Shahidan persoal kembali pasport kepada Zahid Hamidi secara kekal
Ketika berucap dalam Dewan Rakyat hari ini, wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) itu turut mempersoalkan mengapa Zahid diberi layanan istimewa sedangkan presiden UMNO itu sedang berdepan 47 pertuduhan kes mahkamah.
Menurut Shahidan, sekiranya Zahid diberikan pasport antarabangsa secara kekal, maka isteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Datin Seri Rosmah Mansor juga perlu diberikan layanan sama.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan pagi tadi membenarkan Zahid yang juga ahli Parlimen Bagan Datuk untuk mendapatkan semula pasport antarabangsa dan pasport diplomatik secara kekal bagi membolehkan beliau menjalankan tugas rasmi di luar negara.
Keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan hakim Hanipah Farikullah sebulat suara membenarkan permohonan Zahid yang sebelum ini ditolak Mahkamah tinggi pada 3 Februari lalu.
Sementara itu, Rosmah pula dibenarkan untuk ke Singapura selepas pasport isteri bekas perdana menteri itu dikembalikan secara sementara pada Selasa minggu lalu.
"Kenapa DPP sebut perkataan ini 'dapat arahan untuk tidak membantah'? Dia kata dapat arahan untuk tidak membantah di mahkamah. Tolong jawab, saya tak faham," soal Shahidan ketika berucap dalam sesi Perbahasan Jawatankuasa Kementerian Dalam Negeri.
"Sekiranya kita beri kepada TPM, kita perlu bagi juga kepada Rosmah. Rosmah (cuma) dapat pasport sementara.
"Kenapa boleh bagi kepada TPM tetapi tidak beri kepada Rosmah?"
Mengulas lanjut, Shahidan menyarankan supaya kerajaan bersikap adil dan tidak membuat keputusan secara terpilih.
"Saya sokong supaya diberikan kepada semua.
“Ini Madani," tambah beliau.
End©Permadu
Oleh Fauzi Kadir |
© 2023 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH JEMAAH SIDANG PENGARANG
Comments
Post a Comment