Pencerahan Peguam Kepada Berita Harian Mengenai Tahanan Di Rumah
Tahanan rumah tak bermaksud boleh tinggal dengan pasangan, bebas jalani kehidupan
Individu yang menjalani tahanan di rumah masih tertakluk kepada peraturan dan pengasingan seperti di penjara.
Peguam, Datuk Shamsuddin Nawawi, berkata individu yang menjalani tahanan penjara di rumah tidak dibenar tinggal bersama pasangan atau ahli keluarga yang lain.
"Berlaku salah faham terutama dalam kalangan orang ramai yang berpendapat tahanan penjara di rumah bebas menikmati dan menjalani kehidupan seperti orang biasa.
"Pasangan mahupun ahli keluarga yang tidak didakwa atau disabitkan, bukanlah orang yang bersalah dan mereka tidak boleh ditahan atau tinggal bersama banduan.
"Oleh itu, dakwaan bahawa Datuk Seri Najib Razak akan tinggal bersama Datin Seri Rosmah Mansor di rumah mereka sekarang adalah tidak benar," katanya.
Menteri boleh isytihar mana-mana premis sebagai penjara
Shamsuddin menjelaskan, ketika ini Seksyen 3 Akta Penjara 1995 memperuntukkan menteri boleh melalui pemberitahuan dalam warta, mengisytiharkan mana-mana rumah, bangunan, kepungan atau tempat mana-mana bahagian sebagai penjara bagi maksud Akta berkenaan.
Katanya, Seksyen 4 akta sama turut memperuntukkan bangunan yang pada mula berkuat kuasanya akta itu dan digunakan sebagai penjara, hendaklah disifatkan sebagai penjara mengikut pengertian akta berkenaan.
"Jika kita membicarakan mengenai kes Najib, maka rumah yang dijadikan penjara tidak semestinya kediaman beliau sekarang.
"Sebaliknya, mana-mana bangunan yang dirasakan sesuai oleh pegawai penjara seperti kem Latihan Khidmat Negara (PLKN) boleh dijadikan penjara," katanya.
Sesebuah rumah mahupun kediaman yang dijadikan penjara, masih perlu berfungsi seperti penjara dan dikawal kakitangan penjara pada setiap masa.
"Banduan juga masih perlu melalui proses pemeriksaan selain menerima fasiliti termasuk makanan dan kemudahan seperti dalam penjara.
"Sesebuah rumah yang dipilih untuk menjadi penjara, perlu bertukar sifat menjadi penjara.
"Mungkin kelebihan yang ada hanya pada keluasan bangunan, namun aktiviti, peraturan dan kemudahan yang ada masih seperti penjara, " katanya.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.






Comments
Post a Comment