ANWAR SEBENARNYA TAK CUKUP SOKONGAN DI PARLIMEN
Yang tidak memahami strategi akan menyalahkan Anwar
BEBERAPA orang penganalisis politik berpendapat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya tidak mempunyai sokongan mencukupi untuk menolak Belanjawan 2021 di Parlimen semasa bacaan kedua bil perbekalan pada Khamis 26 November 2020.
James Chin dari Institut Asia, University of Tasmania berkata sebab itulah Anwar memilih untuk tidak bersetuju dengan undi belah bahagi kerana keputusan dari undi tersebut akan memalukan presiden PKR itu. Apatah lagi percubaan untuk mengambil alih Putrajaya September lalu sudah kelihatan gagal.
"Agak jelas, percubaan mengambil alih kerajaan di tengah krisis Covid-19 dan pilihanraya negeri Sabah gagal.. Jika dia ada jumlah nombor sokongan yang mencukupi pun, nombor-nombor itu sudah tidak mempedulikannya lagi," James Chin dipetik FMT sebagai berkata.
“Buat apa memilih undi belah bahagi kalau tak cukup sokongan. Jadi, dengan cara ini bolehlah dia beri keyakinan dia punya sokongan untuk menghalang di peringkat jawatankuasa.
“Ramai orang kecewa dengan Anwar dan pembangkang, tapi mereka perlu terima hakikat. Tiada jalan pembangkang boleh bersatu menghalang belanjawan ini," katanya.
Menurut James Chin lagi, pembangkang sudah terlepas peluang terbesar untuk mengundi Khamis lepas kerana itu yang penting, lalu menambah kedudukan Tan Sri Muhyiddin Yassin "agak selamat" pada masa ini.
James Chin menjangka perubahan belanjawan akan dibuat di peringkat jawatankuasa nanti bagi memenuhi permintaan pembangkang sebagai pertukaran kepada sokongan.
“Jadi pembangkang nak halang belanjawan macam mana... kerajaan akan mengambil hati ahli parlimen secara individu."
Katanya, ada dua peluang sahaja yang tinggal.
Pertama, pembangkang bersatu hati dalam satu barisan dan semua hadir di sesi parlimen akan datang, tetapi James Chin tidak yakin pembangkang mampu lakukan.
Kedua, bersatu hati menghadapi pilihanraya akan datang.
Ahli parlimen UMNO sebagai penentu

Oh Ei Sun dari Singapore Institute of International Affairs berkata peluang pembangkang untuk menjatuhkan Muhyiddin adalah hampir mustahil selepas UMNO membuat keputusan menyokong belanjawan.
Katanya, sokongan UMNO menjadi faktor penentu.
“Kerana UMNO menarik balik sokongan kepada Anwar di saat akhir, sebab itulah dia tak mahu undi belah bahagi, dia tak akan menang," Oh Ei Sun dipetik FMT sebagai berkata.
Satu lagi pertimbangan mungkin dalam fikiran Anwar, jika belanjawan berjaya ditolak Khamis lepas, faktanya Muhyiddin masih boleh memilih untuk tidak meletak jawatan kerana perdana menteri boleh berhujah penolakan itu masih belum muktamad.
Tiada klausa dalam Perlembagaan yang menetapkan Muhyiddin mesti meletak jawatan jika Belanjawan ditolak
“Walaupun meletak jawatan satu tindakan bermaruah, Muhyiddin boleh pertikaikan bahawa ia sekadar konvensyen perlembagaan dalam sistem Westminster, tiada tertulis pun dalam perlembagaan beliau mesti meletak jawatan.
“Katakanlah belanjawan ditolak tetapi Muhyiddin enggan meletak jawatan dan memberi berbagai alasan, pertikaian dan hujah dari sudut perlembagaan, keadaan akan menjadi kusut masai.
“Mungkin Anwar ingin menunggu bacaan ketiga sehingga undian terakhir bagi mencuba nasib menumbangkan kerajaan. Tapi sudah tentu ramai yang tidak memahami keadaan ini, mereka hanya tahu menyoal Anwar dan mempertikaikan kewibawaan pembangkang," katanya.


Comments
Post a Comment