A Kadir Jasin Hampir Digoda Tipah Tertipu
Tipah Tertipu Lagi
1. Dalam ruangan saya dalam Sinar Ahad, 12 Julai, saya menulis mengenai skandal 1MDB dan penipuan pelaburan Felda di Indonesia yang berlaku pada zaman pemerintahan Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
2. Saya sebut balik dua peristiwa buruk itu kerana ada orang UMNO yang mengaitkan kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Dewan Undangan Johor, 11 Julai lalu, sebagai tanda sokongan kepada Mohd Najib. Malah ada yang mahu beliau kembali menjadi Perdana Menteri.
3. Maaf cakaplah, saya tidak faham macam mana masih ada orang Melayu, yang beragama Islam, berfikiran sedemikian.
4. Penipuan perniagaan 1MDB membebankan negara dan rakyat jelata dengan hutang sehingga RM53 bilion. Felda pula rugi berbilion-bilion ringgit kerana pelaburan dalam Felda Global Ventures (FGV) dan pembelian songsang Eagle High Plantations di Indonesia. Itu belum dikira kerugian Tabung Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera.
5. Tiba-tiba, pada 16 Julai, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi tahu yang kita kena tipu lagi. Kali ini terjadi pada zaman Anwar sendiri.
6. Media massa memetik beliau sebagai berkata, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) telah "ditipu" kira-kira RM200 juta dalam pelaburan dengan eFishery, sebuah projek ternakan ikan di Indonesia.
7. Walaupun jumlahnya tidak sebesar 1MDB dan Felda, namun tipu tetap tipu dan rugi tetap rugi. Apatah lagi ia melibatkan tabung pencen kakitangan awam yang terletak terus di bawah pengawasan Kementerian Kewangan.
8. Skandal pelaburan KWAP kali ini dilaporkan berlaku tahun 2023, iaitu tahun pertama Anwar menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
9. KWAP dipengerusikan sendiri oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Johan Mahmood Merican.
10. Pada 26 Mei lalu, portal berita RTM melaporkan yang Anwar mengalu-alukan penglibatan syarikat Malaysia dalam projek akuakultur berskala besar di Indonesia.
11. Katanya, langkah ini merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik serantau untuk mengukuhkan keterjaminan makanan dan meningkatkan rantaian bekalan protein di ASEAN.
12. Nampak seolah-olah beliau cuba melepaskan KWAP dan Kementerian Kewangan daripada bertanggungjawab ke atas kerugian itu dengan memberitahu Parlimen yang pelaburan tersebut dibuat melalui proses penilaian dan tadbir urus bertaraf antarabangsa.
13. Laporan media Indonesia dan antarabangsa seawal 2023 mengatakan, eFishery adalah satu penipuan terancang yang melibatkan manipulasi laporan kewangan. Masakan Anwar terlepas pandang berita itu?
14. Sebagai latar belakang, kita perlu akui yang banyak syarikat Malaysia, termasuk tabung dan syarikat berkaitan kerajaan (GLIC/ GLC), melabur dalam sektor pertanian di Indonesia. Banyak daripada mereka mengalami masalah dan kerugian.
15. Pihak-pihak yang bertanggungjawab ke atas kerugian terbaru ini wajib dikenakan tindakan. Setidak-tidaknya pun, Parlimen mengecam (censure) mereka atas kegagalan menjalankan tugas.
16. Mohon baca keratan akhbar Sinar Harian yang dikepilkan untuk kefahaman yang lebih mendalam.
Terima kasih.
Dipetik dan adaptasi dari sebuah hasil tulisan tokoh wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin, seperti hantaran di Facebook beliau pada hari Isnin, 20 Julai 2026.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.







Comments
Post a Comment