Mahkamah perintah hartanah syarikat Dr Vida dilelong untuk bayar tunggakan hutang RM15.5 juta dengan bank
Dr Vida Vs Maybank Islamic
Media melaporkan semalam dan kelmarin bahawa penyanyi dan usahawan kosmetik selebriti, Datuk Seri Hasmiza Othman, yang lebih dikenali sebagai Dr Vida, gagal mengetepikan penghakiman ingkar bernilai RM15.5 juta yang diperoleh Maybank Islamic berhubung pinjaman tertunggak.
Hakim Mahkamah Tinggi, Puan Norsharidah Awang, menolak permohonan Dr Vida dan syarikatnya, Vida Beauty Sdn Bhd, atas alasan pemohon gagal menunjukkan sebarang pembelaan bona fide dan penghakiman itu diperoleh secara teratur, kata Berita Harian.
Penghakiman ingkar direkodkan apabila defendan gagal hadir atau memberikan respons dalam tempoh ditetapkan, sekali gus membolehkan plaintif memperoleh penghakiman tanpa perbicaraan penuh.
Pinjaman dengan Maybank Islamic turut caj riba atas kapasiti istilah Islam?
Menurut dokumen mahkamah, pertikaian itu berpunca daripada dua kemudahan Commodity Murabahah Term Financing-i (CMTF-i) berjumlah RM8.946 juta yang diberikan kepada Vida Beauty pada Oktober 2017 dengan tempoh bayaran balik selama 15 tahun. Vida turut menandatangani jaminan peribadi bagi kedua-dua kemudahan berkenaan.
Bagaimanapun, bank menamatkan kemudahan itu selepas defendan gagal menjelaskan ansuran bulanan dan menuntut bayaran penuh harga jualan bank, termasuk keuntungan serta caj bayaran lewat.
Pada 6 Januari 2023, mahkamah merekodkan penghakiman ingkar kehadiran terhadap defendan berjumlah RM15,520,708.91 selepas mereka gagal memasukkan kehadiran.
Pada Disember tahun sama, defendan memfailkan permohonan untuk mengetepikan penghakiman itu serta memohon lanjutan masa bagi memfailkan pembelaan. Mereka berhujah bahawa writ dan pernyataan tuntutan tidak disampaikan dengan sempurna serta mendakwa mempunyai pembelaan yang bermerit.
Vida turut berhujah tuntutan bank adalah pramatang dan jumlah dituntut merangkumi keuntungan belum diperoleh serta isu berkaitan ibra' (rebat).
Lewat 11 bulan, permohonan tolak
Dalam alasan penghakimannya kelmarin, Norsharidah berkata kelewatan kira-kira 11 bulan dalam memfailkan permohonan berkenaan adalah tidak munasabah dan tidak diberikan penjelasan mencukupi.
Beliau berkata walaupun mahkamah mempunyai budi bicara untuk melanjutkan tempoh, ia bukanlah automatik dan mesti disokong dengan alasan yang memuaskan.
Mahkamah mendapati writ itu telah disampaikan mengikut terma perjanjian pembiayaan dan jaminan, yang membenarkan penyampaian melalui pos berdaftar prabayar ke alamat kontrak.
"Penerimaan sebenar bukanlah satu keperluan apabila penyampaian dibuat mengikut terma kontrak yang dipersetujui dan Kaedah-Kaedah Mahkamah.
"Perjanjian pembiayaan dengan jelas memperuntukkan bahawa apabila berlaku keingkaran, keseluruhan harga jualan bank menjadi serta-merta perlu dibayar," katanya.
Norsharidah berkata defendan gagal mengemukakan sebarang pembelaan yang wajar untuk dibicarakan dan membenarkan permohonan itu akan menjejaskan kemuktamadan prosiding serta kepastian komersial.
Mahkamah turut menganugerahkan kos RM5,000 kepada pihak bank.
Peguam Encik Wong Weng Yew mewakili bank manakala Encik Haris Md Nor mewakili defendan.
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.







Comments
Post a Comment