Syed Saddiq berserah kepada Allah mengenai keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kesnya Selasa ini
"Saya serahkan sepenuhnya kepada Allah," akhbar Harian Metro memetik jawapan balas yang diberikan Ahli Parlimen Muar Tuan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman apabila diajukan persoalan berhubung kes mahkamah dihadapinya.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga mengaku tenang menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal diputuskan Mahkamah Persekutuan terhadap kesnya dalam tempoh berbaki lima hari lagi.
"Saya yakin berada di pihak benar dan sudah melalui proses penghakiman bagi tahun ketujuh. Sepanjang tempoh ini saya tidak pernah mohon kes ditangguhkan, digugurkan mahupun membuat rayuan melalui saluran politik.
"Saya juga ingin menghantar isyarat jelas kepada golongan muda supaya jangan gentar menghadapi masalah. Kita perlu berprinsip dan bermaruah kerana perjuangan melangkaui (kepentingan) individu atau personaliti semata-mata.
"Secara peribadi saya bersedia (menghadapi keputusan mahkamah) dan kini saya serahkan sepenuhnya kepada Allah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Solat Hajat dan Doa Selamat untuk Syed Saddiq di Petaling Jaya, pada Khamis 25 Jun 2026, malam Jumaat.
Bekas Presiden MUDA itu berdepan tuduhan salah guna harta, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU dengan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan beliau akan ditentukan Selasa 30 Jun ini.
Pada 25 Jun tahun lalu, Mahkamah Rayuan melepas serta membebaskan Syed Saddiq, 33 selepas membenarkan rayuan beliau untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023.
Sehari selepas itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Encik Rafiq Hakim Razali, yang ketika itu Penolong Bendahari ARMADA untuk melakukan pecah amanah terhadap dana ARMADA berjumlah RM1 juta di CIMB Bank Berhad, KL Sentral pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebatan dan denda.
Beliau turut berhadapan pertuduhan menyalahgunakan RM120,000 milik Armada Bumi Bersatu Enterprise di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara antara enam bulan hingga lima tahun, sebatan dan denda.
Selain itu, beliau turut dituduh melakukan dua transaksi pengubahan wang haram iaitu memindahkan RM50,000 ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 15 tahun serta denda lima kali nilai terbabit.
Ditanya sama ada keputusan kes itu bakal memberi kesan kepada rancangan beliau mendirikan rumah tangga, Syed Saddiq mengakui sukar untuk membuat sebarang ketetapan berhubung perkara berkenaan.
"Sukar untuk saya komen sama ada situasi A atau B yang akan berlaku. Lebih baik kita tunggu keputusan nanti tetapi yakinlah dan letaklah kepercayaan dengan Allah SWT.
"Jika kita yakin kita di pihak benar, Insya-Allah semua akan berjalan dengan baik. Saya menantikan keputusan selepas lebih enam tahun (berdepan kes terbabit)," katanya seperti dilapor Harian Metro.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.





Comments
Post a Comment