkan kata-kata itu, hatinya menjerit sebaliknya. Dan dia memeluknya—pelukan yang sangat erat dan terdesak, seperti tiada sebelum ini. Kerana akhirnya, dia memahami apa yang dia hampir hilang. Dan buat pertama kalinya, dia menyedari apa yang dia ada.
Pengajaran
Jangan tunggu pengurus jenazah berkata "tinggal lima minit" untuk mengenali nilai seseorang.
Jika anda boleh mengucapkannya hari ini, katakanlah. Jika anda boleh hadir hari ini, hadirlah. Bercakaplah dengan jujur dan benar. Cintailah dia sekuatnya. Dan jangan sekali-kali memandang remeh seorang wanita yang setia.
Jangan guna taktik macam benci tetapi dalam hati syok habis.
Terjemahan dan adaptasi daripada kisah yang dikongsikan oleh rakan kami, Motorland melalui Facebook semalam, Jumaat 24 April 2026.
Gambar adalah hiasan semata-mata dan untuk tujuan ilustrasi sahaja.
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.






Comments
Post a Comment