Sebaran kebencian terhadap masyarakat Rohingya di Malaysia

Semalam, sebuah portal berita pro-pembangkang menyiarkan artikel di mana sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyuarakan kebimbangan tersebarnya berbagai berita dan maklumat tidak sahih berkaitan masyarakat Rohingya di Malaysia.

Keadaan ini menyemarakkan dengan pantas rasa benci terhadap golongan pendatang dari Myanmar itu.

Portal berkenaan, MalaysiaNow melaporkan sebuah gabungan utama mewakili pertubuhan Islam di Malaysia menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap kandungan dalam talian yang palsu dan berunsur kebencian yang menyasarkan etnik Rohingya, langkah yang menandakan tindak balas pemimpin Islam tempatan terhadap kempen xenofobia yang terus menyerang komuniti pelarian tersebut meskipun agensi kerajaan sendiri sebelum ini terpaksa tampil menafikan pelbagai dakwaan yang disebarkan.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), yang mewakili puluhan organisasi dan NGO Islam di seluruh negara, turut menggesa penubuhan sebuah “task force kebangsaan” untuk memantau “kebencian dan maklumat salah” yang disebarkan secara digital, dianggotai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), polis, Kementerian Dalam Negeri, serta pakar forensik digital dan kumpulan masyarakat sivil.

“Tugasnya ialah mengenal pasti lebih awal akaun palsu, tingkah laku tidak tulen yang terkoordinasi, maklumat salah dihasilkan oleh AI, kempen kebencian, statistik rekaan, video dimanipulasi serta hasutan terhadap komuniti etnik,” kata Presiden Mapim, Encik Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar, atas).

Beliau berkata SKMM, badan kawal selia internet yang bertanggungjawab memantau ancaman siber dan berita palsu, perlu menyiasat dan mengambil tindakan terhadap penyebaran kandungan yang menyemarakkan kebencian terhadap komuniti Rohingya.

“Adakah kita sedang berhadapan dengan penyebaran kebencian secara spontan, atau terdapat rangkaian akaun yang sengaja memanipulasi sentimen masyarakat?” soal Azmi, sambil menambah bahawa wujud risiko daripada usaha tersusun untuk memanipulasi sentimen awam.

Beliau berkata pihak berkuasa juga mesti menyiasat sama ada akaun dari luar negara digunakan untuk mempengaruhi sentimen awam di Malaysia.

“Jangan biarkan algoritma media sosial menentukan siapa yang rakyat Malaysia patut benci.”

Menurut Mapim, isu tersebut semakin membimbangkan dengan penyebaran petikan rekaan, video yang diubah suai dan bahan yang dijana AI dalam kempen maklumat yang menyasarkan komuniti Rohingya.

“Mapim tidak membuat kesimpulan bahawa semua akaun yang menyebarkan kandungan anti-Rohingya adalah akaun palsu. Itu mesti dibuktikan melalui siasatan.”

Ia mengingatkan bahawa SKMM sendiri telah mengesan ciri “coordinated inauthentic behaviour” (CIB), atau tingkah laku tidak asli, melibatkan sebuah kes pada Februari di mana kandungan menyentuh agama, kaum dan institusi diraja (3R) — topik yang menyebabkan tangkapan dan pendakwaan – disebar menggunakan akaun Facebook dan TikTok yang dimanipulasi untuk mempengaruhi persepsi umum.

“Walaupun kes tersebut tidak berkaitan secara khusus dengan Rohingya, kewujudan pola sedemikian membuktikan bahawa manipulasi terkoordinasi melalui media sosial merupakan sesuatu yang perlu dipandang serius,” katanya.

Tekanan awam yang dicipta

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, berlaku peningkatan ketara sentimen kebencian dalam talian yang menyasarkan pelarian Rohingya di Malaysia, sebahagian besarnya didorong oleh maklumat salah dan slogan perkauman.

Rohingya-hatespeech_Mnow

Semakan mendapati sebahagian besar kandungan tersebut dipacu oleh bot dan akaun palsu yang menggunakan ratusan video yang dijana teknologi AI dengan matlamat menyemai permusuhan terhadap komuniti pelarian dan migran, menyerupai apa yang berlaku di Aceh pada 2023 apabila kempen kebencian dalam talian cuba membangkitkan kemarahan penduduk tempatan supaya mengusir pelarian Rohingya, hanya beberapa bulan sebelum pilihan raya presiden Indonesia.

Kempen tersebut dilihat mendapat persetujuan daripada sebahagian ahli politik Malaysia, dengan tekanan yang direkayasa secara dalam talian itu sedikit sebanyak mendorong pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap pelarian.

Pada Julai, lebih 100 pelarian Rohingya, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, ditahan pegawai imigresen ketika berkumpul di pejabat agensi pelarian PBB, UNHCR, di Kuala Lumpur selepas diusir dari kediaman mereka di Pulau Pinang.

Ia disusuli pengumuman mengejut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengubah dasar Malaysia melindungi pelarian Muslim yang dilucutkan kewarganegaraan oleh junta Myanmar, di samping memeterai sebuah perjanjian dengan rejim itu untuk menghantar pulang ribuan warga Myanmar di bawah apa yang dipanggil “program penghantaran pulang secara sukarela”.

Mayat seorang penduduk terbaring di sebelah bangkai motosikalnya selepas serangan udara junta Myanmar ke atas sebuah kawasan pasar sesak di Kyauktaw, berhampiran Negeri Rakhine, 28 September 2026.

Gambar di atas yang dipetik dari MalaysiaNow menunjukkan mayat seorang penduduk terbaring di sebelah bangkai motosikalnya selepas serangan udara junta Myanmar ke atas sebuah kawasan pasar sesak di Kyauktaw, berhampiran Negeri Rakhine, 28 September 2026.

