Noda Kain Putih
Di suatu pagi yang retak, seorang wanita melihat ke luar tingkapnya dan ternampak jiran baharunya menyidai kain yang baru dicuci di luar untuk dijemur di bawah sinaran matahari.
Dia mengerut dahi.
"Tengok tu," dia memanggil suaminya. "Dia tidak tahu cara mencuci kain dengan betul. Terdapat kesan kotoran pada kain itu."
Kemudian, dia mula mengumpat hal jiran cuci kain tidak bersih, kepada beberapa kawan.
"Anda patut berjumpa dengan jiran baru saya," katanya. "Nampaknya, dia tidak boleh mencuci pakaian tanpa meninggalkan kotoran."
Beberapa hari berlalu.
Sekali lagi, wanita itu menjenguk ke luar dan melihat jirannya sedang menyidai kain di ampai.
Dan sekali lagi, di benak fikirannya dia boleh melihat kotoran pada kain yang sudah dicuci.
Lalu dia mengulangi cerita itu kepada rakan-rakannya, kali ini dengan lebih yakin. Akhirnya, kawan-kawannya merasa pelik dan timbul perasaan ingin tahu, seterusnya mereka memutuskan untuk datang melihat sendiri.
Apabila mereka melangkah ke halaman rumah dan melihat jemuran kain di rumah sebelah, mereka terkejut.
Cadar dan pakaian dibasuh dengan sempurna — cerah, segar dan bersih.
Salah seorang rakannya menoleh ke belakang ke arah rumah wanita itu, kemudian tersenyum.
"Sebelum awak mengkritik kain orang lain," katanya, "awak mungkin perlu membersihkan tingkap rumah awak sendiri dahulu."
Wanita itu menoleh dan melihat. Tingkap-tingkapnya dipenuhi kotoran.
Rupanya, kotoran yang dilihatnya selama ini bukan kotoran pada kain jirannya. sebaliknya kotoran bertapuk-tapuk telah melekat di atas tingkap kacanya sendiri.
Kadang-kadang masalah bukannya pada apa yang kita lihat. Tetapi, dari sudut mana kita memandangnya. Sebelum menilai orang lain, mungkin ada baiknya menilai perspektif diri kita sendiri terlebih dahulu.
Terjemahan dan olahan daripada kisah dalam Bahasa Inggeris yang dikongsikan melalui media sosial oleh rakan kami, Motorland, pada hari ini, Jumaat 4 September 2026.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.






Comments
Post a Comment