Kalau Tambun tak selamat lagi, PM harus lari bertanding di tempat lain
Permatang Pauh?
1. Kalau kerusi Parlimen Tambun yang disandang oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, pun tidak selamat lagi, apakah harapan PKR dalam Pilihan Raya Umum ke-16 nanti?
2. Sehingga awal Mei tahun ini, kerusi Perak itu tidak lagi dianggap selamat, sebaliknya telah dikategorikan sebagai "tier 2B" iaitu marginal. Kalau PKR sendiri mengakui yang sokongan pengundi kepadanya semakin menurun, ke manakah para pemimpin atasannya hendak pergi untuk mencari kerusi selamat?
3. Ini bukan berita palsu media sosial atau propaganda yang sengaja diada-adakan oleh musuh PKR. Ini adalah hasil analisis strategik dalaman PKR, yang menurut Timbalan Presidennya, Nurul Izzah Anwar, lahir daripada semangat penilaian diri dengan tujuan merapatkan barisan, mengukuhkan jentera dan membulatkan tekad bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat jelata.
4. Anwar memenangi kerusi Tambun dalam Pilihan Raya Umum Ke-15, pada tahun 2022 lalu, dengan majoriti 3,735 undi. Inilah kerusi Parlimen ketiga yang beliau tandingi dan menang. Yang lain adalah Permatang Pauh dan Port Dickinson.
5. Dalam PRU 2022 saya masih menyokong Pakatan Harapan (PH). Walaupun saya tidak berkempen secara cergas, saya melawat Tambun dan beberapa kawasan lagi di Perak. Sejak Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri di enam buah negeri pada tahun 2023, saya tidak lagi menyokong PH dan tidak juga menyertai parti lain.
6. Dari awal lagi, kehadiran Anwar di Tambun adalah menarik. Ia simbol keyakinan beliau iaitu di mana pun beliau bertanding, beliau boleh menang. Pada waktu itu pun, menurut laporan media yang memetik bekas Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli, Tambun bukanlah selamat sangat.
7. Hari ini, kalau PKR sendiri berkata Tambun tidak selamat lagi dan sudah menjadi kerusi marginal, maksudnya sesuatu yang tidak baik dan luar biasa telah berlaku sejak lebih sikit tiga tahun Anwar menerajui negara.
8. Pertama, Anwar tidak berjaya mengukuhkan sokongan terhadap diri beliau sendiri sebagai Perdana Menteri. Kedua, orang di kawasan beliau tawar hati. Dan ketiga, sokongan orang ramai terhadap PKR/PH semakin menurun.
9. Inilah kali pertama seorang Ahli Parlimen dari Perak, walaupun bukan anak negeri, menjadi Perdana Menteri. Bukan mudah bagi mana-mana kawasan pun mendapat calon yang jadi Perdana Menteri. Sepatutnya, sokongan pengundi bertambah kuat.
10. Namum, analisis dalaman PKR itu tidaklah memeranjatkan sangat kalau kita halusi keputusan PRU Tambun tahun 2018 dan 2022, serta pilihan raya di tujuh buah negeri selepas itu.
11. Dalam PRU 2018, Ahmad Faisal Azumu dari Bersatu yang bertanding bagi pihak PH atas nama dan lambang PKR menang dengan memperoleh 44.46 peratus undi mengalahkan Barisan Nasional (BN) dan Pas.
12. Kalau kita masih ingat, kerajaan BN pimpinan Mohd Najib Abdul Razak ketika itu menyukarkan pendaftaran PH dan lambangnya. Ini memaksa PH, yang pada waktu itu dipimpin oleh Dr Mahathir Mohamad, menggunakan lambang PKR.
13. Dalam PRU 2022, Anwar berjaya memenangi Tambun tetapi dengan peratusan undi yang lebih kecil iaitu 39.77 peratus berbanding 44.66 peratus yang Ahmad Faisal peroleh pada 2018. Dalam PRU 2022, Ahmad Faisal yang bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN) mendapat 36.78 peratus manakala calon BN 22.55 peratus. Pejuang kalah terus dengan mendapat kurang daripada satu peratus.
14. Natijahnya, Ahmad Faisal mendapat lebih banyak undi sebagai calon PKR pada tahun 2018 berbanding Anwar yang bertanding sebagai calon PH dan bakal Perdana Menteri pada tahun 2022.
15. Soalnya sekarang, adakah Anwar akan mempertahankan Tambun atau berpindah ke kerusi lebih selamat?
16. Berdasarkan analisis PKR yang dilaporkan oleh Malaysiakini itu, daripada 66 kerusi Parlimen yang menjadi tumpuan, termasuk 31 yang dimenangi oleh PKR, kebanyakannya kini berada dalam kategori risiko tinggi.
17. Kalau kita selidik keputusan pilihan raya yang diadakan selepas PRU 2022, iaitu PRN 2023 dan PRN Sabah November lalu, kita akan dapati pencapaian PH dan Barisan Nasional (BN) adalah sangat buruk.
18. Kesimpulannya, dengan Umno-BN sudah bergebang hendak "go solo" dan penyokong PH, dalam perhimpunan besar di Seremban, berteriak, "tolak Umno", PRU ke-16 nanti adalah "free-for-all" untuk parti-parti utama Semenanjung.
Terima kasih.
| Oleh Fauzi Kadir Ketua Pengarang |
DILULUSKAN UNTUK SIARAN OLEH LEMBAGA SIDANG PENGARANG
Mengunjungi Permadu Malaysia adalah sentiasa percuma dan kami adalah tidak berobjektifkan keuntungan. Kami berharap anda bergembira dan berpuas hati dengan setiap persembahan dari kami.
Jika anda bermurah hati untuk menyokong operasi dan kegiatan amal jariah berterusan kami kepada mereka yang kurang bernasib baik, kami mengalu-alukan sebarang sumbangan seikhlas hati dari mana-mana individu atau organisasi.
Hubungi permadu@gmail.com untuk keterangan lanjut. Ianya bersifat sukarela tanpa sebarang komitmen.






Comments
Post a Comment