Saman AS$346 juta (RM1.4 bilion) terhadap Rosmah Mansor mula dibicara 28 Jun tahun depan
![]() |
| Datin Seri Rosmah Mansor |
Agensi berita rasmi Malaysia Bernama melaporkan semalam kes saman difailkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan 10 syarikat lain terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung pembelian barangan mewah berjumlah lebih AS$346 juta (kira-kira RM1.4 bilion) yang didakwa diperoleh daripada dana 1MDB yang diselewengkan, akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur bermula 28 Jun tahun depan.
Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam, yang mewakili Rosmah berkata pada prosiding pengurusan kes itu kelmarin, Pesuruhjaya kehakiman Datuk Muhammad Adam @ Edward Abdullah menetapkan 28 Jun hingga 2 Julai, 5 Julai hingga 9 Julai dan 19 Julai hingga 30 Julai 2027.
"Mahkamah juga menetapkan 28 September ini untuk mendengar permohonan meminda writ saman dan permohonan injunksi Mareva," peguam itu dipetik sebagai berkata ketika dihubungi agensi berita tersebut semalam.
Injunksi Mareva ialah perintah sementara yang menghalang isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak itu daripada melupuskan aset berjumlah AS$346 juta (kira-kira RM1.4 bilion) sama ada dalam bentuk kredit, saham syarikat, hartanah atau lain-lain sehingga keputusan dicapai dalam kes antara plaintif dan defendan.
Saman yang difailkan pada 9 Mei 2024 itu melibatkan 1MDB dan lima anak syarikatnya, iaitu 1MDB Energy Holdings Limited, 1MDB Energy Limited, 1MDB Energy (Langat) Limited, Global Diversified Investment Company Limited serta SRC International Sdn Bhd.
Lima lagi syarikat terlibat ialah Affinity Equity International Partners Limited, Alsen Chance Holdings Limited, Blackrock Commodities (Global) Limited, Blackstone Asia Real Estate Partners Limited dan Brightstone Jewellery Limited.
Kesemua plaintif memohon perintah mahkamah supaya Rosmah membayar sebanyak AS$346,010,489 juta (kira-kira RM1.4 bilion) atau jumlah lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Mereka turut memohon pengisytiharan bahawa plaintif pertama hingga keenam adalah pemilik sah barangan mewah yang didakwa berada dalam milikan Rosmah.
Pada peringkat awal, saman itu menamakan Rosmah dan wanita warga Singapura, Cik Shabnam Naraindas Daswani, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua.
Bagaimanapun, pada April 2025, 1MDB bersama syarikat terbabit menarik balik saman terhadap Shabnam.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.





Comments
Post a Comment