Lelaki ini ingin melihat BN tersungkur di Larkin, JB
![]() |
| Encik Mustafa Awang |
Walaupun Encik Mustafa Awang berhasrat melihat Barisan Nasional (BN) tersungkur di Larkin, Johor Bahru, beliau tetap mengakui calon BN Encik Mohd Hairi Mad Shah bukan calon sembarangan.
"Melayu di kawasan ini, saya bagi pada BN. Sebab Hairi, dia memang ada. Dia selalu ada. Macam (calon PH) Encik Suhaizan Kaiat dia baru nak masuk," kata pesara berumur 70 tahun itu kepada portal berita Malaysiakini yang membuat tinjauan di ibu negeri Johor itu, ketika ditemui di sebuah kafe Bandar Baru Uda, sambil rakan di sebelahnya yang enggan dikenali mengangguk seakan setuju dengan kenyataan tersebut.
Encik Abdul Rahman Hashim, seorang lagi rakan Mustafa turut mengakui sentimen sama.
"Mereka yang sokong Hairi, golongan yang banyak dapat bantuan. Mereka tidak lagi mengharapkan Bersatu jadi lebih baik memilih kerajaan sedia ada," katanya.
Pengundi Bersatu jadi rebutan
Mustafa bagaimanapun percaya bukan semua penyokong Bersatu bersedia untuk mengundi BN.
"Kalau tengok dengan keadaan semasa, Bersatu punya orang mungkin dia takkan mengundi, atau mengundi PH kerana ramai dalam Bersatu berselisih dengan UMNO," katanya.
Laporan tinjauan disiarkan portal berkenaan pagi ini, sebentar tadi.
Kafe tersebut merupakan kawasan penempatan bandar dalam DUN Larkin, dengan majoriti pengundi Melayu.
Malaysiakini berkata: Di satu sudut dalam sebuah kafe yang menyediakan sarapan pagi di Bandar Baru Uda, di kawasan penempatan bandar dalam DUN Larkin, Johor Bahru, berteman secangkir kopi panas dan teh ais, tercetus pertanyaan: Ke mana perginya undi penyokong Perikatan Nasional (PN) dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini?
Persaingan di Larkin kelihatannya masih lagi terbahagi kepada tiga bahagian walaupun bahang PRN kali memasuki minggu kedua berkempen.
Data pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lepas menunjukkan lebih satu pertiga pengundi memilih PH, hampir satu pertiga yang lain mengundi Barisan Nasional (BN) dan kurang satu pertiga lagi memilih Bersatu dan PN.
Tanpa kehadiran PN dalam PRN kali ini, blok undi mereka menjadi rebutan calon bertanding.
Ketiadaan Bersatu bermakna undi Melayu kurang berpecah, sekali gus memberi kelebihan kepada BN dan merugikan PH di kerusi yang mempunyai 64 peratus pengundi Melayu itu.
Hampir 10,000 penyokong PN dipercayai menetap di kawasan DUN tersebut dan kumpulan pengundi ini amat penting dalam menentukan keputusan pemilihan kali ini.
Tinjauan bagaimanapun menemui hanya segelintir pengundi yang mengakui mereka mengundi PN pada pilihan raya 2022 lalu.
Seorang ahli majlis tempatan UMNO yang bercakap dengan dengan syarat enggan dikenali, turut menggelar mereka sebagai "hantu" yang hanya akan memunculkan diri pada hari pengundian.
Faktor perpecahan dalam Bersatu
Bagaimanapun, terdapat petunjuk arah aliran undi mereka, sekurang-kurangnya dalam kalangan ahli Bersatu sendiri.
Perbualan dengan beberapa kenalan serta bekas ahli Bersatu menunjukkan akar umbi bahagian parti itu seolah-olah sudah lumpuh ekoran perpecahan antara penyokong setia Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan mereka yang menyokong bekas timbalan presiden Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Encik Zulkifli Bujang, bekas penyampai popular Radio Bernama — yang mendapat tempat kedua dalam persaingan DUN Larkin pada PRN 2022 — telah keluar parti dan kini turut menerajui gerakan 'Reset', satu gerakan pro-Hamzah bagi kawasan tersebut.
Perpecahan itu berkemungkinan besar menjadi punca Bersatu tidak meletakkan calon di Larkin kali ini, meskipun mencatatkan prestasi memberangsangkan dalam pilihan raya pada 2022.
Malah ia turut memberi bayangan sebahagian besar ahli Bersatu di Larkin menyokong wadah baru Hamzah - Parti Wawasan Negara dan sekutunya PAS - serta dijangka mengikut arahan PAS untuk mengundi BN di kerusi yang tidak ditandingi PN.
Tinjauan di Flat Larkin menyokong teori tersebut, satu kawasan yang mencerminkan perpecahan undi dalam pilihan raya sebelum ini.
Rata-rata penduduk yang menyatakan sokongan padu kepada penyandang daripada BN, Mohd Hairi Mad Shah, dengan memuji pelbagai bentuk bantuan kerajaan negeri diterajui BN.
