Analisis Sinar Harian Mengenai Keputusan PRN Negeri Sembilan
1. 25 KERUSI, 56 PERATUS UNDI
BN dan PN menguasai 25 daripada 36 kerusi, melepasi majoriti dua pertiga sebanyak 24 kerusi. Berdasarkan kiraan daripada keputusan penuh, BN memperoleh 227,067 undi dan PN 130,407 undi, menjadikan gabungan kedua-duanya sebanyak 357,474 undi atau kira-kira 56 peratus.
2. PH UNDI TERBANYAK, TETAPI CUMA 11 KERUSI
Fakta paling menarik ialah PH masih memperoleh undi paling banyak sebagai satu blok, iaitu 256,386 undi atau 40.2 peratus, mengatasi BN secara bersendirian. Namun PH bertanding di semua 36 kerusi, sedangkan BN dan PN membahagikan kawasan, menyebabkan undi mereka diterjemahkan kepada 25 kerusi.
3. PH TANPA ADUN MELAYU
PH tinggal 11 kerusi, terdiri daripada sembilan DAP dan dua PKR, manakala Amanah gagal memenangi sebarang kerusi. Dua kerusi PKR yang terselamat ialah Chuah dan Sri Tanjung, menyebabkan PH kini memasuki DUN tanpa seorang pun wakil Melayu.
Ini antara kesan politik paling besar PRN berkenaan kerana PKR dan Amanah sepatutnya menjadi jambatan PH kepada kawasan Melayu.
4. TUJUH KERUSI BERTUKAR TANGAN
Enam kerusi PH jatuh, iaitu: Chennah, Pilah dan Repah kepada BN. Klawang, Sikamat dan Ampangan kepada PN.
Satu lagi perubahan berlaku di Labu apabila kerusi yang dimenangi Bersatu di bawah PN pada 2023 kembali kepada UMNO. BN mencatat keuntungan bersih empat kerusi, manakala PN meningkat daripada lima kepada tujuh kerusi.
5. DUA NAMA BESAR TUMBANG
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke kalah di Chennah kepada calon MCA, Siow Kong Choon dengan majoriti hanya 688 undi. Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun pula tewas di Linggi kepada Datuk Mohd Faizal Ramli daripada UMNO dengan majoriti 2,976 undi.
Kekalahan kedua-duanya membawa simbol besar: seorang ialah wajah nasional DAP, manakala seorang lagi poster boy PH dan calon Menteri Besar.
6. BERSATU KECUNDANG 24 KERUSI
Bersatu gagal memenangi kesemua 24 kerusi yang ditandinginya, dengan 23 calon hilang deposit. Hanya Sri Sanjeevan Ramakrishnan di Jeram Padang memperoleh undi mencukupi untuk menyelamatkan deposit, manakala 20 calon Bersatu mendapat kurang daripada 1,000 undi.
Ketua Penerangannya, Tun Faisal Ismail Aziz hanya memperoleh 548 undi di Sikamat. Lebih memalukan, di Nilai, calon tunggal Berjasa meraih 5,844 undi berbanding Bersatu yang hanya mendapat 718.
7. WAWASAN MENANG TIGA DARIPADA EMPAT
Wawasan mencatat kemunculan sulung yang hampir sempurna dengan memenangi Klawang, Sikamat dan Gemas, serta hanya kalah di Mambau. Di keempat-empat kawasan yang ditandinginya, calon Wawasan memperoleh undi lebih tinggi daripada calon Bersatu.
Gemas pula mempunyai trivia tersendiri: Ridzuan Ahmad mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada 2023, tetapi kali ini mewakili Wawasan selepas sebelumnya menang atas tiket Bersatu.
8. MCA RAMPAS DUA KERUSI DAP
MCA memenangi dua daripada tujuh kerusi yang ditandingi, dan kedua-duanya dirampas daripada DAP. Selain menewaskan Loke di Chennah, MCA menerusi Koh Kim Swee merampas Repah dengan majoriti hanya 444 undi.
MIC pula gagal memenangi dua kerusi yang ditandinginya, iaitu Seremban Jaya dan Sri Tanjung.
9. 444 UNDI PALING KECIL, 16,959 PALING BESAR
Repah menjadi kerusi paling sengit apabila MCA menang dengan majoriti 444 undi. Ia diikuti Chennah, 688 undi dan Pilah, 730 undi.
Sebaliknya, Pas mencatat majoriti paling besar di Paroi, iaitu 16,959 undi, diikuti kemenangan DAP di Bukit Kepayang dengan majoriti 15,207 undi. Perbandingan ini menunjukkan PRN berkenaan menghasilkan kerusi yang terlalu rapat dan terlalu berat sebelah dalam masa yang sama.
10. YANG TERTUA, TERMUDA DAN PALING LAMA
Datuk Seri Mohamad Hasan menjadi pemenang paling tua pada usia 70 tahun selepas mempertahankan Rantau, manakala Siti Nur Umaira Hasim yang berusia 35 tahun menjadi pemenang paling muda menerusi kemenangan BN di Labu.
Ismail Lasim pula muncul sebagai pemenang paling lama berkhidmat sebagai ADUN iaitu tujuh penggal tanpa putus sejak 1999. Tok Mat pula memegang rekod paling lama mempertahankan kerusi sama, iaitu Rantau sejak 2004.
Adaptasi dari sebuah artikel terbitan akhbar Sinar Harian siaran hari ini.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.







Comments
Post a Comment