Sekarang DAP bukan Kafir Harbi lagi, kata Mufti Pahang
Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman membuat penjelasan secara umum yang memberi gambaran bahawa parti DAP yang pernah dilabelnya sebagai Kafir Harbi kini sudah bertukar status kepada Kafir Zimmi.
Secara mudahnya, Kafir Harbi membawa maksud orang bukan Islam yang dianggap musuh Islam. Manakala Kafir Zimmi pula adalah orang bukan Islam yang dianggap rakan Islam.
Tokoh agamawan eksekutif paling berkuasa di negeri Pahang itu pernah mencetuskan kontroversi suatu ketika dahulu apabila pernah dilaporkan berkata golongan Kafir Harbi darah mereka adalah halal, memberi pentafsiran sesetengah pihak sebagai boleh dibunuh mengikut ajaran Islam.
Walaupun ia kelihatan seperti pusingan U, Abdul Rahman mempunyai alasan munasabah untuk berbuat demikian.
Seperti dilapor Malaysiakini, Mufti Pahang memberitahu portal berita itu, merujuk kepada DAP: "Mereka akur kepada yang di-Pertuan Agong (mengenai pembentukan kerajaan), akur dengan undang-undang negara, hak Islam, hak orang Melayu seperti mana termaktub, mereka Kafir Zimmi."
Status terbaru DAP dalam konteks Islam ini dipercayai timbul semula selepas DAP yang sebelum ini pembangkang kini menjadi sebahagian dari kerajaan negeri Pahang setelah bergabung dengan Barisan Nasional di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Melalui gabungan Pakatan Harapan, DAP juga kini menjadi sebahagian daripada kerajaan persekutuan yang turut bergabung dengan Barisan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
End©PermaduEnd©PermaduEnd©PermaduEnd©PermaduEnd©Permadu
Oleh Fauzi Kadir |
© 2022 Permadu Harmony Bersepadu
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH JEMAAH SIDANG PENGARANG
Comments
Post a Comment