Pendakwah terkenal, wanita akan didakwa SPRM esok, berkaitan seleweng dana NGO hampir RM13 juta
Akhbar dan portal Berita Harian melaporkan hari ini bahawa seorang pendakwah bebas yang juga pempengaruh agama terkenal dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban, esok berhubung kes penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernilai hampir RM13 juta.
Selain pendakwah berusia 30-an yang juga pengerusi NGO berkenaan, turut didakwa seorang wanita yang juga setiausaha pertubuhan itu.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dihubungi akhbar berkenaan mengesahkan kedua-duanya akan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban pada jam 9 pagi esok.
"Dia dan seorang wanita akan dituduh esok berhubung satu kes yang dibuka SPRM beberapa bulan lalu," katanya.
Media sebelum ini melaporkan pendakwah bebas yang juga dikenali sebagai pempengaruh agama di media sosial, terutama TikTok, ditahan SPRM Negeri Sembilan kerana disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana NGO terbabit.
Individu berkenaan dipercayai menyalahgunakan kedudukannya dan bersubahat dengan ahli jawatankuasa lain dengan memindahkan sejumlah wang ke akaun bank miliknya serta lapan akaun syarikat yang turut dimilikinya.
Siasatan SPRM sebelum ini dijalankan bagi mengenal pasti aliran dana terbabit serta kemungkinan wujud salah guna kuasa dalam pengurusan kewangan NGO berkenaan.
Setakat ini, identiti pendakwah itu tidak didedahkan.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.





Comments
Post a Comment