Negeri Sembilan: Darjah Kebesaran Rais Yatim Ditarik Balik Serta-Merta
Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan menitahkan penarikan balik dua darjah kebesaran yang pernah dikurniakan kepada Tan Sri Dr Mohd Rais Yatim, berkuat kuasa serta-merta.
Berdasarkan laporan portal berita Harapan Daily, dua anugerah berkenaan ialah Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (S.P.N.S) yang dikurniakan pada 2001 serta Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (D.S.N.S) pada 1979.
Perkara itu diumumkan menerusi kenyataan akhbar Pendaftar Darjah Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zafir Ibrahim, hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, keputusan berkenaan dibuat bagi memelihara kebesaran, kemuliaan dan kehormatan Institusi Diraja Negeri Sembilan.
“Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan telah menitahkan penarikan balik kurniaan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (S.P.N.S) (2001) dan Darjah Dato’ Setia Negeri Sembilan (D.S.N.S) (1979) kepada Tan Sri Dr Mohd Rais bin Yatim, berkuat kuasa serta-merta,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai kabur apa sebenarnya masalah di Negeri Sembilan
Untuk rekod, Rais, 84, sebelum ini secara terbuka berpendapat tindakan Undang Yang Empat menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai sah.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan (1978 hingga 1982) itu juga mempertahankan kedudukan pihak yang bertelagah dengan pentadbiran serta institusi diraja negeri, termasuk mengkritik tindakan terhadap bekas Undang Luak Sungai Ujong.
Rais malah dilapor mendakwa Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar telah dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu dalam satu acara di Melaka pada 5 Jun lalu.
Bagaimanapun, kedudukan Tuanku Muhriz masih dipertahankan oleh kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.





Comments
Post a Comment