Siti Nurhaliza dan Boss saya saling terpandang, bertentang mata
Kenangan Manis Bersama Boss 2
Cerita ini bukan cerita baru. Hujung 90an hendak masuk tahun 2000. Pada masa itu Boss berusia awal 50an, Saya pula 30an.
Penyanyi paling popular Malaysia Siti Nurhaliza rasanya awal 20an. Masih single dan belum berkahwin dengan Datuk K lagi pada masa itu. Semestinya, terhangat di pasaran.
Boss saya, dia ada drebar dan kenderaan syarikat. Tetapi untuk urusan kerja luar yang ada kaitan dengan tugas saya juga, Boss lebih suka memandu sendiri bersama saya.
Mungkin kalau drebar ada, Boss tak berapa selesa berbual hal-hal terlalu peribadi. Kalau berdua dengan saya sahaja, barulah okay, termasuk menyampaikan ucapan mesra kepada gadis tol,"Hello Kekasih😂". Kadang-kadang saya memandu kereta saya dan Boss duduk di sebelah.
Suatu hari kami ada tugas di Kuala Lumpur. Naik kereta Boss. Di KL kami menginap di hotel Holiday Inn City Centre yang baru bertukar nama lain, terletak di Jalan Raja Laut.
Selepas habis seminar di hotel yang sama, kami balik ke bilik masing-masing. Boss pesan, selepas Isyak, turun makan malam buffet bersamanya di coffee house utama hotel itu. Saya cakap okay.
Ketika makan malam, saya dan Boss ternampak penyanyi Siti Nurhaliza dan seorang perempuan memasuki coffee house. Pada masa itulah Boss terpandang Siti, Siti pulak secara tiba-tiba terpandang Boss. Saling bertentang mata.
Saya nampak sendiri Siti melemparkan senyuman kepada Boss sambil menganggukkan kepala, mungkin sebagai tanda hormat. Tanpa melengahkan masa, Boss membalas senyuman Siti dan Boss menganggukkan kepala juga. Hendak juga Boss tiru gaya Siti mengangguk kepala.
Siti dan kawan perempuannya duduk di meja yang jaraknya lebih kurang 30 meter dari meja kami. Beberapa kali Boss mencuri pandang ke arah Siti. Tapi saya tak pasti sama ada Siti juga mencuri pandang Boss ataupun tidak. Rasanya tiada.
"Lawa sungguh Siti Nurhaliza yak, apa lagi bila dia tersenyum," Boss memberitahu saya dengan ekspresi wajah yang sungguh berselera.
Selepas lebih kurang setengah jam, Siti dan kawannya berlalu meninggalkan coffee house itu. Mereka minum sahaja, tak makan pun.
Lebih kurang jam 10.30 malam, saya dan Boss meninggalkan coffee house dan balik ke bilik masing-masing.
Dalam bilik hotel itu, saya buat kerja sedikit, summarising apa yang dibincangkan dalam seminar tadi.
Lebih kurang jam 12 malam, mata saya mula mengantuk. Saya pun baring. Ketika mata terkelip-kelip untuk melelapkan mata, telefon di bilik hotel berdering.
"Amoi mana pulak telefon ni.." tanya saya dalam hati. Saya mengangkat gagang telefon dengan malas. Rupa-rupanya Boss telefon, bukan amoi. Boss kata dia tak boleh tidur. Dia ajak saya keluar pergi restoran mamak berdekatan untuk minum teh tarik sambil berborak.
"Aihh sudoh! Koi dah ngantuk ni.." keluh saya dalam hati menggunakan loghat Temerloh. Mata dah mengantuk. Tapi Boss punya pasal, saya bersiap dan turun ke lobi. Sampai lobi, Boss sudah tercegat menunggu. Kami pun naik teksi pergi ke kedai mamak berdekatan. Malas nak memandu di waktu malam, kata Boss.
Sambil minum teh tarik dan makan rojak, saya layan Boss bercerita dan cerita Boss asyik berkisar kepada puji-pujian Boss terhadap Siti Nurhaliza. Siti cantiklah. Siti profesional-lah. Siti bersopan santunlah. Pendek kata, apa yang baik, semuanya Siti Nurhaliza.
Pada masa itulah saya teringat filem P Ramlee, Labu Labi. Watak Labi lakonan M Zain membodek boss dia dengan berkata Haji Bakhil terlalu handsome membuatkan Cikgu Murni terpikat. Namun, dalam filem itu, hubungan cinta mereka tidak mendapat restu dari bapa Cikgu Murni, lakonan Datuk Seri Ibrahim Pendek.
Lalu saya pun memberi suntikan motivasi kepada Boss. Saya beritahu Boss: "Saya tengok Boss dan Siti memang ada keserasian."
"Tak adalah.. Awak ni pandai-pandai pulak," jawab Boss.
Walaupun menolak pandangan saya, riak wajah Boss yang senyum meleret, saya yakin Boss, di sudut hati, sebenarnya sangat bersetuju.
Asyik berborak, dah pukul dua pagi. Kami pun panggil teksi dan pulang ke hotel. Pada masa itu, e-hailing belum ada😅.
Keesokan harinya, selepas sarapan pagi, kami checked out dan berangkat pulang.
Beberapa hari selepas itu, di suatu pagi di pejabat, saya ketuk pintu bilik Boss untuk berbincang mengenai proposal satu projek perhotelan.
Selepas memasuki bilik Boss, saya lihat Boss sedang termenung serius, memandang jauh ke hadapan. Pemandangannya seolah-olah menembusi dinding.
Saya tanya Boss: "Boleh kita mula perbincangan sekarang?"
Boss mengambil masa sedikit untuk menjawab. Dengan hanya dua patah perkataan, inilah jawapan Boss: "Siti Nurhaliza."
Walaupun mengandungi mesej tersirat, cerita ini adalah untuk hiburan semata-mata.
Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.
Comments
Post a Comment