MB Selangor dijangka akan buat pengumuman malam ini
Portal berita Buletin TV3 malam tadi melaporkan bahawa sebarang pengumuman rasmi berhubung cuti peristiwa jika Selangor muncul juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, akan dibuat pada malam ini.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari memberi penjelasan menerusi akaun media sosial milik beliau, susulan tular satu sebaran palsu yang mendakwa hari ini adalah cuti umum di negeri itu.
Hantaran semalam itu berkata: “Insya-Allah, sebarang pengumuman rasmi berkenaan Cuti Umum Peristiwa (sekiranya ada) hanya akan dibuat pada Majlis Penutup Kejohanan SUKMA 2026 pada malam esok (Hari ini bermula jam 8 malam).
“Segala sebaran atau pengumuman yang berlaku sebelumnya adalah palsu dan tidak benar sama sekali. Harap maklum dan mohon bersabar.
“Hari Isnin, 24 Ogos 2026, adalah kekal hari bekerja di Selangor,” katanya dalam hantaran ringkas itu.
Sebaran palsu itu dikatakan tular sehingga mencetuskan tanda tanya, terutama dalam kalangan warga Selangor, berhubung kesahihannya.
Terdahulu, media melaporkan Kerajaan Selangor akan mempertimbang untuk memberi cuti peristiwa, sekiranya kontinjen negeri berjaya menjadi juara keseluruhan temasya SUKMA Selangor 2026.
EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Encik Mohd Najwan Halimi, telah dipetik sebagai berkata perkara itu akan dimuktamadkan selepas keputusan kutipan pingat keseluruhan diperoleh dijadualkan pada malam ini.
Katanya, cuti berkenaan akan diusulkan kepada Amirudin untuk dipertimbangkan.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.






Comments
Post a Comment