Hasina Yang Lari Dari Bangladesh — Pengajaran Penting Kepada Para Pemimpin Politik Malaysia
Bangladesh rampas aset bernilai lebih RM25 bilion dikaitkan dengan Sheikh Hasina
Memetik laporan pembekal berita Agensi, akhbar Bahasa Melayu tertua di Malaysia Berita Harian hari ini melaporkan pihak berkuasa Bangladesh merampas aset bernilai 760 bilion taka (kira-kira RM25.3 bilion atau AS$6.2 bilion) yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Puan Sheikh Hasina, ahli keluarganya serta 10 kumpulan perniagaan.
Tindakan itu dilakukan susulan siasatan yang dijalankan selepas Hasina digulingkan dalam kebangkitan rakyat yang diterajui pelajar pada 2024 sebelum melarikan diri ke India.
Sejak kejatuhannya, pihak berkuasa Bangladesh menyiasat kekayaan Hasina, selain meneliti urusan kewangan ahli keluarga dan beberapa konglomerat utama yang didakwa mendapat manfaat sepanjang pemerintahannya selama 15 tahun.
Ketua Unit Risikan Kewangan Bangladesh (BFIU), Encik Ikhtiar Mohammad Mamun, berkata aset bernilai 570 bilion taka (RM18.9 bilion) telah dirampas di dalam negara, manakala 190 bilion taka (RM6.3 bilion) lagi disita di luar negara.
Menurut beliau, sebanyak 98 kes dibuka setakat ini sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap Hasina dan individu yang mempunyai kaitan dengannya.
"Kami masih berusaha mendapatkan semula wang yang telah dipindahkan ke luar negara. Kami berharap dapat berkongsi perkembangan positif menjelang akhir tahun ini," katanya ketika membentangkan laporan tahunan agensi berkenaan.
Sejak digulingkan, Hasina telah disabitkan bersalah secara 'in absentia' dalam beberapa kes, termasuk kes rasuah yang membabitkan pemberian lot tanah di kawasan mewah di ibu negara, Dhaka.
Dalam perkembangan berkaitan, sebuah mahkamah turut menjatuhkan hukuman mati terhadap beliau atas kesalahan jenayah terhadap kemanusiaan.
Hasina kekal berada di India sejak melarikan diri dari Bangladesh pada Ogos 2024.
Beliau sebelum ini dilaporkan berhasrat untuk kembali ke Bangladesh sebelum penghujung tahun ini.
Menteri Dalam Negeri Bangladesh, Encik Salahuddin Ahmed, berkata kerajaan yang sedang berusaha mendapatkan ekstradisi Hasina mahu memastikan bekas pemimpin itu kembali ke negara berkenaan bagi menghadapi proses perundangan.
"Keputusan mahkamah akan dilaksanakan. Mahkamah akan menentukan sama ada masih terdapat ruang untuk rayuan," katanya.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
Suntingan terakhir dan dibawa kepada anda oleh |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.





Comments
Post a Comment