Jangan terlebih ego sampai pihak berkuasa panggil bantu siasatan pun tak boleh
Tiada salah polis panggil bantu siasatan, untuk dapat gambaran lebih jelas
Beri kerjasama dan sampaikan maklumat dengan tepat, jujur dan benar
Portal berita terkemuka di Malaysia, Malaysiakini semalam melaporkan seorang ahli sains politik dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dipanggil polis untuk membantu siasatan terhadap dakwaan cubaan menggulingkan kerajaan, dengan pihak berkuasa memberi tumpuan kepada pandangan yang telah dinyatakannya pada 2024.
Mengesahkan hal itu kepada portal berkenaan, Prof Madya Dr Syaza Shukri memberitahu dia dipanggil ke Bukit Aman pada 10 Mac lalu sebagai sebahagian daripada siasatan balu Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid, mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan.
Ia melibatkan kesalahan mengancam demokrasi berparlimen dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.
Profesor Madya itu berkata dia dipanggil kerana pandangan yang dinyatakan dalam laporan South China Morning Post pada 26 Disember 2024 yang berkaitan peranan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam isu Pulau Batu Puteh.
Dalam laporan itu, Syaza – yang dirujuk atas kapasitinya sebagai Ketua Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa (UIA) – dipetik sebagai berpendapat bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah "musuh nombor satu" bagi Mahathir dan pembangkang.
Dia menambah jika kerajaan meneruskan siasatan terhadap Mahathir, pembangkang "akan mempunyai masa yang banyak untuk memberikan gambaran yang sangat negatif tentang Anwar".
Semalam, Syaza dilaporkan sebagai berkata, polis mengemukakan "banyak" soalan kepadanya dalam usaha untuk menentukan sama ada terdapat sebarang kaitan antara dia dan Na'imah atau sebaliknya.
Ahli akademik itu juga berkata polis meminta penjelasan sama ada dia "menerima apa-apa daripada sesiapa" atau tidak semasa membuat kenyataan kepada agensi berita antarabangsa itu.
Sementara itu dalam kenyataan semalam juga, Persatuan Pelajar Sains Politik UIA mempersoalkan motif Bukit Aman dengan menegaskan bahawa sebarang komen yang dibuat mengenai perkembangan politik kontemporari, terutamanya mengenai pemimpin politik, tidak seharusnya dilihat sebagai kritikan yang memudaratkan demokrasi berparlimen.
“Ugutan oleh pihak polis terhadap pendapat akademik akan mengancam wacana intelektual negara kita dan berpotensi mendiamkan para sarjana daripada membincangkan isu-isu politik yang menarik minat rakyat,” kata kumpulan itu.
Terdahulu peguam Encik Zaid Malek berkata dua lagi individu – daripada 14 nama secara keseluruhan – yang dinamakan dalam e-mel terkait dakwaan plot mengguling kerajaan dipanggil polis untuk disoal siasat.
Katanya setakat ini sembilan individu dari senarai itu telah dipanggil, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif C4 Center, Puan Pushpan Murugiah.
Peguam Na’imah, Encik Nizamuddin Hamid, yang turut dipanggil semalam atas kenyataannya mengecam dakwaan terhadap anak guamnya sebagai “fantasi semata-mata” dan mempersoalkan bagaimana seorang balu berusia 70 tahun mempunyai kuasa untuk menggulingkan kerajaan.
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.








Comments
Post a Comment