PKR menangis? Dunia Belum Kiamat!
Belum tiba masanya untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16)—sebaliknya Kerajaan MADANI perlu meneruskan pentadbiran sehingga melengkapkan tempoh mandat semasa.
Agensi berita rasmi Malaysia Bernama melaporkan malam tadi bahawa Ahli Parlimen Pasir Gudang Encik Hassan Abdul Karim sebagai berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu tergesa-gesa membubarkan Parlimen selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengalami kekalahan dalam beberapa pilihan raya negeri.
Menerusi hantaran bertajuk “DON'T CRY PKR, Dunia Belum Kiamat” di Facebook semalam, beliau berpendapat PKR perlu mengambil masa menilai keputusan pilihan raya dan menyusun semula strategi bagi menghadapi PRU16.
“Berehatlah kamu wahai PKR untuk beberapa hari setelah letih berkempen. Kemudian kita susun strategi baik-baik untuk menghadapi PRU16.
“Yakinkan pemimpin kita, Anwar Ibrahim supaya jangan mudah melatah. Beritahu Anwar supaya jangan adakan PRU16 dalam waktu terdekat ini. Beri semangat kepada Anwar supaya tadbir kerajaan pusat baik-baik sehingga tempoh mandat penuh, iaitu akhir 2027 atau awal 2028,” katanya.
Hassan berkata dari sudut strategi politik, kerajaan wajar menamatkan penggal pentadbiran sehingga penghujung 2027 atau awal 2028 bagi memberi peluang kepada dasar-dasar ekonomi kerajaan menunjukkan hasil kepada rakyat.
Menurut Hassan, mengadakan PRU16 dalam tempoh terdekat berisiko dipengaruhi sentimen susulan kekalahan PKR di Sabah, Johor dan Negeri Sembilan, sekali gus boleh menjejaskan peluang parti itu serta Pakatan Harapan (PH).
Sebaliknya, beliau berkata tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang boleh dimanfaatkan untuk memperkukuh ekonomi negara, menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap prestasi kerajaan.
Hassan berkata apabila rakyat mula merasai manfaat dasar ekonomi dan melihat keadaan ekonomi negara berada pada landasan yang lebih kukuh, ketika itulah pembubaran Parlimen boleh dipertimbangkan.
Beliau turut mengingatkan anggota dan penyokong PKR supaya tidak berputus asa dengan keputusan pilihan raya baru-baru ini, sebaliknya terus menyusun strategi bagi menghadapi PRU16.
“Jadi, jangan menangis PKR. Anda parti reformasi. Malu jika menangis. Kita orang perjuangan. Kita berani berjuang, berani menang dan berani kena tendang!,” katanya.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.






Comments
Post a Comment