Melayu Islam PN ditaja syarikat judi?

Inilah dakwaan Anwar yang dinafikan Muhyiddin, PAS dan Bersatu

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan sebahagian dana pilihan raya Perikatan Nasional datang dari syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi, demikian menurut laporan Malaysiakini yang menghadiri sidang media di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya semalam. 

Anwar berkata Kementerian Kewangan juga mendapati "pelanggaran" dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender.

Beliau menambah dana pilihan raya untuk parti "Melayu" dan parti "Islam" datang dari syarikat perjudian.

"Berkenaan judi, pastinya sebahagiannya digunakan untuk mendanai pilihan raya. (Saya telah minta) semakan terhadap perkara itu.

"Walaupun anda gelar diri anda parti Melayu atau parti Islam, dana (pilihan raya) datang dari syarikat judi," katanya.

Terdahulu, ahli parlimen Tambun itu turut menegur pentadbiran PN yang diketuai Bersatu dan PAS kerana menaikkan cabutan khas judi dari lapan kepada 22 kali setahun.

Langkah itu dibuat pada akhir 2020.

Kata Anwar, selaku menteri kewangan, dia telah memutuskan bilangan cabutan khas judi akan kembali dikurangkan kepada lapan kali setahun bermula tahun depan.

Kekayaan PN membingungkan

Beberapa pihak sebelum ini mempersoalkan sumber dana kempen PN yang dilihat mereka di luar kemampuan gabungan itu.

Ia termasuklah dakwaan penyelewengan RM600 bilion ketika PN menjadi kerajaan persekutuan.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata dia tidak pasti bagaimana angka itu boleh timbul dan bertanya jika ada yang tertukar dengan peruntukan RM530 bilion dalam pakej rangsangan ekonomi ketika pentadbirannya.

Tidak jelas apa yang dirujuk Anwar ketika dia berkata Kementerian Kewangan mendapati "pelanggaran" dalam pemberian kontrak berjumlah RM600 bilion tanpa tender. 

Namun Anwar berkata siasatan akan dibuat bagi memastikan jika ada sebarang penyelewengan atau korupsi berlaku.

Namun, antara projek kerajaan terdahulu yang kini diperhatikan adalah kontrak rangkaian 5G, yang menurut Anwar dibuat tanpa tender.

Projek Digital Nasional Berhad (DNB) melibatkan peruntukan RM20 bilion.

Tengok cermin kata orang lain kleptokrasi

Sementara itu, Anwar turut membalas kritikan sesetengah pihak yang membangkitkan kleptokrasi - walaupun mereka sendiri tidak lepas dari kesalahan.

"Menarik apabila pihak yang menggunakan 'kleptokrasi' sebagai kritikan tapi mereka sendiri dicurigai (compromised).

Urus niaga besar manfaatkan anak, menantu

"(Ada banyak) urus niaga besar memanfaatkan anak atau keluarga mereka (sons or children or in-laws).

"Saya perlu ingatkan mereka, jika anda benar-benar mahu menanganinya (korupsi) anda perlu bersedia untuk jadi benar-benar telus, dan disiasat," katanya lagi. 

Anwar sekali lagi mengulangi cabaran kepada PN dan pihak lain yang melontarkan kritikan untuk membuat pengisytiharan harta.

Beliau juga menyuarakan keyakinan kabinetnya akan mematuhi peraturan yang ketat bagi menjamin tata kelola yang baik.

Berkenaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjadi timbalan perdana menteri di saat berdepan perbicaraan rasuah, Anwar berkata keputusan itu dibuat atas pertimbangan hirarkinya dalam UMNO.

Sementara orang ramai berhak mempersoalkan perkara itu, katanya, perbicaraan terhadap Zahid masih berjalan dan proses undang-undang itu juga perlu dihormati. 

Comments

POPULAR POSTS from Permadu Malaysia

Beer, khalwat and a hundred other non-halal things

Handsome anak lelaki tunggal Anwar Ibrahim dan Wan Azizah

Singapura Tanam Padi

Kuasa didahulukan, reformasi dikemudiankan – realiti yang akan dilakukan semua perdana menteri

GEMPAR: MUFTI PERLIS TERLIBAT BUNUH AMRI CHE MAT?

Gaji CEO TNB khabarnya berjuta, tapi prestasi GLC itu macam tak sepadan

Jabatan Penjara Malaysia jawab "Abang Mat" mengenai layanan kepada Anwar sebagai banduan

Jika DAP dapat memberi kebaikan kepada orang Melayu, lebih baik dari pemimpin Melayu, apa masalahnya? Kalau...

Sekolah Kebangsaan – High Budget But Low Quality?

Unexplained Najib's sentence reduction makes foreign investors extremely nervous, says Hong Kong-based think tank