Anwar dipercayai membisu kerana tertekan dengan asakan PAS yang semakin agresif
Merujuk kepada dua hantaran di Facebook hari ini, portal berita politik terkenal Malaysiakini melaporkan PAS menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil tindakan undang-undang terhadap Bloomberg susulan laporan terbarunya berhubung dakwaan berkaitan siasatan ke atas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki.
Ketua Penerangan PAS, Encik Ahmad Fadhli Shaari berkata kerajaan perlu bertindak jika laporan itu tidak benar, termasuk memfailkan saman di mahkamah.
"Nah, ini kali ke berapa Bloomberg siarkan artikel membangkitkan persoalan ketelusan kerajaan Madani secara terbuka. Tak malukah kerajaan Madani di bawah pimpinan PMX (Anwar) dihadapkan pendedahan demi pendedahan ini?
"Artikel ini lebih berani lagi menyatakan bahawa individu yang disiasat masih berpotensi diberikan laluan ke jawatan lain seperti senator selepas tamat tempoh perkhidmatan. Ini tentunya menghantar mesej yang salah kepada rakyat.
“Kerajaan wajib jawab, jika ia fitnah lakukan tindakan. Saman dan dakwa Bloomberg! Kenapa takut? Jika benar laporan sudah siap, kenapa tangguhkan,” soalnya pada hantaran di Facebook hari ini.
Ini susulan laporan Bloomberg yang memetik sumber mendakwa Anwar meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan berkaitan isu pemilikan saham Azam.
Menurut laporan itu, penangguhan dibuat sehingga satu lagi siasatan berasingan dikaitkan dengan dakwaan “mafia korporat” selesai, dengan menyebut Anwar bimbang ia boleh menjejaskan kedudukan kerajaan sekiranya pilihan raya umum diadakan dalam masa terdekat.
Pada 10 Februari lalu, Bloomberg melaporkan Azam memiliki 17.7 juta saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan.
Laporan itu kemudian disahkan melalui rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia, menurut portal berkenaan.
Nilai pegangan saham itu dianggarkan hampir RM800,000, melebihi had pemilikan saham yang dibenarkan kepada penjawat awam.
Bagaimanapun, Azam menegaskan pegangan saham berkenaan dibuat secara telus dan diisytiharkan mengikut peraturan.
SPRM nafi dakwaan ‘mafia korporat’
Pada 12 Februari, Bloomberg turut melaporkan dakwaan bahawa pegawai SPRM bersekongkol dengan pihak tertentu dalam usaha pengambilalihan korporat.
Laporan itu mendakwa wujud taktik menggunakan aduan kepada SPRM bagi menekan syarikat sasaran sebelum diambil alih.
SPRM bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkannya sebagai fitnah yang menjejaskan reputasi agensi itu.
Kerajaan kemudian menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyiasat dakwaan berkenaan.
Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata jawatankuasa itu dipengerusikan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Pada 3 Mac lalu, Anwar memaklumkan laporan siasatan dijangka siap dalam masa beberapa hari.
Namun, sehingga kini hasil siasatan tersebut belum didedahkan kepada umum.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bachok, Encik Syahir Sulaiman (gambar atas) pada hantaran di media sosial turut menuntut kerajaan mendedahkan hasil siasatan demi kepentingan awam dan membersihkan nama SPRM.
“Tiada apa yang perlu ditakutkan. Tiada apa yang perlu disembunyikan.
"Jika dahulu.. kronisme, nepotisme, rasuah, salah guna kuasa, itu yang ditentang.
“Hari ini.. ‘corporate mafia’, ‘bail-out’, ‘money-laundering’, ‘sakau’ ‘wang perlindungan’; itu yang ditayang,” kata Syahir yang juga setiausaha politik kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Adaptasi dari sumber berita Malaysiakini.
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.










Comments
Post a Comment