Selepas terima LOD bakal disaman RM1 juta, bekas ketua pemuda Bersatu tukar pendirian, akui syarikat Air Kelantan terbaik di dunia
Susulan tindakannya memuat naik hantaran disifatkan memfitnah dalam mengkritik kelemahan syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), seorang usahawan berdepan beberapa tuntutan termasuk saman dengan bayaran RM1 juta.
Encik Asran Alias, 44, berkata dia bersedia untuk patuh terhadap tuntutan AKSB itu tetapi tidak berkemampuan untuk membayar RM1 juta.
"Mohon nasihat supaya masalah ini selesai, saya nak fokus pada perniagaan dan kesihatan sahaja.
"Mulai hari ini saya akui bahawa AKSB adalah syarikat perkhidmatan air terbaik di dunia, air paling bersih, sistem aduan paling canggih," Malaysiakini melaporkan dan memetik kata-kata Asran dalam hantaran di Facebook, semalam.
Asran yang juga bekas ketua pemuda Bersatu Kelantan ketika dihubungi portal berkenaan dilapor mengesahkan tuntutan yang diterimanya itu.
Surat tuntutan (LOD) itu dikemukakan AKSB melalui firma guaman Tetuan Afifah, Wan & Aimi Shazwani dari Selangor.
Secara umum Asran sebelum ini menulis di Facebook dengan merujuk kelemahan AKSB sebagai syarikat yang paling lemah di dunia.
Firma guaman itu mentafsir hantaran Asran itu sebagai fitnah dan berniat jahat dan mengemukakan empat alasan.
Pihaknya juga menegaskan semakan oleh AKSB mendapati tiada sebarang rekod aduan rasmi diterima berhubung mutu perkhidmatan air, kelewatan memproses permohonan bekalan air mahupun berkaitan pengurusan aduan dibuat atas nama Asran.
"Anak guam kami tegaskan keseluruhan kenyataan yang diterbitkan oleh Asran dibuat tanpa sebarang asas yang munasabah khususnya apabila dakwaan-dakwaan tersebut bersifat umum yang dilakukan secara sengaja untuk memberi gambaran negatif serta mengundang kebencian masyarakat terhadap anak guam kami secara melampau," kata firma guaman itu dalam LOD berkenaan.
Justeru, AKSB menuntut permohonan maaf secara terbuka melalui kenyataan di Facebook, memadam kenyataan yang diterbitkan dan membayar RM1 juta sebagai ganti rugi atas kenyataan fitnah tersebut termasuk kerosakan terhadap reputasi, imej dan kredibiliti.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.






Comments
Post a Comment