SEMUA MAHAL DI TERENGGANU
Orang Terengganu bukan kuat makan, tapi harga barang mahal
SEORANG pensyarah universiti memberitahu Utusan Malaysia, purata perbelanjaan bulanan bagi makan dan minum rakyat Terengganu yang didapati tertinggi di Malaysia sebanyak RM967 bukan disebabkan oleh tabiat pemakanan sebaliknya dipengaruhi oleh kos sara hidup yang mahal.
Pensyarah Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Roshaiza Taha berkata, isu itu bukan sesuatu yang baharu di negeri ini, bahkan telah bermula sejak penemuan minyak di perairan pantai Terengganu, hampir 40 tahun lalu.
Katanya, pembangunan Paka dan Kertih di Dungun sebagai pusat perindustrian petroleum Terengganu menjadikan kos sara hidup di kedua-dua kawasan itu jauh lebih tinggi berbanding di daerah lain hingga menghimpit penduduk tempatan.
“Masyarakat turut terkena tempias walaupun pendapatan yang diperoleh mereka tidak semewah pekerja industri petroleum yang kebanyakannya merupakan golongan berpendapatan tinggi.
“Bahkan, jangan tidak percaya harga barangan asas seperti ikan yang ditangkap di perairan Terengganu jauh lebih mahal jika dibandingkan dengan harga ikan di negeri lain,” Prof. Madya Dr. Roshaiza Taha dipetik Utusan Malaysia sebagai berkata baru-baru ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kajian Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang mendapati penduduk Terengganu paling tinggi menghabiskan belanja bulanan bagi tujuan makan dan minum sepanjang tahun lalu.
Rekod sama dipegang oleh Terengganu menerusi kajian dijalankan pada 2016 apabila membelanjakan purata sebanyak RM916 sebulan dan angka untuk dua tahun itu juga adalah jauh di atas paras nasional.
Menurut Roshaiza, keadaan itu dipercayai berlarutan hingga kini kerana kurang persaingan di antara peniaga di samping tiada permainan harga.
“Berbanding negeri lain, Terengganu tidak mempunyai lambakan pasaraya besar yang bersaing dengan sengit untuk mendapatkan pelanggan, oleh itu permainan harga tidak berlaku di sini.
“Berdasarkan pemerhatian saya, penduduk Terengganu juga agak setia dan lebih selesa untuk membeli di pasar basah walaupun kos barangan di premis itu tinggi,” katanya.
Roshaiza berkata, kenaikan kos sara hidup di Terengganu itu turut dipengaruhi oleh pengiktirafan yang diterima negeri ini sebagai hab pelancongan di samping peningkatan harga rumah misalnya di kawasan sekitar Kuala Nerus yang menjadi pusat tumpuan pendidikan.
Comments
Post a Comment