Bekas peguam berprofil tinggi dan kerani wanita maut dalam kebakaran
Malaysia dikejutkan dengan berita bekas peguam berpengalaman, Datuk San Markan Ganapathi, 88, dan seorang kerani wanita maut selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah kedai dua tingkat yang dijadikan pejabat guaman di Lebuh King di George Town, hari ini.
Menurut laporan agensi berita rasmi negara Bernama, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Encik Mohamad Shoki Hamzah sebagai berkata San Markan ditemukan pasukan operasi pada jam 1.05 tengah hari dalam keadaan duduk di atas kerusi berhampiran tingkap pejabat di tingkat dua bangunan berkenaan.
Beliau berkata seorang lagi mangsa yang bekerja sebagai kerani di premis itu, Puan BJ Chandra, 66, ditemui pada 3.26 petang berhampiran dinding di bawah timbunan fail.
“Kebakaran membabitkan bangunan pejabat yang menempatkan dua firma guaman, namun hanya premis di tingkat dua beroperasi hari ini, manakala tingkat bawah ditutup kerana difahamkan mereka mempunyai urusan kes di Perak.
“Berdasarkan maklumat diterima, terdapat tiga pekerja berada di tingkat atas ketika kejadian. Seorang terselamat, manakala dua lagi meninggal dunia, dipercayai akibat terhidu asap tebal selepas terperangkap dalam premis ketika kebakaran berlaku,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Mohamad Shoki berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 12.14 tengah hari sebelum menggerakkan 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak serta Lebuh Pantai ke lokasi. Operasi turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Bukit Bendera dan Seri Tanjung.
Katanya pasukan berdepan kesukaran untuk tiba ke lokasi berikutan keadaan trafik sesak kerana kejadian berlaku pada waktu puncak.
“Setakat ini, punca kejadian masih belum dikenal pasti dan sedang dalam siasatan. Bangunan ini juga merupakan struktur lama dan agak rapuh. Ketika anggota tiba, kira-kira 70 peratus premis sudah terbakar,” katanya.
Beliau berkata mayat mangsa diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Tanjong Puan Lim Hui Ying serta Ahli Parlimen Jelutong Encik RSN Rayer yang hadir ke lokasi dilihat cuba menenangkan keluarga mangsa yang tidak dapat menahan kesedihan sebaik mengetahui kejadian itu.
Rayer berkata beliau difahamkan mendiang San Markan hadir ke firma guaman berkenaan untuk bertemu peguam bagi urusan sebagai klien.
Katanya kehilangan individu yang dikenali sebagai ‘Uncle San’ itu amat dirasai kerana mendiang bukan sahaja seorang peguam yang dihormati, malah kenalan lama keluarganya.
Beliau turut memaklumkan mendiang tidak lagi aktif sebagai peguam sejak kira-kira lima tahun lepas dan kini menjalankan perkhidmatan sebagai notari awam.
Lim pula berkata San Markan merupakan kenalan rapat bapanya Tan Sri Lim Kit Siang, malah kedua-duanya dikatakan baru bertemu awal tahun ini ketika sambutan ulang tahun kelahiran ke-88 mendiang.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Encik Chow Kon Yeow merakamkan rasa dukacita serta mengucapkan takziah kepada ahli keluarga dua mangsa yang terkorban, selain berharap mereka diberi kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan itu.
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.









Comments
Post a Comment