Penamatan Perkhidmatan Dr Solehah Bukti Tiada Kebebasan Berfikir di Universiti di Malaysia?
Perkhidmatan Dr Solehah Yaacob (gambar, atas) sebagai kakitangan akademik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah ditamatkan pada 27 April lalu.
Perkembangan ini agak mengejutkan kerana ia memberi gambaran bahawa sebarang pandangan yang tidak selari dengan pandangan satu pihak lagi, akan dimatikan dengan cara menamatkan perkhidmatan seseorang itu.
Sepatutnya, sesuatu pandangan dari seorang ilmuwan yang berbeza perlu ditangani dan dihadapi secara ilmiah juga. Balaslah dengan kertas kerja profesional membuktikan dan meyakinkan awam bahawa pandangan Dr Solehah tidak benar.
Bukan dengan cara memecat sambil memalukan seseorang sewenang-wenangnya. Mungkin di pihak universiti, ada unsur malas berfikir atau amalan berpolitiking di menara gading.
Sejarah telah membuktikan bahawa banyak individu yang dianggap gila atau menjadi bahan ketawa terbukti benar pada zaman selepasnya.
Justeru, Permadu Malaysia berpendapat tindakan UIAM adalah tidak profesional dan tidak beretika dalam konteks ia sebagai sebuah institusi ilmu.
Media di Malaysia merujuk kepada satu kenyataan dari Pejabat Komunikasi, Advokasi dan Promosi (OCAP) UIAM yang memaklumkan, penggunaan sebarang gelaran, jawatan atau apa-apa bentuk kaitan rasmi dengan universiti itu oleh beliau (Solehah) tidak lagi dibenarkan.
Jelas kenyataan itu lagi, susulan penamatan tersebut ahli akademik berkenaan tidak lagi memegang jawatan sebagai profesor atau mewakili institusi pendidikan tinggi (IPT) tersebut dalam sebarang perjawatan.
“Ketetapan itu turut meliputi penggunaan gelaran atau perjawatan yang mengaitkan beliau dengan UIAM dalam bahan promosi, pelaporan media, penerbitan dan pengiklanan.
“Ia juga merangkumi kandungan media sosial, bahan publisiti atau bahan hebahan lain, sama ada secara langsung atau tidak langsung,” akhbar Sinar Harian memetik kenyataan itu bertarikh hari ini, Ahad 23 Ogos 2026.
Solehah sebelum ini mendapat perhatian umum susulan beberapa pandangan kontroversi beliau termasuk mengenai sejarah dan tamadun Melayu.
Menerusi kenyataan itu, beliau mendakwa masyarakat Rom purba mempelajari teknologi pembinaan kapal daripada masyarakat Alam Melayu.
Terbaharu, beliau membentangkan teori bahawa kekayaan bijih besi di Kedah purba mungkin berpunca daripada hujan meteor pada zaman silam.
Mengulas lanjut, UIAM berkata, dengan adanya penjelasan mengenai kedudukan Solehah dapat mengelakkan sebarang kekeliruan pada masa akan datang.
“UIAM berharap dengan penjelasan mengenai status perkhidmatan dan kaitan rasmi Solehah dengan universiti ini dapat mengelakkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai,” katanya.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.






Comments
Post a Comment