Minggu lalu, kumpulan pertama terdiri daripada kira-kira 1,500 orang dihantar pulang, walaupun pada masa sama tentera Myanmar melancarkan serangan udara ke atas sebuah pasar awam di Kyauktaw, berhampiran Rakhine, sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 49 orang dan mencederakan 58 penduduk, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Langkah Malaysia itu dikritik UNHCR dan mengundang kecaman beberapa badan antarabangsa seperti Amnesty International, Asylum Access dan kumpulan doktor perubatan sedunia, Doctors Without Borders. 

“Ia seperti menghantar semula mereka ke medan pembunuhan,” kata Majlis Kebangsaan Rohingya Arakan (ARNC), seperti dipetik Al Jazeera.

Peringatan kepada umat Islam

Seruan Mapim dikeluarkan ketika agamawan dan golongan mufti tempatan dilihat tidak bersuara membantah kempen kebencian yang menyasarkan umat Islam tertindas dari negara jiran.

Bagaimanapun, seorang pendakwah Islam terkemuka tampil menyuarakan bantahan keras terhadap kempen tersebut dengan menyelar usaha pihak yang cuba “menyah-manusiakan” pelarian Rohingya.

Pendakwah Encik Firdaus Wong (gambar, atas) turut memberi amaran bahawa apa yang berlaku adalah permulaan kepada jenayah yang lebih kejam, sambil membandingkannya dengan tindakan Nazi terhadap kaum Yahudi dan genosida yang dilakukan terhadap rakyat Palestin.

“Biar saya berterus terang, cara kita menyah-manusiakan mereka samalah dengan apa yang dilakukan oleh Nazi terhadap orang Yahudi. Mereka bermula dengan melucutkan sifat kemanusiaan terlebih dahulu, kemudian mereka mula menghalalkan jenayah yang lebih besar,” kata Wong di sebuah persidangan Islam pada 13 September.

“Itu bukan ajaran Nabi kita. Malah tawanan perang juga ada hak; kita harus menghulurkan makanan yang kita makan. Mereka itu tawanan perang yang melawan agama (kita), menentang Allah dan Rasul-Nya, namun hak mereka tetap dilindungi.

“Samalah dengan pendirian kita membantah media Barat yang menggambarkan semua umat Islam sebagai pengganas hanya kerana wujud segelintir individu mewakili agama yang melakukan kekejaman.”

Azmi dari Mapim meluahkan kebimbangan sama dan menggesa rakyat Malaysia “tidak membiarkan kebencian terhadap Rohingya menjadi sesuatu yang dianggap normal dalam ruang digital”.

“Kita boleh berbeza pandangan mengenai dasar kerajaan. Kita boleh berdebat mengenai imigresen. Kita boleh menuntut kawalan sempadan yang lebih baik. Kita boleh menuntut penguatkuasaan terhadap jenayah. Tetapi semua tuntutan itu mesti dilakukan dengan fakta dan keadilan,” tambahnya, sambil memetik ayat al-Quran: “Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana ia lebih dekat kepada taqwa.” 

‘Viral tidak bermaksud benar’, mendung tidak bererti hujan

Dalam kenyataannya, Mapim merujuk beberapa kes melibatkan tuduhan terhadap etnik Rohingya yang dinafikan oleh agensi kerajaan.

Antaranya termasuk penafian oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bahawa kononnya penduduk Rohingya hadir di premis JPN untuk memohon MyKad, serta penafian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bahawa ia bercadang membenarkan penduduk Rohingya mendapatkan lesen memandu. 

Bagaimanapun, Mapim berkata ketika penafian JPJ dibuat, hantaran tersebut sudah tersebar luas dan mengundang ribuan komen.

“Mapim amat bimbang dengan kecenderungan untuk menjadikan video pendek, gambar, komen dan hantaran media sosial sebagai ‘bukti’ sebelum kesahihannya diperiksa.

“Masyarakat perlu berhenti membuat kesimpulan hanya berdasarkan kandungan yang memperoleh ribuan tontonan atau perkongsian.

‘Viral’ tidak bermaksud benar. Banyak komen tidak bermaksud fakta. Banyak perkongsian tidak bermaksud kesahihan,” kata Azmi.

End©Permadu


Kunjungi blog Permadu Malaysia di permadumalaysia.blogspot.com

Oleh Fauzi Kadir
Ketua Pengarang

Penolong Pengarang
Jamaliah Mohd Salleh



Suntingan terakhir dan dibawa kepada anda oleh
Fauzi Kadir KETUA PENGARANG

© 2026 Permadu Malaysia 
Semua Hak Cipta Terpelihara
E-mel: permadu@gmail.com

DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG 

Akaun bank rasmi dan diberi kuasa bagi pihak Permadu Malaysia
Fauzi Bin Abd... 7600650948 CIMB Bank

Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.

Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi. 

Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.

Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

MAHATHIR MAY REJOIN UMNO

OVERCONCENTRATION OF A MALAY POPULATION MAKES SHAH ALAM A GHOST CITY, SAYS ANALYST

OGY MASALAH KEWANGAN, TAKKAN BIG BOSS PN TAK BOLEH TOLONG KOT

WAAH.. PERMAISURI AGONG PANDU LORI TRELER?

Isu Stadium Shah Alam, suami Hannah Yeoh dapat kontrak, parkir, terkini babi — faktor penyumbang PH kalah di PRN akan datang

BERI PELUANG LIM KIT SIANG JADI PERDANA MENTERI SAMPAI 2023

Syukri Razab Presiden Parti Bersama Malaysia

Who are the lion, tiger, fox and wolves in Malaysian politics?

It happens everywhere—Not only in our country

Peranan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop disaran disiasat