Gara-gara nafsu terlalu ghairah, BN (UMNO) dan PN (PAS) hilang kredibiliti
Demi kuasa, BN dan PN sanggup memperbodohkan kebijaksanaan pengundi, sambil menggadai prinsip perjuangan
Keputusan Perikatan Nasional (PN) menjalin persefahaman dengan Barisan Nasional (BN) secara tidak langsung menunjukkan gabungan itu kini menyokong Kerajaan Perpaduan, Berita Harian Online melaporkan sambil memetik Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai berkata.
Keadaan itu, tegas bekas Perdana Menteri dalam hantaran di Facebook hari ini, menjadikan parti diterajuinya sebagai parti pembangkang tunggal di Parlimen ketika ini seperti di peringkat awal penubuhannya.
Beliau menegaskan, BERSATU bermula sebagai parti pembangkang dan kedudukannya parti itu hari ini adalah sebagai parti pembangkang seperti di peringkat awal penubuhannya.
"Malah, keadaannya lebih mencabar kerana BERSATU adalah satu-satunya parti pembangkang tunggal dalam Parlimen Malaysia. Kenapa saya kata tunggal? Kerana Pakatan Harapan adalah kerajaan di Persekutuan dan beberapa negeri.
"Barisan Nasional juga adalah kerajaan di Persekutuan dan di beberapa negeri. Malah, apabila Perikatan Nasional mengadakan kerjasama politik dengan Barisan Nasional, Perikatan Nasional juga secara tidak langsung telah menjadi parti yang menyokong parti kerajaan," katanya.
PN yang diterajui BERSATU dan PAS dengan tiga anggota lain, GERAKAN, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan terbaharu, Parti Wawasan Negara (WAWASAN) ketika ini dilanda kemelut berikutan konflik di antara dua parti utama.
Terbaharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, BERSATU memutuskan bertanding menggunakan logo sendiri, manakala parti komponen lain dalam PN kekal menggunakan lambang gabungan terbabit.
Muhyiddin berkata, kerjasama yang dijalin PN dengan BN menyebabkan berlaku satu kelompangan yang besar dalam politik Malaysia.
Ahli Parlimen Pagoh itu juga membangkitkan persoalan sama ada BERSATU mampu bertahan menghadapi cabaran dan tentangan daripada parti kerajaan dan prokerajaan.
"Bagi saya isunya bukan mampu bertahan, tetapi mesti bertahan," katanya mendakwa kini tiada lagi parti yang benar-benar berwibawa untuk melakukan semak dan imbang terhadap dasar kerajaan.
"BN boleh bercakap berdegar-degar inilah masanya untuk membenamkan Pakatan Harapan (PH) dan disambut dengan senyum simpul oleh Perikatan Nasional-PAS.
"Tetapi BN dan PH tidak boleh lari walau seinci pun daripada tanggungjawab kolektif melaksanakan dasar yang membebankan rakyat seperti kenaikan harga diesel dan petrol.
"Kegagalan menangani isu kos sara hidup rakyat dengan berkesan, kegagalan melaksanakan reformasi institusi dan banyak lagi dasar yang membebankan rakyat serta perniagaan," katanya.
Muhyiddin berkata, UMNO dan BN tidak boleh menutup segala kelemahan itu dengan menghempap segala kesalahan ke atas bahu orang lain sambil mengaut nikmat sebagai kerajaan dan akhirnya berselindung di bawah selimut Penyatuan Ummah dan Penyatuan Melayu untuk meraih sokongan orang Melayu.
"Percayalah, ini hanyalah sandiwara untuk mengaburi mata orang Melayu dan rakyat demi mendapatkan kuasa.
"BERSATU bebas daripada semua sandiwara ini. BERSATU bertekad untuk istiqamah dengan matlamat dan dasar perjuangannya untuk membela rakyat dan memajukan negara," katanya.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.






Comments
Post a Comment