Tiada kompromi larian lucah, titah TMJ
Inilah yang dinamakan tak ada penyakit cari penyakit
Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan negeri ini tidak akan bertolak ansur dengan acara tidak senonoh serta lucah seperti yang tular melibatkan program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Desaru Kota Tinggi.
Merujuk hantaran di media sosial, Sinar Harian memetik titah baginda bahawa tindakan sudah diambil terhadap pihak yang terlibat.
“Action has been taken and the culprits have been arrested. Zero tolerance in Johor,” tulis baginda dalam aplikasi X HRH Crown Prince of Johor, pada Ahad.
Pada Sabtu, media melaporkan kerajaan negeri tidak pernah memberi kebenaran atau kelonggaran terhadap mana-mana pihak bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam di Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri memandang serius dan tidak akan berkompromi dalam isu tular mengenai pelancong berpakaian songsang dan tidak senonoh dalam satu program larian di Kota Tinggi.
Dalam foto dan video tersebut memaparkan sekumpulan penari wanita membuat persembahan dengan pakaian mencolok mata.
Menerusi foto tersebut, terdapat peserta yang mengenakan pakaian seperti penyokong golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Polis seterusnya menahan tiga lelaki disyaki berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi.
Dua lelaki warga asing dan seorang lagi warga tempatan berusia 39 hingga 70 tahun itu diberkas di sebuah hotel kira-kira jam 10 malam Sabtu, bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Bernama melaporkan, polis menahan tiga lelaki termasuk dua warga asing bagi membantu siasatan berhubung insiden berkelakuan tidak senonoh dan lucah ketika program Larian Antarabangsa Pan Asia 2024 di Kota Tinggi, semalam.
Ketua Polis Johor Datuk M. Kumar berkata kesemua mereka berusia lingkungan 39 hingga 70 tahun itu ditahan di sebuah hotel di daerah berkenaan, pada kira-kira pukul 10 malam tadi.
Beliau berkata pihaknya turut merampas sepasang sari merah, sehelai skirt merah, tiga keping kadbod berwarna perak dan sebatang tombak tiruan berwarna perak yang dipercayai dijadikan pakaian dan aksesori mereka semasa larian itu.
"Siasatan awal mendapati tindakan yang dilakukan oleh ketiga-tiga tangkapan adalah atas kapasiti individu dan bukan mewakili pihak penganjur atau program larian yang dianjurkan.
"Hasil ujian air kencing mendapati ketiga-tiga suspek negatif daripada sebarang jenis dadah dan mereka tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana kelakuan yang menghina dan Seksyen 294 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan lucah di tempat awam.
"Siasatan masih diteruskan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis dan menggugat ketenteraman awam.
"Orang ramai juga dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat berkaitan kejadian di talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi 07-8831222 atau bilik gerakan 07-8831221," katanya.
Semalam, media melaporkan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan bahawa acara tersebut bukanlah anjuran mana-mana agensi kerajaan di negeri ini dan kerajaan negeri tidak pernah memberi kebenaran bagi penganjuran acara yang tidak menjaga sensitiviti agama Islam.
Onn Hafiz dipetik sebagai berkata Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak bertanggungjawab menganjurkan acara yang menggugat kedaulatan agama Islam di Johor.
Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi tujuh saat serta beberapa keping gambar program larian yang disertai peserta berpakaian tidak senonoh, termasuk persembahan tarian di sebuah hotel."
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment