Berebut Bayang-Bayang Kuasa di Putrajaya

Dalam politik, ada dua jenis pemimpin. Pertama, yang membina legitimasi melalui pengalaman, rekod pentadbiran dan pencapaian; dan kedua, yang cuba melonjak naik melalui bayang-bayang patron politik.

Polemik terbuka di antara Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengenai siapakah calon perdana menteri bagi PN mendedahkan satu hakikat yang sukar dinafikan — politik pembangkang kini terperangkap dalam krisis kepimpinan yang serius.

Pertelingkahan ini bermula apabila Muhyiddin menyatakan bahawa tiada sebarang ketetapan rasmi yang Ahmad Samsuri adalah calon perdana menteri. Yang dipersetujui, katanya, ialah Menteri Besar Terengganu itu menjadi Pengerusi PN.

Kenyataan itu sepatutnya cukup jelas sebagai isyarat bahawa soal kepimpinan tertinggi PN masih belum diputuskan.

Namun respons Ahmad Samsuri yang pantas menegaskan bahawa Muhyiddin tidak lagi dinamakan sebagai calon perdana menteri menimbulkan persoalan lebih besar: apakah ia sekadar reaksi defensif, atau manifestasi seorang pemimpin yang terlalu awal melihat dirinya berada di Putrajaya

Dalam tradisi politik yang matang, persoalan kepimpinan tidak ditentukan oleh retorik atau kenyataan balas di media. Ia dibina melalui perjalanan panjang dalam pentadbiran negara, penguasaan dasar, dan rekod yang terbukti.

Dalam konteks ini, perbandingan di antara Muhyiddin dan Ahmad Samsuri sebenarnya sangat tempang.

Muhyiddin – dengan segala kontroversinya – tetap memiliki pengalaman pentadbiran yang luas. Dia merupakan ‘otai politik’ dan pernah menjadi Menteri Besar Johor, memegang pelbagai portfolio kementerian penting, menjadi timbalan perdana menteri, dan akhirnya perdana menteri.

Tiada lonjakan membanggakan

Laluan politiknya panjang dan penuh liku, tetapi ia membentuk satu profil kepimpinan yang sekurang-kurangnya bersandar kepada pengalaman sebenar dalam mentadbir negara.

Sebaliknya, perjalanan politik Ahmad Samsuri jauh lebih sempit. Kedudukannya sebagai Menteri Besar Terengganu sejak 2018 tidak disertai dengan rekod transformasi ekonomi negeri yang meyakinkan.

Malah, jika diteliti secara objektif, Terengganu di bawah kepimpinan Naib Presiden PAS itu masih terperangkap dalam struktur ekonomi lama yang bergantung kepada sumber petroleum dan peruntukan kerajaan pusat.

Data fiskal negeri menunjukkan bahawa kebergantungan Terengganu kepada dana persekutuan semakin meningkat setiap tahun. Hasil negeri sendiri tidak berkembang secara signifikan.

Pelaburan langsung asing yang benar-benar berimpak juga tidak memperlihatkan lonjakan yang boleh dibanggakan.

Dalam bahasa mudah, naratif “kejayaan pentadbiran” yang sering digembar-gemburkan sebenarnya tidak disokong oleh indikator ekonomi yang kukuh.

Ia membawa kepada persoalan yang lebih mendasar: apakah pencapaian besar Ahmad Samsuri sebagai menteri besar yang boleh dijadikan bukti kelayakannya sebagai calon perdana menteri?

Jika negeri yang dipimpinnya sendiri belum menunjukkan transformasi ekonomi yang signifikan, bagaimana dia boleh diyakini untuk mengurus ekonomi negara yang jauh lebih kompleks?

Di sinilah letaknya paradoks politik yang sedang berlaku. Ahmad Samsuri kini dipromosikan sebagai poster boy PN oleh sekurang-kurangnya Pemuda PAS.

Namun hakikatnya, populariti yang dibina melalui naratif parti tidak semestinya selari dengan realiti prestasi pentadbiran.

Lebih menarik lagi, reputasi akademik dan profesional Ahmad Samsuri sebelum memasuki politik juga tidak menunjukkan kecemerlangan luar biasa yang sering cuba digambarkan oleh penyokongnya.

Terlalu cepat nak melonjak

Dalam dunia akademik, ukuran prestasi biasanya jelas — penyelidikan, penerbitan, sumbangan kepada ilmu, dan reputasi antarabangsa. Namun rekod tersebut tidak memperlihatkan keunggulan yang boleh dianggap luar biasa.

Ini bukan untuk menafikan kelayakan Ahmad Samsuri sebagai seorang teknokrat atau profesional, tetapi untuk menegaskan bahawa naratif “tokoh hebat yang menunggu masa menjadi perdana menteri” sebenarnya lebih banyak dibina melalui propaganda politik berbanding fakta yang boleh diuji.

