Kerajaan mungkin tunggu jawatankuasa siasatan sendiri perjelas dakwaan Azam Baki ada saham RM14.4 juta dalam 9 syarikat
![]() |
| Gambar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dipangkah oleh peserta demonstrasi di Kuala Lumpur, pada 15 Februari 2026. Gambar MalaysiaNow |
Portal berita pro- pembangkang berkata pada Khamis, 19 Mac 2026 bahawa sebuah kumpulan pendesak anti-rasuah mempersoalkan ketiadaan respons daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan bahawa Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, didapati memiliki pegangan saham bernilai kira-kira RM14.4 juta dalam sembilan syarikat.
Menurut portal itu, MalaysiaNow, Malaysians Against Governmental and Institutional Corruption (Magic) mempersoalkan sikap Putrajaya yang dianggap "membisu seribu bahasa" walaupun selepas seminggu bekas menteri Datuk Seri Rafizi Ramli memetik spekulasi mengenai penemuan sebuah jawatankuasa siasatan yang ditubuhkan kerajaan.
"Tiada respons, tiada penjelasan, malah tiada penafian daripada perdana menteri, menteri dalam negeri, SPRM atau Azam Baki sendiri," kata peguam dan pengasas Magic, Encik Mahajoth Singh.
"Sikap membisu ini lebih terserlah di sebalik kenyataan berulang kali bahawa laporan jawatankuasa itu akan siap dalam beberapa hari. Jika pendedahan itu tidak benar atau salah, ia sepatutnya disangkal serta-merta."
Pada 13 Mac, Rafizi menggesa kerajaan mendedahkan hasil siasatan terhadap Azam, sambil menyatakan terdapat spekulasi bahawa jawatankuasa siasatan tiga anggota dipengerusikan Peguam Negara Mohd Dusuki Mokthar telah mendapati ketua SPRM itu memiliki saham bernilai lebih RM14 juta dalam sembilan syarikat, jauh melebihi jumlah yang dilaporkan Bloomberg bulan lalu.
"Sekiranya dakwaan bahawa jumlah saham yang terlibat adalah RM14 juta di dalam 9 syarikat itu benar, kegagalan kerajaan menyiasat punca kekayaan Azam Baki akan dilihat sebagai bukti kerajaan bersubahat untuk melindungi Azam Baki," kata ahli Parlimen Pandan itu.
Mahajoth berkata ketiadaan respons daripada kerajaan memberi isyarat bahawa kewujudan jawatankuasa siasatan khas itu adalah sia-sia.
"Sedangkan perdana menteri sendiri memberi jaminan di Parlimen bahawa perkara itu akan ditangani secara telus dan mengikut proses yang sewajarnya," katanya.
"Oleh itu, rakyat berhak menjangkakan hasil siasatan ini akan didedahkan. Sikap berdiam diri yang berterusan menimbulkan kebimbangan serius tentang ketidakadilan prosedur dan pelanggaran kedaulatan undang-undang."
Menurutnya, Putrajaya mesti mendedahkan secara terbuka penemuan jawatankuasa itu, termasuk senarai syarikat yang dikaitkan dengan pemilikan saham Azam.
"Tanpa pendedahan segera, keseluruhan proses umpama sandiwara dan bukannya tindakan akauntabiliti yang tulen," katanya.
Bulan lalu, Bloomberg menerbitkan dua laporan mengenai Azam di samping pendedahan mendakwa kaitannya dengan sekumpulan individu penyangak.
Bloomberg melaporkan Azam memiliki berjuta-juta saham bernilai kira-kira RM800,000 dalam sebuah syarikat tersenarai, yang melanggar pekeliling kerajaan melarang penjawat awam daripada pegangan sedemikian.
Azam berkata saham tersebut dibeli tahun lalu, ketika beliau masih menjadi ketua SPRM.
Pada 12 Februari, satu lagi laporan Bloomberg mengaitkan Azam dengan kumpulan dikenali sebagai "mafia korporat", yang dikatakan berpakat dengan SPRM untuk memaksa ahli perniagaan melepaskan pegangan mereka dalam syarikat awam tersenarai secara paksa.
Pendedahan itu mencetuskan gesaan agar Azam disingkirkan daripada SPRM dan supaya suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan untuk menyiasatnya.
Anwar, yang sebelum ini melanjutkan tempoh perkhidmatan Azam sebanyak tiga kali, setakat ini enggan menggantikan Azam.
"Orang yang buat kerja, nak pecat pasal apa? Ini satu penyakit. Orang buat kerja, you (awak) maki pasal apa? Salah," kata Anwar ketika menjawab soalan wartawan.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2026 Permadu Malaysia
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.






Comments
Post a Comment