Dari dalam penjara, Isa Samad arah peguam memfailkan permohonan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan
Agensi berita rasmi Malaysia Bernama melaporkan bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, telah memfailkan permohonan semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengembalikan sabitan dan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta terhadapnya atas pertuduhan rasuah.
Peguam, Datuk Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili Mohd Isa, ketika dihubungi agensi berita tersebut dilaporkan mengesahkan notis usul itu difailkan pada 4 Mac lalu.
Permohonan berkenaan difailkan di bawah Peraturan 137 Kaedah-Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 melalui firma guaman, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak.
Abu Bakar berkata, permohonan semakan itu difailkan seperti yang diarahkan Mohd Isa.
Ketika ini, Mohd Isa menjalani hukuman penjara enam tahun selepas Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari lalu mengembalikan sabitan dan hukuman atas pertuduhan rasuah terhadapnya berserta denda RM15.45 juta atau dua tahun penjara jika gagal membayar denda.
Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Nordin Hassan, membenarkan rayuan pihak pendakwaan, sekali gus membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 2024 yang membebaskan Mohd Isa daripada sembilan pertuduhan rasuah.
Panel hakim itu mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Februari 2021 yang menjatuhkan hukuman penjara enam tahun serta denda RM15.45 juta atau dua tahun penjara sekiranya gagal membayar denda itu, ke atas Mohd Isa.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu didakwa menerima suapan berjumlah RM3.09 juta daripada Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) ketika itu, Encik Ikhwan Zaidel, melalui bekas pegawai khasnya, Encik Muhammad Zahid Md Arip.
Bayaran itu didakwa sebagai dorongan bagi meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak, oleh Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) pada harga RM160 juta.
Dalam keputusan sebulat suara itu, Nordin berkata, Mahkamah Tinggi telah bertindak dengan tepat apabila mendapati Mohd Isa menerima suapan, sekali gus menimbulkan anggapan bawah Seksyen 50(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
Seksyen 50(1) menetapkan bahawa sebarang suapan diterima, diberikan atau diminta adalah dianggap telah diterima, diberikan atau diminta secara rasuah, kecuali dibuktikan sebaliknya.
Bernama juga memetik Nordin sebagai berkata, walaupun menyampaikan 'salam' melalui orang tengah adalah amalan kebiasaan dalam kalangan umat Islam, tetapi dalam konteks kes itu, ia membawa konotasi berbeza dan komunikasi responden kepada Muhammad Zahid, bersama dengan 'salam' itu, menyokong bukti bahawa wujud permintaan atau tuntutan bagi wang suapan.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2026 Permadu Malaysia
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.






Comments
Post a Comment