Pengurangan subsidi dari 300 ke 200 liter sebulan masih okay untuk rakyat biasa
Media melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan kuota Budi95 dikurangkan daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan bermula 1 April ini susulan peperangan di Asia Barat.
Anwar Ibrahim menegaskan harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter.
“Kita meneliti penggunaan Budi95 dan mendapati purata penggunaannya sekitar 100 liter sebulan.
“Ini bermakna majoriti rakyat menggunakan hanya 100 liter, malah hampir 90 peratus rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan, jadi (majoriti) tidak terjejas,” katanya pada perutusan khas hari ini.
Anwar berkata, langkah ini bersifat sementara menunggu bekalan minyak dan keadaan ekonomi dunia pulih, namun setakat ini, tiada tanda-tanda ke arah itu.
“Malaysia mengambil keputusan untuk mengekalkan harga minyak Budi95 pada kadar RM1.99. Alhamdulillah dan kita tahu juga bahawa ini telah memberikan banyak manfaat kepada rakyat dan kita juga terpaksa mengambil beberapa langkah tambahan.
“Oleh itu kerajaan akan membuat penyelerasan kelayakan Budi95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026,” katanya.
Bagi pemandu e-hailing dan pekerja gig, kata perdana menteri kuota bulanan mereka dikekalkan pada 800 liter sebulan. Menurut Anwar, ini mengambil kira tanggungjawab pekerjaan mereka dan urusan yang mereka harus lakukan.
Selain itu, perdana menteri juga memaklumkan Sabah dan Sarawak akan terus nikmati diesel subsidi pada RM2.15 seliter walaupun harga melambung naik.
"Bila perbezaan harga ini membengkak, kita harus waspada dan mengambil tindakan pengawalan yang lebih rapi serta penguatkuasaan yang lebih berkesan.
“Tetapi memandangkan keadaan geografi dan logistik Sabah dan Sarawak, kita mengambil keputusan yang saya fikir munasabah pada peringkat ini.
“Namun, ketirisan harus dikekang dan dikawal,” katanya.
Perdana menteri berkata kerajaan juga akan mula menghadkan pengisian bagi kenderaan ringan pengangkutan darat awam, barangan dan persendirian maksimum 50 liter setiap pembelian; kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan tidak melebihi tiga tan (100 liter); dan kenderaan melebihi tiga tan (150 liter).
“Langkah ini bagi memastikan bekalan tersedia, diagihkan secara adil dan mencukupi kepada semua.
“Tanpa penyesuaian ini, kita bimbang ada kecenderungan untuk mengumpul dan menyeludup seperti yang telah dikesan sebelum ini,” katanya.
Sehubungan itu, Anwar merayu kepada rakyat supaya tidak merasa tertekan dan memahami bahawa langkah yang diambil adalah sangat teliti dan berhemah berikutan tekanan yang dihadapi negara ketika ini.
“Sebagai contoh, kita melaksanakan BudiI95. Semua negara, terutama negara jiran telah menaikkan harga minyak tetapi Malaysia mengambil keputusan mengekalkan harga minyak Budi95 pada kadar RM1.99 seliter.
“Jadi, saya mohon rakyat dan rakan-rakan memahami bahawa langkah ini terpaksa diambil demi menjaga kepentingan ramai. Ia mungkin sedikit menyusahkan sebahagian rakyat, tetapi saya mohon pengertian dan kerjasama supaya kita dapat teruskan usaha bagi mengelak ketirisan ini," katanya.
Anwar pada taklimat khas itu juga berkata, kerajaan akan terus mengekalkan disiplin fiskal serta mengelakkan pembaziran dan ketirisan bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal mampan.
Menurut Anwar, Malaysia hari ini kekal sebagai destinasi pelaburan utama dan terus menarik minat pelabur, meskipun dunia berdepan ketidaktentuan serta konflik geopolitik yang berlarutan di Asia Barat.
“Insya-Allah, kita akan terus menjaga disiplin, mengelak keborosan, ketirisan dan menjaga supaya momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia ini agak luar biasa, dan terkecuali kerana setelah melihat kemurungan yang berlaku di dunia.
“Kita lihat Malaysia ini masih menjadi pusat tarikan pelaburan yang sangat aktif sepertimana yang kita umumkan beberapa langkah setelah kemelut dan peperangan ini masih ramai (pelabur) yang datang,” katanya lagi.
Terdahulu, Anwar mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas bagi mengkaji kesan konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Iran terhadap ekonomi negara susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat.
Jawatankuasa khas itu akan dipengerusikan Menteri Kewangan II Datuk Seri Dr Amir Hamzah Azizan yang akan membuat penilaian bersama Menteri Ekonomi Encik Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan menteri lain yang berkaitan.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.







Comments
Post a Comment