Ada hikmah tersembunyi awak tak dapat tiket untuk datang ke sini
Halangan awak sampai ke sini bermakna halangan daripada terjebak
Hingga larut malam kelmarin, perbualan telefon kita memakan masa melebihi satu jam hingga saya tertidur. Mungkin awak boleh dengar saya berdengkur di gagang telefon awak.
Awak menceritakan awak telah mencuba beberapa penerbangan tetapi gagal hinggalah awak dapat senarai menunggu. Akhirnya gagal juga kerana penempah lebih awal mengesahkan penyertaan mereka.
Tidak perlu bersedih dan kecewa kerana awak tidak rugi apa-apa tidak datang ke sini. Saya yang rugi sebab tiada kawan sebagai peneman dan pemandu kedua untuk meneruskan pengembaraan saya lusa.
Seminar sudah selesai Isnin tengah malam. Seorang peserta wanita tuan rumah yang duduk di sebelah saya di sepanjang seminar mengajak saya bersiar-siar malam tadi.
Cantik juga orangnya. Umur lebih kurang awak juga. Meminjam kata-kata rakan masjid saya yang berusia 80 tahun, "body pun okay". Tapi awak tak perlu bimbang kerana saya sedang menyelami hakikat baharu bahawa awaklah yang terpaling cantik dan body pun tersangatlah okay.
Menjemput saya di hotel, kemudian menaiki keretanya. Dia lebih arif tempat-tempat menarik dan melalui jalan-jalan berliku yang kurang sesak di bandar raya kosmopolitan ini.
Di pinggir kota, kami makan lewat malam di sebuah restoran yang sedap, segar dan halal. Selepas itu, dia menghantar saya pulang ke hotel.
InsyaAllah, di suatu hari nanti kita akan makan malam berdua di sini.
Dalam perbualan telefon malam kelmarin, saya merakamkan penghargaan tinggi di atas kepercayaan awak terhadap saya dan prestasi perkhidmatan dan perniagaan saya sehingga awak berjaya meyakinkan syarikat Pak Cik awak untuk menawarkan kontrak di mana nilainya mencecah tujuh angka.
Awak berulang kali mengingatkan saya untuk melaksanakan tanggungjawab ini sebaik mungkin kerana jika saya gagal melakukannya, awak akan dimarahi Pak Cik awak. Sekali dia hilang kepercayaan kepada awak, dia tidak akan mempercayai awak selama-lamanya.
Saya berjanji akan memberikan khidmat profesional saya yang terbaik dan serius mengikut kemampuan saya. Saya akan membuktikannya bukan dengan cakap kosong, tetapi melalui hasil kerja.
Saya juga berterima kasih apabila awak memberitahu Pak Cik awak berpuas hati dengan hasil kerja saya yang diberikan sebelum ini.
Awak juga berkata ada pegawai di syarikat Pak Cik awak yang berasa kurang senang kerana Pak Cik awak suka mendengar cakap awak. Bagi saya, Pak Cik awak seorang ahli perniagaan yang berpengalaman luas dan sangat teliti. Dia tidak mudah ditipu atau diperbodohkan sewenang-wenangnya oleh sesiapapun.
Pada pendapat saya, Pak Cik awak mudah menerima pandangan awak bukan kerana awak anak saudara dia. Sebaliknya, kepercayaan dia kepada awak kerana kejujuran awak dan hujah-hujah awak berasaskan fakta dan angka-angka yang tepat dan jelas. Awak kan seorang peguam yang hebat dan digeruni.
Oops... Loceng pintu bilik saya sedang berbunyi.
Setakat ini dahulu. Nanti saya sambung. Buat masa ini, hubungi saya menggunakan nombor sementara simkad tempatan. Nombor tetap saya sedang ada masalah perayauan sejak Sabtu petang. Saya dah beritahu awak pun.
Olahan dari sepucuk surat kiriman seorang penulis yang tidak dikenali. Gambar untuk hiasan semata-mata.
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.





Comments
Post a Comment