Dua pesawat pengangkut, dua Black Hawk Amerika ditembak jatuh, dakwa Iran
Memetik berita Xinhua, agensi berita rasmi Malaysia Bernama melaporkan Ibu Pejabat Pusat Khatam al-Anbiya, iaitu markas bersepadu angkatan tentera Iran semalam, Ahad 5 April 2026, memaklumkan bahawa empat pesawat tentera Amerika Syarikat (AS) ditembak jatuh di ruang udara tengah Iran semasa misi AS untuk menyelamatkan seorang juruterbang di negara itu.
Agensi berita rasmi Iran IRNA pula memetik jurucakap markas berkenaan Encik Ebrahim Zolfaghari sebagai berkata pesawat itu termasuk dua pesawat pengangkut tentera C-130 Hercules dan dua helikopter Black Hawk.
Zolfaghari menambah bahawa pesawat berkenaan disasarkan dalam operasi bersama oleh pasukan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), tentera darat, pasukan sukarelawan Basij dan penguat kuasa undang-undang di selatan wilayah tengah Isfahan.
Zolfaghari berkata lagi, operasi menyelamat yang didakwa AS itu, “yang dirancang sebagai operasi helah dan melarikan diri dengan dalih menyelamatkan juruterbang pesawatnya yang ditembak jatuh di sebuah lapangan terbang terbiar di selatan Isfahan”, berakhir dengan kegagalan sepenuhnya susulan kehadiran tepat pada masanya angkatan tentera Iran.
Beliau berkata Presiden AS Encik Donald Trump “cuba mempertahankan kekalahan pahit dan kegagalan tenteranya dengan menimbulkan kekeliruan terhadap pendapat awam”.
IRGC pada Jumaat memaklumkan sistem pertahanan udaranya telah menembak jatuh sebuah jet pejuang F-35 milik AS di ruang udara tengah Iran, sambil menambah bahawa nasib juruterbang pesawat itu tidak diketahui.
AS kemudian mendakwa ia telah menyelamatkan seorang daripada juruterbang jet pejuang yang ditembak jatuh itu, sambil menambah operasi menyelamat sedang dijalankan untuk mencari dan membawa pulang seorang lagi juruterbang.
Pada Ahad semalam, Trump dalam hantaran di platform media sosial Truth Social mendakwa bahawa tentera AS telah melaksanakan “antara operasi mencari dan menyelamat paling berani dalam sejarah AS”, sambil menambah bahawa juruterbang kedua telah diselamatkan dan berada dalam keadaan selamat.
Pada 28 Februari, Israel dan AS melancarkan serangan bersama ke atas Tehran dan beberapa bandar lain di Iran, yang mengorbankan Pemimpin Agung Iran ketika itu Ayatollah Ali Khamenei, bersama komander kanan tentera dan orang awam. Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan gelombang serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan Israel serta pangkalan dan aset AS di Asia Barat.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2026 Permadu Malaysia
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.





Comments
Post a Comment