PAS cenderung guna pengaruh Mas Ermieyati dan Hamzah di Melaka, pinggirkan Bersatu
Hasrat PAS bertanding 16 kerusi pada PRN Melaka dilihat petanda parti itu mula menjauhkan diri daripada Bersatu dan cenderung blok dikaitkan bekas timbalan presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin, demikian menurut laporan FMT semalam, selepas menemubual dua orang ahli akademik dari menara gading dan institusi penyelidikan politik di Malaysia.
Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata hubungan PAS dan Bersatu dilihat semakin tegang.
Katanya, ini dapat dilihat melalui kebuntuan berpanjangan berhubung jawatan pengerusi Perikatan Nasional (PN) serta pertikaian berterusan mengenai kedudukan ketua pembangkang.
Beliau berkata keputusan PAS menggandakan jumlah kerusi ditandingi berbanding PRN Melaka 2021, daripada lapan kepada 16 kerusi, menunjukkan parti Islam itu kini kurang memberi keutamaan kepada Bersatu dan sedang menempatkan dirinya lebih dekat dengan blok ‘Reset’ Hamzah.
“Langkah di Melaka ini permulaan kepada PAS menguji hubungan politik baharunya dalam konteks pembangkang,” katanya memberitahu portal berkenaan.
Baru-baru ini, Pesuruhjaya PAS Melaka Encik Zulkifli Ismail mengumumkan parti itu akan bertanding di 16 daripada 28 kerusi pada PRN negeri itu.
Hampir semua kerusi berkenaan ketika ini dipegang Barisan Nasional (BN).
Pada PRN Melaka 2021, PAS bertanding lapan kerusi atas tiket PN manakala Bersatu bertanding di 15 kerusi dan Gerakan di lima kerusi.
PN menang dua kerusi menerusi wakil Bersatu, Dr Yadzil Yaakub (Bemban) dan Dr Aleef Yusof (Sungai Udang).
Namun, Yadzil dipecat daripada parti itu pada Februari, manakala Aleef menyokong Hamzah sebelum kembali menyatakan sokongan kepada Muhyiddin.
Blok penyokong Hamzah di Melaka turut melibatkan beberapa tokoh berpengaruh, termasuk Ahli Parlimen Masjid Tanah selama tiga penggal, Datuk Seri Hajah Mas Ermieyati Samsudin, dan bekas Ketua Menteri negeri itu, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik.
Mazlan berkata keputusan PAS untuk masuk ke kerusi yang sebelum ini ditandingi Bersatu memberi isyarat keyakinan terhadap kepimpinan Muhyiddin Yassin semakin merosot.
Beliau turut merujuk keengganan PAS melayan desakan supaya Hamzah segera diganti sebagai ketua pembangkang.
“Nampaknya PAS tidak melayan permintaan Muhyiddin supaya ketua pembangkang baharu dinamakan segera. Buat masa ini, Hamzah masih ketua pembangkang,” katanya.
Walaupun laporan menyebut Hamzah sudah meletakkan jawatan pada 12 April, beliau masih kekal sebagai ketua pembangkang. Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul sebelum ini berkata beliau belum menerima pemakluman rasmi mengenai peletakan jawatan Ahli Parlimen Larut itu.
Mazlan berkata PAS kini melihat Hamzah sebagai tokoh lebih berpengaruh, berdasarkan sokongan 13 daripada 19 Ahli Parlimen Bersatu sedia ada.
“Hanya enam menyokong Muhyiddin. Sebab itu PAS melihat Hamzah, bukannya Bersatu, sebagai harapan untuk membentuk gabungan masa depan,” katanya.
Beliau berkata PAS sebagai parti terbesar dalam PN, berpotensi membentuk semula gabungan pembangkang, sekali gus mungkin menyebabkan Bersatu terpinggir.
Hamzah dipecat daripada Bersatu pada Februari dan sejak itu menggerakkan gerakan ‘Reset’. Beliau juga memberi bayangan gerakan itu mungkin bertanding pada PRN Melaka.
PAS ambil risiko besar
Manakala Dr Azmi Hassan dari Akademi Nusantara juga berpandangan PAS sedang bergerak untuk bersama gerakan ‘Reset’ Hamzah bagi menggantikan kerjasama dengan Bersatu.
Namun, beliau memberi amaran langkah seperti itu membawa risiko besar kerana UMNO masih kuat di Melaka.
Katanya, kegagalan di negeri itu boleh menjejaskan kedudukan politik PAS dan Hamzah.
“Saya fikir PAS membuat kesilapan strategi dengan memilih gerakan Hamzah, yang kekuatannya di Melaka belum terbukti,” katanya.
DUN Melaka akan terbubar secara automatik pada Disember, bermakna PRN ke-16 mesti diadakan selewat-lewatnya Februari 2027.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini berkata PRN itu berkemungkinan diadakan tahun ini.
End©Permadu
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.







Comments
Post a Comment