Zahid Hamidi, Hamzah Zainuddin tiada dalam senarai calon PM pilihan
Memetik dapatan kajian sebuah firma penyelidikan dan tinjauan, FMT melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Encik Khairy Jamaluddin dan Datuk Onn Hafiz Ghazi muncul sebagai antara tokoh paling menonjol untuk jawatan perdana menteri.
Menurut kajian Vodus Research, Kajian Malaysia Prime Minister Candidate Study 2026 membabitkan 1,482 rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas dari 18 Ogos hingga 1 September mendapati Anwar yang menyandang jawatan itu mencatat tahap penerimaan tertinggi pada 46%, manakala 34% responden memilihnya sebagai pilihan utama.
"Beliau juga tokoh paling dikenali, dengan 93% responden mengetahui mengenainya,” kata Vodus Research dalam kenyataan hari ini.
Menurut firma penyelidikan itu, sokongan terhadap Anwar lebih tinggi di Malaysia Timur, dengan 41% responden memilihnya sebagai pilihan utama berbanding 28% di Semenanjung.
Vodus Research berkata setiap tokoh mendapat sokongan atas faktor yang berbeza, dengan bekas menteri kesihatan Khairy muncul sebagai alternatif utama kepada Anwar dari segi imej peribadi.
“Kepimpinan yang kuat dan berkebolehan, visi yang jelas untuk negara serta kebolehpercayaan antara faktor utama yang disebut.
“Tahap penerimaannya sebanyak 32% meletakkannya di tempat kedua bagi ukuran itu, walaupun sokongan sebagai pilihan utama adalah lebih rendah,” katanya.
Kajian itu turut meneliti pemimpin negeri semakin mendapat perhatian, termasuk Onn Hafiz yang juga Menteri Besar Johor, dengan sokongan terhadapnya banyak didorong keyakinan terhadap kepimpinan, kebolehpercayaan dan keupayaannya memacu ekonomi.
Vodus Research berkata profil Onn Hafiz di peringkat nasional masih mempunyai ruang untuk berkembang. Kajian itu merekodkan tahap penerimaan 17% terhadapnya, dengan tahap pengenalan nasional sebanyak 42%.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pula mendapat penilaian tinggi dari segi integriti, tadbir urus baik dan keupayaan memacu ekonomi.
Bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli kekal dikaitkan dengan reformasi institusi, dengan responden yang berpandangan positif terhadapnya turut melihat komitmennya memerangi rasuah sebagai antara kekuatannya.
Bagaimanapun, Rafizi mencatat kadar penolakan 20%, sekali gus mempengaruhi tahap penerimaan keseluruhannya.
Pengasas Vodus Research Encik Kelvin Goh berkata penilaian orang ramai terhadap bakal pemimpin negara lebih kompleks daripada sekadar pertandingan populariti kerana seseorang tokoh yang mencatat prestasi baik dalam satu aspek tidak semestinya mendahului dalam aspek lain.
Beliau berkata sokongan lebih tinggi terhadap Anwar di Malaysia Timur mungkin sebahagiannya berkait dengan tumpuan pentadbirannya terhadap Sabah dan Sarawak.
Ini termasuk perkembangan dalam perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hak hasil Sabah serta kawalan lebih besar Sarawak terhadap sumbernya.
“Perkembangan ini memastikan isu pelaksanaan janji kerajaan Persekutuan, hak negeri dan keadilan fiskal terus mendapat perhatian di rantau itu, yang mungkin mengukuhkan persepsi terhadap kepimpinan Anwar di sana,” katanya.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.





Comments
Post a Comment