Tanah 30 ekar untuk hospital tiada, 500 ekar untuk ternak babi ada pula
Lidah rasmi Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Harakahdaily melaporkan semalam parti itu di peringkat negeri Selangor mempersoalkan alasan kekangan tanah yang dikemukakan berhubung kelewatan pembinaan hospital kerajaan di Petaling Jaya sedangkan pembangunan komersial dan kediaman berketumpatan tinggi terus berkembang di kawasan sama.
Ketua Penerangan PAS Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff berkata, persoalan sebenar yang timbul ialah mengapa perancangan rizab tanah untuk kemudahan awam gagal bergerak seiring dengan kelulusan pembangunan selama bertahun-tahun.
“Bagaimana pembangunan komersial, kediaman berketumpatan tinggi dan projek swasta berskala besar terus berkembang di kawasan sama, tetapi kemudahan kesihatan awam masih dianggap sukar dilaksanakan?
“Jika tanah dapat dikenal pasti untuk pembangunan yang menambah kepadatan dan menjana keuntungan ekonomi, mengapa perancangan tanah untuk pembangunan yang menambah kesejahteraan rakyat tidak menerima keutamaan yang sama?” katanya.
Beliau menegaskan, isu tersebut bukan sekadar berkaitan pembinaan hospital, sebaliknya membabitkan persoalan lebih besar mengenai model pembangunan bandar di Selangor yang menurutnya semakin tidak seimbang dengan keperluan rakyat.
Menurut beliau, kawasan seperti Petaling Jaya dan sekitarnya terus menyaksikan pembangunan pesat termasuk projek bercampur dan kediaman berketumpatan tinggi yang dijadual siap sehingga tahun 2029.
Jelas Dr Yusfariza,, Kelana Jaya juga bakal menerima pembangunan baharu bernilai RM411 juta melibatkan 966 unit kediaman selain beberapa projek lain yang terus mengubah landskap bandar.
“Persoalannya, adakah pertambahan kepadatan penduduk ini diselaraskan dengan kapasiti jalan raya, hospital kerajaan, sekolah, pengangkutan awam dan kemudahan sosial?” ujarnya.
Beliau turut membangkitkan hakikat bahawa sebuah hospital kerajaan bersaiz sederhana lazimnya memerlukan sekitar 10 hingga 20 ekar tanah bergantung kepada kapasiti dan fungsi.
“Persoalan sebenar bukan semata mata sama ada tanah wujud atau tidak, tetapi mengapa perancangan rizab tanah untuk kemudahan awam gagal bergerak seiring dengan kelulusan pembangunan berketumpatan tinggi selama bertahun tahun,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata rakyat Selangor kini terpaksa menanggung kesan pembangunan tidak seimbang termasuk kesesakan jalan raya, tekanan hidup dan kemudahan awam yang gagal berkembang setara dengan pembangunan fizikal.
“Masa bersama keluarga hilang di atas jalan. Produktiviti terjejas. Kualiti hidup semakin merosot,” katanya yang merupakan seorang pengamal undang-undang dan Ahli Jawatankuasa Lujnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) PAS.
Beliau turut menyifatkan alasan birokrasi dan kelewatan penyelarasan antara kerajaan negeri dan Persekutuan semakin sukar diterima memandangkan kedua-duanya berada dalam gabungan politik yang sama.
“Jika benar wujud keserasian politik dan pentadbiran, mengapa isu hospital, kapasiti jalan raya dan kemudahan rakyat masih tertangguh? Mengapa _‘red tape’_ tidak dipotong untuk perkara yang menyentuh kesejahteraan rakyat?” soalnya.
Tambah beliau, PAS Selangor berpandangan negeri itu memerlukan perancangan bandar yang berpusatkan manusia dan bukan semata-mata mengejar pelaburan serta nilai pembangunan.
“Rakyat tidak menolak pembangunan. Rakyat hanya mahukan pembangunan yang datang bersama jalan yang boleh dilalui, hospital yang boleh diakses, dan kehidupan yang lebih baik untuk keluarga mereka,” katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari menggunakan media sosial bagi menjawab keluhan mengenai ketiadaan hospital awam di beberapa kawasan pinggir bandar yang padat di negeri itu.
Amirudin dilaporkan mendakwa, kesukaran membina hospital awam baharu termasuk di Petaling Jaya berpunca daripada ketiadaan dan kesesuaian tanah milik kerajaan di kawasan tumpuan yang padat.
Bagaimanapun kerajaan negeri sebelum ini merancang memindahkan dan menyatukan lebih 100 ladang penternakan babi ke kawasan seluas 500 ekar di Bukit Tagar, Hulu Selangor menerusi Projek Ladang Babi Berpusat bagi menangani isu pencemaran sedia ada.
Perbezaan kenyataan itu bagaimanapun mencetuskan reaksi orang ramai dan badan bukan kerajaan (NGO) yang mempersoalkan bagaimana tanah berskala besar boleh diperuntukkan untuk projek penternakan, sedangkan tanah bagi fasiliti kesihatan awam dilaporkan sukar diperoleh.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
© 2026 Permadu Malaysia
Semua Hak Cipta Terpelihara
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.





Comments
Post a Comment