Kekecewaan pengundi
Puan Ratna Bakhtiar, 52, yang ditemui wartawan portal berkenaan di kedai runcit di bawah Flat Larkin berkata: "Harapan sebagai pengundi tu memang lah sekarang dah terbaik, Larkin dijaga oleh YB Hairi, jadi harap akan datang pun macam tu."
"Sebab pengundi sini memang semua nampak biru (BN) tapi tiba-tiba pula ada warna merah (PH)," tambahnya.
Dia juga tidak menolak wujud kekecewaan dalam kalangan pengundi disebabkan ketiadaan Bersatu dalam PRN kali ini di Larkin.
"Tahun ni Bersatu tak ada sebab politik macam-macam. Kita tak tahu hati manusia. Dia sokong mana dia nampak tapi hati dia kita tak tahu.
"Kami sudah belajar dan sedar...berbanding kerajaan negeri sebelum 2022 dulu. Sekarang Flat Larkin lebih maju. Ada yang menggelarkan MB (Menteri Besar) sebagai 'budak' tapi bagi kami dia turun padang dan tanya apa yang kami perlukan. Dia juga pantau semua janji-janji pembangunan," kata Ratna lagi.
Seorang penyokong Muhyiddin, dikenali sebagai Encik Yazli Hussin, berkata, pergolakan dalaman PN ditambah arahan PAS agar mengundi BN di kerusi seperti Larkin menjadikannya keliru.
"Sedangkan Bersatu, ‘Abah’ (Muhyiddin) dah mula nampak macam okay. Cuma orang pertikai semula sebab pergolakan.
"Bila nampak pergolakan dalam Bersatu dan ada perpecahan, kita terfikir kenapa? Sedangkan orang dah mula sokong. Bila orang dah mula sokong kalau bahasa kasarnya ‘kau jaga lah’," kata bapa 11 anak itu ketika bersarapan bersama isterinya di kafe berkenaan.
"Itu buat kami berfikir nak sokong siapa," tambahnya.
Bersama cuba nasib
Persaingan di Larkin bagaimanapun bukan sekadar melibatkan BN dan PH.
Parti yang diterajui bekas pemimpin PKR Datuk Seri Rafizi Ramli, Bersama, turut mencuba nasib.
Setiausaha Bersama Johor, Encik Samsudin Ismail yang dihubungi portal popular itu dilaporkan berkata, terdapat arahan jelas bagi kawasan yang tidak ditandingi PN, adalah untuk mengundi calon "selain BN dan PH".
Di Larkin, pilihan lain hanyalah calon daripada Bersama, Puan Norsinah Abu (gambar, atas).
Norsinah berumur 58 tahun dan mempunyai pengalaman di sektor swasta sebelum terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan dan pertubuhan politik. Bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Muar ini mendapat biasiswa JPA selepas SPM dan melanjutkan pelajaran dalam bidang ekonomi di Universiti Ciba, Jepun. Selain bahasa Melayu dan Inggeris, Norsinah fasih berbahasa Jepun.
Beliau memulakan kerjaya di Tokyo di Dipsol Chemicals Co. Ltd dan Fujisash Co. Ltd. Selepas pulang ke Malaysia, beliau berkhidmat di Kedutaan Jepun di Malaysia selama 11 tahun sebelum menceburi bidang pemasaran pelaburan.
Beliau pernah menjadi pengurus agensi pelaburan dengan BIMB Investment Management Berhad selama 12 tahun. Beliau kini merupakan Perancang Harta Pusaka Islam dengan As-Salihin Trustee Berhad.
Sebelum BERSAMA, Norsinah adalah sebahagian daripada pasukan Ahli Parlimen Johor Bahru yang menguruskan aduan rakyat.
Bersama yang akan mencuba nasib pada hari pengundian 11 Julai ini, dilihat bertekad untuk tidak hanya bergantung kepada sokongan pengundi bukan Melayu PH yang kecewa.
Namun, sokongan orang Melayu terhadap parti 'kancil' itu dijangka terhad, dengan Rahman menyatakan mereka berkemungkinan besar hanya akan menarik perhatian golongan muda.
"Kancil (Bersama) banyak guna internet untuk kempen. Mungkin boleh curi sikit undi," katanya merujuk logo Kancil berwarna biru digunakan Bersama.
Kembali ke meja sarapan di mana perbualan bermula, pengundi yang berkongsi kebimbangan sama tetap tidak sehaluan berkenaan arah tuju negeri ini.
Di kawasan parlimen dengan undi Bersatu kini menjadi tanda tanya, kepelbagaian pilihan boleh menjadi penentu apabila pengundi Larkin keluar mengundi pada 11 Julai nanti.
Seperti kata Tan Sri Abdul Hadi Awang di suatu ketika dahulu, "Kalau jadi kingmaker, kita boleh minta macam-macam."
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.












Comments
Post a Comment