Sekiranya benar dia merupakan tokoh perdana menteri masa hadapan, percayalah masa hadapan negara akan lebih gelap dan malap!

Apa yang berlaku hari ini dalam PN sebenarnya mencerminkan krisis struktur kepimpinan yang lebih mendalam. Selepas era Tun Dr Mahathir Mohamad dan kemudiannya Muhyiddin, parti-parti PN masih gagal melahirkan generasi pemimpin nasional yang benar-benar memiliki graviti politik.

Sebahagian pemimpin muda pula kelihatan terlalu cepat ingin melonjak ke puncak tanpa terlebih dahulu membina rekod yang meyakinkan.

Dalam politik, gelojoh sering menjadi tanda kelemahan, bukan kekuatan.

Lebih ironi lagi, perbalahan terbuka Muhyiddin dan Ahmad Samsuri berlaku ketika PN masih bergelut untuk membina kredibiliti sebagai alternatif kerajaan.

Rakyat yang memerhati tidak melihat persaingan idea atau visi negara. Sebaliknya, yang kelihatan hanyalah perebutan simbolik mengenai siapa yang lebih layak menduduki kerusi perdana menteri yang bahkan belum pasti berada dalam jangkauan mereka.

Politik seperti ini bukan sahaja melemahkan imej pembangkang, tetapi menonjolkan satu hipokrasi yang sukar disembunyikan.

Ketika mereka sering mengkritik kerajaan kononnya berebut kuasa, realitinya mereka sendiri sedang bertarung untuk sesuatu yang masih berupa bayang-bayang.

Perlu bukti keupayaan sebenar

Ahmad Samsuri mungkin dilihat sebagai anak emas kepada Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Cuma dalam politik nasional, restu seorang presiden parti sahaja tidak cukup untuk membina legitimasi sebagai pemimpin negara. Legitimasi itu datang daripada rekod pentadbiran, kemampuan memimpin ekonomi, serta keupayaan membina keyakinan rakyat.

Setakat ini, rekod tersebut masih belum kelihatan.

Jika Ahmad Samsuri benar-benar ingin dilihat sebagai calon perdana menteri yang serius, langkah pertama bukanlah membalas kenyataan Muhyiddin melalui media.

Sebaliknya, beliau perlu membuktikan keupayaan sebenar melalui pentadbiran negeri yang cemerlang — menarik pelaburan berkualiti, mengurangkan kebergantungan fiskal kepada pusat, dan membina ekonomi negeri yang dinamik.

Tanpa pencapaian tersebut, naratif bahawa dia layak menjadi perdana menteri akan kekal sebagai retorik politik yang kosong.

Di mana pula kedudukan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang telah menundukkan dirinya untuk walak kepada PAS?

Adakah Hamzah akan dipermainkan dan 'end game’ kepada cita-cita politiknya hatta melalui Parti Keluarga Malaysia, yang terang-terang ditolak oleh Muhyiddin dan Bersatu daripada menyertai PN.

Dalam politik Malaysia yang semakin matang, retorik kosong semakin sukar untuk menipu realiti.


Adaptasi dari hasil tulisan SHAH NOR BASRI, felo utama Akademi Sains Islam, Jordan. Pertama disiarkan Malaysiakini pada hari ini, Khamis 12 Mac 2026.

End©Permadu

Kunjungi blog Permadu Malaysia di permadumalaysia.blogspot.com

Adaptasi oleh Fauzi Kadir
Ketua Pengarang

Penolong Pengarang
Kwai Fong Chin 


Suntingan terakhir dan dibawa kepada anda oleh
Fauzi Kadir KETUA PENGARANG

© 2026 Permadu Malaysia
Semua Hak Cipta Terpelihara
E-mel: permadu@gmail.com

DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG   

Akaun bank rasmi dan diberi kuasa bagi pihak Permadu Malaysia
Fauzi Bin Abd... 7600650948 CIMB Bank

Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.

Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.

 Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.

Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Australian political analyst says Malaysian PM's political party, PKR is in collapse

MAHATHIR MAY REJOIN UMNO

Ketua Pemuda UMNO ajak Ahli MKT UMNO bertumbuk

Isu Stadium Shah Alam, suami Hannah Yeoh dapat kontrak, parkir, terkini babi — faktor penyumbang PH kalah di PRN akan datang

OVERCONCENTRATION OF A MALAY POPULATION MAKES SHAH ALAM A GHOST CITY, SAYS ANALYST

It happens everywhere—Not only in our country

A lawyer's personal opinion on Tommy Thomas' controversial book

Satu demi satu agamawan problematik muncul, terkini Dr Mashitah Ibrahim

Isteri billionaire minta tolong orang ramai menderma?

Dad and Kids